Pages

Thursday, June 21

TPM di Betau

Hai, mengantuk betul mata ni, baru pukul 10.00 malam. Emm...beginilah keadaannya bila badan terlalu letih. Biasanya saya mampu bersengkang mata hingga pukul 2.00 pagi. Cuma sehari dua ni, tak mampu nak sampai pukul 12.00 malam pun. Seminggu yang lepas sibuk dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang yang diadakan di Lipis, minggu ni pula sibuk dengan persiapan menyambut kunjungan YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Yassin ke SK Betau. Kalau sambutan Hari Guru, saya cuma setiausaha sahaja tetapi untuk lawatan TPM ni saya terpaksa bertindak sebagai event manager pula. Letih tu memang letih, namun suatu kepuasan bila melihat majlis yang kita menjadi peneraju utamanya berjalan dengan lancar. Menguruskan sambutan Hari Guru lebih mudah kerana kita hanya berurusan dengan golongan pendidik daerah Lipis sahaja tetapi bagi lawatan TPM ini saya terpaksa berurusan dengan banyak pihak. Memang agak sukar untuk mengarah orang yang datang dari jabatan lain, silap cakap kang ada pula yang berasa hati. Nak tak nak kena suruh orang pendidikan jugalah. Guru Besar dan guru-guru SK Betau lah mangsanya. Kesian dia orang, terpaksa buat banyak perkara.
Saya tidak suka membuat kerja last minute tetapi dalam majlis seumpama ini, changes in the last minute memang tak dapat dielak. So...kena terima sahajalah. Cuma yang saya kurang gemar apabila terlalu banyak arahan sampai dan kita tak tahu who is authoritative untuk membuat keputusan terhadap sebarang perubahan  atur cara ? Pada pandangan saya, untuk mengelak sebarang ketidaklancaran majlis adalah lebih baik semua pihak yang berkepentingan duduk bermesyuarat untuk mencapai kata putus sehari sebelum majlis bermula. Pandangan seelok-eloknya diberi ketika rehearsal diadakan. Mana-mana yang rasa kurang kemas boleh dibetulkan terus. Jadi tak perlulah juruacara menconteng-conteng skrip pengacaraannya berulang kali. Sorry la...ini cuma pandangan saya sahaja.

 YAB Timbalan Perdana Menteri sedang menyampaikan sumbangan khas persekolahan kepada murid-murid orang asli SK Betau.

Sebahagian tetamu yang hadir. Nampaknya sasaran untuk mendapat crowd seramai 3000 orang tercapai.

Tarian Sewang dipersembahkan oleh pelajar-pelajar asli SMK Sungai Koyan
  
YAB Timbalan Perdana Menteri dan tetatmu-tetamu kehormat yang lain mengunjungi gerai-gerai pameran. Terima kasih kepada En. Rokeman, Ketua Unit Pengurusan Akademik kerana menjayakan pameran PPD Lipis.

Sunday, June 17

Inilah harinya...

Selepas melalui lima kali mesyuarat dan seminggu yang memenatkan, maka hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Inilah harinya...16 Jun 2012, Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang 2012. Majlis yang diadakan di Dewan Jubli Sultan Haji Ahmad Shah Kuala Lipis ini telah dirasmikan oleh Dato' Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Menteri Besar Pahang. Sambutan Hari Guru pada tahun ini telah dimeriahkan dengan 12 acara iaitu 5 acara utama dan 7 acara sampingan. Dalam ucapan En. Yahya Zainal Abidin, Pengarah Pelajaran Pahang, beliau menyatakan bahawa sambutan Hari Guru di daerah Lipis pada tahun ini adalah yang paling meriah. Dan kemeriahan itu ditambah lagi dengan kemurahan hati YAB Menteri Besar Pahang menyumbang RM30k. Terima kasih Dato' Sri.

   Ketibaan YAB Menteri Besar disambut oleh En. Yahya Zainal Abidin, Pengarah Pelajaran Pahang dan Tuan Haji Misnan, Pegawai Pelajaran Daerah Lipis merangkap Pengerusi Pengelola. Turut berada di foyer dewan ialah Dato' Shahrom Osman, Ahli Parlimen Lipis, Dato' Fong, ADUN Cheka, Dato' Soffi, ADUN Benta dan Dato' Rahman, ADUN Padang Tengku.

Seramai 800 orang yang terdiri daripada Pegawai-Pegawai JPN, Pegawai-Pegawai PPD, Pengetua-Pengetua, Guru Besar-Guru Besar, guru-guru dan Ketua-Ketua Jabatan telah dijemput.

Sementara majlis belum bermula nie, bolehlah bergaya sikit.

Tahniah kepada yang datang awal. Malangnya ada pula yang balik awal. Harap-harap yang balik awal tu bukanlah guru-guru dari daerah Lipis.

 Pasukan koir mempamerkan persembahan yang memberangsangkan. Walaupun masa latihan agak singkat namun mutu persembahan amat mengagumkan. Apabila saya menerima panggilan telefon daripada PPD mengatakan MB mahu pasukan koir menyanyikan semula lagu 'Guru Malaysia', saya dengan penuh keterujaan memaklumkan kepada juruacara dan seterusnya bergegas ke belakang pentas untuk memaklumkan kepada petugas siar raya. Tahniah kepada kumpulan koir di bawah bimbingan Cikgu Asri SMK Clifford. Kepada En. Zainal Kamarudin, Guru Besar SK Relong yang berjaya membentuk pasukan ini, setinggi-tinggi terima kasih diucapkan.

 Persembahan tarian oleh murid-murid SJKT Ladang Benta. Kombinasi persembahan pelbagai kaum amat menarik dari kontek 1Malaysia.

Gimik Pelancaran yang diusahakan oleh SMV Sultan Haji Ahmad Shah Kuala Lipis


 Tokoh Guru Peringkat Negeri Pahang 2012, Dato' Wan Mustama bin Wan Abdul Hayat. Penganugerahan Tokoh Guru kepada Dato' Wan sangat bermakna kepada warga pendidikan Lipis kerana Dato' Wan dilahirkan di Kuala Kemahang Lipis dan pernah berkhidmat sebagai guru dan Pengetua di daerah ini.

YAB Menteri Besar Pahang menyampaikan hadiah dan sijil kepada Dato' Wan Mustama. Tahniah Dato' Wan kerana telah dinobatkan sebagai Tokoh Negeri Pahang 2012. Maaf kerana banyak mengacau Dato' untuk mendapatkan biodata bagi dimuatkan di dalam buku program.

Saturday, June 16

The Day Before The Main Event Begins...

FORUM PENDIDIKAN
15 Jun 2012 ( 9.00 Pagi )
Dewan SMK Setia Wangsa


 Tiga orang panel yang dijemput untuk menjayakan program Forum Pendidikan Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Nageri Pahang 2012. Dari kiri, En. Yahya Zainal Abidin, Datuk Prof. Ramlah Adam dan Prof Roslan Baki. 

Tuan Haji Misnan, Pegawai Pelajaran Daerah Lipis selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola menyampaikan cenderamata kepada panel.


En. Haidzir bin Hussin, Pengetua SMK Clifford bertindak sebagai moderator

Sebahagian PPD yang hadir.

 Terima Kasih Cikgu... ( guru-guru yang bertugas di meja pendaftaran )

PERTANDINGAN WOODBALL
SMV Sultan Haji Ahmad Shah Kuala Lipis
15 Jun 2012, 2.30 Petang

Terima kasih kepada SMV SHAS Kuala Lipis kerana sudi mengelolakan pertandingan ini.

Hai letih benor gayenye nie...

PERTANDINGAN MEMASAK
Dewan Jubli Perak SHAS Kuala Lipis
15 Jun 2012, 2.30 Petang

Ramai juga yang mengambil bahagian dalam pertandingan memasak ini. Tahniah kepada Pn. Zaini binti Taibi, Guru Besar SK Limau Purut selaku Pengerusi JK Kerja.

Selamat memasak untuk semua. 

Team sekolah mana nie? Hiasan saja dah penuh meja.

MALAM KILAUAN INTAN LESTARI BUDI
Dewan SMK Clifford Kuala Lipis
15 Jun 2012, 8.00 Malam

Persiapan dewan sangat menarik cuma agak panas sedikit. Kebetulan juga la, Lipis tengah kemarau sekarang ini.

Dato' Dr. Shahrom Osman, Ahli Parlimen Lipis berada di Meja VIP bersama Pengarah Pelajaran Pahang, Timbalan Pengarah, Pegawai Daerah Lipis dan PPD Lipis.

Meja Ketua-Ketua Sektor

Pesara-pesara guru juga diraikan pada malam ini.

Terima kasih kepada penaja-penaja. Sumbangan anda semua membolehkan kami menganjurkan program sambutan Hari Guru 2012 ini dengan meriah sekali.

Power betul suara budak nie...terpegun semua tetamu mendengar dia menyanyikan lagu Ziana Zain. Cuma kening je yang tak terangkat.


14 yang sibuk

RAPTAI SAMBUTAN HARI GURU 2012
Tempat : Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis
14 Jun 2012 ( Khamis )

Puan Rozita, Pengetua SMK Padang Tengku selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan berbincang dengan En. Hamdan Harun, Timbalan PPD Lipis tentang susun atur acara sambutan. Bincang elok-elok ye...jangan gaduh pula.

Pasukan gendang Cina dah lama bersedia. Kesian adik-adik nie kerana terpaksa berlatih di tengah panas terik. Yang unik...ada seorang pelajar Melayu dalam pasukan ini.

Pasukan koir yang terdiri daripada guru-guru daerah Lipis giat berlatih. Harap-harap hari Sabtu nie dapat la mempersembahkan nyanyian yang mantap. Lagu 'Bila Berpacaran' tu best sangat tapi yang lelaki nampak kaku sikit.

KAYUHAN PENDETA ( BERBASIKAL SANTAI )
Tempat Mula / Tamat : Dewan SMK Setiawangsa
14 Jun 2012 ( 2.30 Petang )

Ustaz Ahmad Saifulzaman, Penyelia Kanan Agama Islam PPD Lipis sedang memberi taklimat keselamatan kepada semua pengayuh.

Aktiviti regangan dilakukan dahulu sebelum kayuhan dimulakan. Ini bagi mengelakkan berlakunya muscle injury.

Para pengayuh sudah bersedia

Encik Wan Abdul Hamid, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah melepaskan para penunggang.

RIADAH GUA BAMA
Tempat : Kampung Relong
14 Jun 2012 ( 2.30 Petang )

 Sebelum mendaki tu, kena la buat aktiviti regangan dahulu. Kalau tak buat nanti takut ada yang kena muscle stiffness pula.

Para peserta mula bergerak ke arah Gua Bama. Selamat mendaki.

Gelap weh dalam gua nie. Terima kasih kepada Tuan Haji Yusuf Ibrahim ( bekas Pengetua dan Guru Cemerlang ) yang telah memberi pengkisahan tentang Gua Bama ketika program ini berlangsung.

 Turun dari Gua Bama, masing-masing dah letih. Terima kasih kepada mantan PPD Lipis, Tuan Haji Zahari bin Haji Uda yang sudi mengadakan jamuan kepada para peserta di rumah beliau.

Turut hadir dalam program Riadah Gua Bama ini ialah En. Rosdy, Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang, En. Wan Abdul Hamid, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Tuan Haji Misnan, Pegawai Pelajaran Daerah Lipis dan Tuan Haji Tajuddin, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah.

SOLAT HAJAT
Tempat : Masjid Sultan Mahmud Kuala Lipis
14 Jun 2012 ( 7.00 Petang )

 Alhamdulillah...ramai juga jemaah yang hadir. Tuan Timbalan Pengarah dan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah juga turut serta dalam program ini.

Selepas solat maqrib diadakan solat hajat kemudian disusuli dengan bacaan yasin.

Tuesday, June 12

TPM akan turun ke Betau

Insyaallah...pada 21 Jun 2012 ini, YAB Tan Sri Muhyiddin bin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran akan mengadakan lawatan ke SK Betau. Lawatan beliau ini bertujuan melancarkan Program Transformasi Pendidikan Orang Asli dan Peribumi. Bagi warga pendidikan dan juga masyarakat orang asli daerah Lipis, sangat berharap agar lawatan ini menjadi titik tolak kepada merealisasikan hasrat kita untuk melihat sebuah sekolah menengah atau K9 diwujudkan di Betau. Dengan adanya sekolah menengah atau K9 ini, diharapkan kadar keciciran murid-murid orang asli akan dapat dikurangkan. 
Pagi tadi, saya bersama dengan Tuan Haji Misnan, Pegawai Pelajaran Daerah Lipis menghadiri mesyuarat yang diadakan di IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan Kuala Lipis bagi membincangkan pengisian kepada lawatan tersebut. Mesyuarat dipengerusikan oleh Dato' Mazlan bin Mohamad, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian. Selesai mesyuarat kami bertolak ke SK Betau untuk melihat lokasi dan mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan keperluan mendesak sekolah. Esok satu mesyuarat akan diadakan di Pejabat Daerah Lipis untuk membincangkan tentang persiapan bagi menyambut kehadiran YAB Tan Sri Muhyiddin.

 Kebetulan ketika berkunjung ke SK Betau, kelas KEDAP (Kelas Dewasa Ibu Bapa Murid Orang Asli dan Peribumi) sedang berjalan.

Dato' Mazlan mengambil kesempataan beramah mesra dengan masyarakat orang asli yang hadir ke kelas tersebut. Dato' memberi perangsang kepada mereka agar rajin datang ke kelas dan berusaha bersungguh-sungguh agar dapat membaca dengan baik.

Sunday, June 10

Pertandingan Memancing di kolam Sempurna Sejati

Pagi tadi telah berlangsung pertandingan memancing sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang 2012 yang telah diadakan di kolam ikan Sempurna Sejati, Kampung Beletik, Lubuk Kulit. Pertandingan ini merupakan sebahagian daripada 7 acara sampingan yang akan dijalankan sempena daerah Lipis terpilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Guru Peringkat Negeri pada tahun ini. Oleh kerana 10 tahun sekali baru berpeluang menjadi tuan rumah, maka banyaklah acara-acara yang dirancang untuk dilaksanakan. Pertandingan memancing merupakan acara pertama yang diadakan. Penyertaan agak menggalakkan dan difahamkan ada dalam kalangan peserta pertandingan datang sejauh Johor Bahru. Hem...hebat juga pukulan pertandingan memancing nie. Tetamu kehormat yang dijemput hadir ialah Dato' Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, ADUN kawasan Jelai merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang. Turut hadir ialah Tuan Haji Misnan bin Haji Mohd Damin, Pegawai Pelajaran Daerah Lipis. Pertandingan yang bermula pukul 9.00 pagi itu berakhir pada pukul 1.00 petang. Bagi Pihak JK Pengelola Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang 2012, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini terutama En. Jasmawari, Guru Besar SK Jeram Landak dan En. Hisam, tuan empunya kolam Sempuna Sejati di atas kerja kuat bagi memastikan program ini berjaya. Kepada semua Pegawai PPD Lipis, Pengetua dan Guru Besar yang turut hadir, sesungguhnya sokongan anda semua amat bermakna dan lambang kesepakatan kita warga pendidikan Lipis. Semoga momentum ini dapat diteruskan bagi acara-acara seterusnya.

Hanya kaki pancing sahaja yang sanggup menunggu berjam-jam tengah panas nie. Bior kulit jadi hitam, asalkan hati puas.
.
Hai...dah dekat tiga jam, sekor ikan pun tak dapat lagi nie. Balik mengeteh kat simpang Berchang lagi bagus ( agaknya inilah luahan hati abang yang menongkat dagu tu )
.
Berapa kilo agaknya nie bang, rasa-rasa boleh menang ke?
.
Jaga-jaga adik. Besor ikan tu...kang hilang jari sebatang.
.
Ikan keli nie kalau masak tempoyak, boleh buat kenduri tahlil...ajak jiran-jiran datang makan.
.
Bagi yang terlupa membawa peralatan memancing atau disabotaj orang rumah pagi tadi, jangan takut kat sini pun ada dijual peralatan-peralatan tersebut.
.
Yang tak minat memancing, boleh cuba-cuba nasib meneka biji labu. Lumayan juga hadiahnya.
.
Sebahagian warga pendidikan yang hadir. Dari kiri : En. Ahmad Daniar (Penolong PPD), En. Mohd Rosmi (GB SK Penjom), En. Ishak Mohamad (GB SK Pagar Sasak), En. Hasami (GB SK Wan Ibrahim) dan Tuan Haji Misnan (PPD Lipis).
.
Tuan Haji Misnan sedang menyampaikan hadiah saguhati kepada pemenang-pemenang.
.
Dato' Wan Rosdy sedang membuat cabutan nombor bertuah. Kacau-kacau sikit Dato', biar semua puas hati.
.
Dato' Wan Rosdy dan Tuan Haji Misnan bergambar bersana-sama dengan pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga. ( Hadiah pertama dapat RM20,000.00, hem...boleh keluar Viva sebiji nie )
.
Tuan Haji Misnan menyampaikan cenderahati kepada Dato' Wan Rosdy di atas kesudian beliau datang bagi menyempurnakan program sempena Sambutan Hari Guru ini.