Pages

Wednesday, August 22

Menjelang 1 Syawal

Seperti kebiasaan menyambut 1 Syawal, kami bangun awal kemudian bersiap-siap untuk ke masjid bagi menunaikan sembahyang sunat hari raya. Oleh kerana zakat fitrah saya dah selesaikan sebelum balik kampung lagi, maka taklah sibuk sangat pada pagi hari raya. Waktu kecil dulu, zakat fitrah dibayar dengan menggunakan beras. Pada malam hari raya, ayah saya akan sukat beras dan dimasukkan ke dalam 8 bag plastik untuk 8 orang ahli keluarga. Pagi-pagi hari raya kami akan ambil seorang satu bag plastik itu dan dibawalah kepada orang yang hendak diberi zakat fitrah. Kakak-kakak dan abang saya akan berikan kepada guru Quran mereka tetapi guru Quran saya tak tinggal di kampung itu, jadi susah jugalah untuk saya mencari orang untuk diberi zakat fitrah. Nak cari orang miskin dalam kampung memang susah sebab rata-rata ada sawah bendang yang luas. Biasanya saya akan beri kepada jiran sebelah rumah (Long 'ah) atas alasan dia sudah kematian suami. Pulang baru-baru ini, saya hanya mampu melihat rumahnya menanti saat-saat untuk menyembah bumi. Long 'ah dah hampir setahun lebih kembali kerahmatullah.

Pada hari raya kedua, kami mengadakan perjumpaan 'Hari Keluarga Ismail Hawa'. Ismail dan Hawa ialah Tok Wan dan Tok saya sebelah ayah. Setiap tahun keluarga sebelah ayah saya mengadakan perjumpaan ini untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Tuan rumah kepada perjumpaan ini dibuat secara bergilir-gilir dalam kalangan 10 orang adik-beradik. Tahun ini giliran ayah saya. Jadi kami adik-beradik telah bergotong-royong memasak dan mendirikan khemah untuk menjayakan perjumpaan ini. Nasib baiklah adik-beradik serta ipar-duai saya dalam kategori pandai masak juga la. Kalau tak, kalut...mana nak cari keterer yang sanggup masak raya-raya nie.

Kakak-kakak dan abang saya sebulat suara mahu saya mewakili mereka sebagai tuan rumah (mungkin mereka ingat cikgu nie pandai bercakap kut). Hem...sebagai tuan rumah kenalah saya menyampaikan sedikit ucapan pendek mengalu-ngalukan bapa-bapa dan mak-mak saudara serta sepupu-sepupu yang hadir. Nampaknya tugas saya bukan sekadar memberi ucapan alu-aluan, malah terpaksa pula mengetuai bacaan yasin dan tahlil kerana tok imam lambat sampai (dia bagi alasan ada orang datang rumah). Selepas siap baca doa, baru saya perasan tok imam tu ada di belakang saya. Hem...tak tau la apa komen dia tentang bacaan saya.

Bagi memeriahkan lagi perjumpaan hari keluarga kali ini, adik-beradik bersetuju untuk mengadakan acara 'lucky draw'. Eem...seronok juga melihat gelagat sanak saudara riuh rendah bila nombor mereka diumumkan. Yang bestnya bila anak saya, Imran mendapat hadiah utama.

Bapak saudara saya, Pak Cik Mat sedang mengagihkan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir. Hem...campur-campur banyak juga la budak-budak tu dapat.

Sebahagian daripada saudara mara dan jiran tetangga yang hadir.

Aziz dan Rosli (abang & abang ipar) sedang memasak kari ikan talang. Kerjasama adik-beradik membolehkan semua menu dapat dihidangkan tepat jam 11.30 pagi.

Banyak gayenya budak nie dapat duit raya. Khusyuk betul duk mengira duit tu.

Emm...dah besor-besor anak sedara teman nie. Kalau suruh teman bagitau nama dia orang nie, barangkali tak semua teman tau. Maklumlah dok panggil kak long, kak ngah, baby dll...nama sebenar tak pernah disebut.

13 JAM YANG MERIMASKAN

Hari raya ketiga...saya bertolak balik ke Lipis. Kalau balik ke Kedah hari tu saya terpaksa mengharungi perjalanan selama 12 jam, maka perjalanan untuk balik semula ke Lipis memaksa saya menambah 1 jam lagi. Bertolak dari kampung tepat jam 2 petang, pukul 3.00 pagi baru saya sampai ke pintu pagar rumah saya di Kuala Lipis. Aduhai...jem.

4 Sebab Mengapa Kesesakan Berlaku

1. Kereta terlalu banyak pada satu-satu masa (ini memang tak boleh nak buat apa, takkan nak buat jadual balik kampung ikut giliran negeri kut)

2. Kemalangan jalan raya (semua orang sepatutnya berhati-hati ketika memandu, patuhi had kelajuan dan jaga jarak antara kenderaan. 4 kemalangan yang berlaku semasa saya balik baru-baru ini, semuanya kes langgar belakang)

3. Kenderaan rosak (sebelum membuat perjalanan yang jauh, eloklah kita pastikan kondisi kenderaan kita dalam keadaan baik)

4. Pemandu yang tidak berdisiplin. Apabila berlaku kesesakan disebabkan perkara-perkara di atas, sebilangan pemandu akan hilang sabar dan mula menggunakan laluan kecemasan. Tindakan mereka ini akan memburukkan lagi kesesakan kerana mereka akan cuba masuk semula kelaluan utama apabila ternampak kelibat polis atau terdapat halangan di hadapan. Kalau dia orang terus menggunakan laluan kecemasan itu sehingga sampai ke rumah tak apalah juga, tidak menyusahkan orang lain. (segelintir pemandu Malaysia memang terkenal kurang berdisiplin dan kurang ajar)

No comments: