Pages

Sunday, February 24

Sarana Ibu Bapa & Sarana Sekolah

"Anak Nadi Aspirasi Kita - Pendidikan Anak Tanggungjawab Bersama"

Hari ini teman menghadiri Majlis Pelancaran Sarana Ibu Bapa & Sarana Sekolah Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Majlis ini bermula jam 9.30 pagi dan berakhir pada jam 4.00 petang. Setiap daerah diwakili oleh 3 orang pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah dan 6 orang ahli PIBG bagi 5 buah sekolah terpilih.

Majlis ini sepatutnya dirasmikan oleh YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. Namun, atas sebab-sebab yang tidak diketahui beliau telah diwakili oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong.

Teman mewakili Tuan PPD Lipis yang tidak dapat hadir kerana terlibat dengan taklimat pengurus pilihan raya. Turut hadir bersama teman ialah Tuan Haji Zulfahkri Idris, Penolong PPD Perhubungan dan Ustaz Ismail Yahya, Penyelia Agama Islam. Emm...sempat juga la teman posing kat luar dewan.

Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah sebagai inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta ke arah bersatu dan menyokong satu matlamat iaitu membantu murid berjaya. Penglibatan anda mampu mengubah sistem pendidikan negara ke arah kecemerlangan dan kemenjadian murid seperti yang diharapkan. Program ini adalah sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025.

Thursday, February 7

Opmen : mungkin ini yang akhir

Saya baru sampai dari Kuala Lumpur sekitar jam 6.00 petang tadi. Saya bersama sahabat saya, En. Syamsul Rizal Idris (Guru Data SMK Clifford) menghadiri Mesyuarat Verifikasi Data Opmen Bilangan 1/2013 di Plaza Hotel, Kuala Lumpur. Sepatutnya En. Ariff Omar selaku JU Opmen Daerah yang menemani saya ke mesyuarat ini tetapi beliau terpaksa pula menghadiri satu mesyuarat di Summit Hotel USJ. Walaupun tanpa Ariff, saya bersama dengan Syamsul mencuba dengan sedaya yang boleh untuk memastikan data daerah Lipis tepat dan terkini. 
Sudah beberapa kali terdengar bahawa Opmen (Operasi Menengah) ini akan ditamatkan dan fungsinya akan diambil alih oleh eOperasi. Namun, aplikasi ini masih lagi digunakan untuk mendapatkan maklumat tentang pengisian guru di sekolah-sekolah menengah. Dan kali ini pun masih terdengar suara-suara mengatakan bahawa ini merupakan perjumpaan terakhir bagi verifikasi data Opmen. Emm..mungkinkah kali ini betul-betul akan terjadi? Nampaknya semua Penolong PPD Menengah dan JU Opmen Daerah mesti bersedia untuk menghadapi apa-apa perubahan yang akan berlaku.

En. Wan Abdul Hamid, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah sedang menyampaikan Ucaputama. Pesanan beliau yang perlu diingat ialah 'semua orang mesti mempunyai responsibility terhadap data yang diberi. Data yang tidak tepat akan memberi gambaran yang tidak betul terhadap keperluan guru di sesebuah lokasi'

Pada petang Isnin yang lalu, bertempat di Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) SK Betau telah berlangsung Mesyuarat Pelan Pembangunan Pendidikan Orang Asli Daerah Lipis. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Misnan bin Haji Mohd Damin, Pegawai Pelajaran Daerah Lipis itu, membincangkan dua perkara utama yang saban waktu diperkatakan tahkala menyentuh perihal pencapaian pendidikan pelajar-pelajar Orang Asli. Dua perkara tersebut ialah masalah ponteng sekolah dan prestasi rendah. 
Selepas perbincangan yang panjang lebar, dua tindakan yang dikenalpasti bagi menangani situasi ini ialah ibu bapa penjaga perlu diberi kesedaran tentang kepentingan ilmu pengetahuan dan masa depan anak-anak mereka dalam dunia yang semakin berubah ini. En. Achom Luji, salah seorang aktivis masyarakat Orang Asli memohon agar pihak-pihak yang bertanggungjawab turun ke grassroots untuk memberi motivasi kepada ibu bapa pelajar-pelajar Orang Asli ini agar mereka akan berusaha memastikan anak-anak mereka mahu ke sekolah. Tindakan kedua yang diminta oleh Tuan PPD ialah penubuhan pasukan 'Task Force' bagi membantu dan memantau pelaksanaan program P&P di sekolah-sekolah Orang Asli.