Pages

Monday, December 28

Padang Besar, Perlis

Salam untuk semua,

Dua minggu yang lalu, teman sekeluarga pulang bercuti di kampung. Semenjak arwah ayah dah tak ada, kenalah kerap balik untuk menziarahi mak yang barangkali masih terasa kehilangan ayah teman. Teman cuti mulai 16 hingga 18 Disember 2015. Malas nak balik waktu cuti Krismas 25 hari bulan yang lalu, bimbang highway jem pulak. Dah berumur ni, tak larat dah nak terperap dalam kereta berjam-jam. Dalam tak jem pun dah 9 jam dari Kuala Lipis ke kampung teman di Kedah. Kalau jem, macam balik raya hari tulah...12 jam. Naik kematu tumit menekan minyak.

Dah terlanjur balik kampung tu, terasa pulak nak jalan-jalan ke Padang Besar, Perlis. Rasanya mau 10 tahun dah teman tak berkunjung ke situ. Padang Besar ialah pekan berhampiran sempadan daerah Songkla, Thailand. So, boleh fahamlah jenis-jenis barang yang dijual kat sini. Made in Thailand belakalah...macam kat Bukit Kayu Hitam, Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang.

Dari rumah mak teman ke Padang Besar tu cuma 1 jam perjalanan je. Sekarang ni dah ada jalan terus ke Padang Besar tak perlu lagi melalui bandar Arau ataupun bandar Kangar. Melalui highway Plus Utara Selatan terus je ke Bukit Kayu Hitam, selepas melepasi bandar Changlun akan nampak susur keluar ke Lebuhraya Changlun - Kuala Perlis, follow je lebuhraya tu. Drive lebih kurang 10 minit akan nampak Universiti Malaysia Perlis di sebelah kanan, keluar dari lebuhraya ambil jalan nak menuju ke universiti tersebut dan terus jelah. Jalan tu akan terus ke Padang Besar.

Lokasi utama aktiviti berjual beli kat Padang Besar ini terletak di sekitar bangunan Arked Niaga. Memang crowded betullah keadaan di sekitar kawasan perniagaan ini. Banyak betul orang berniaga, cuma barang-barangnya hampir sama sahaja iaitu pakaian, perkakas dapur dan makanan kering. Teman tak dayalah nak meronda setiap kedai tu. Cari pot duduk lepak layan handphone, biar orang umah dengan my youngest son jelah yang jalan-jalan cari barang.

Pergi berjalan tak bawa cameraman, kena ambil gambar sendirilah. Nak harapkan my youngest son, em...memang tak boleh. Bukan saja tak suka bergambar, nak minta tolong ambil gambar pun tak nak. Monopod tertinggal pulak tu...

Terasa lapar, boleh menjamu selera di kedai-kedai makan yang ada di perkarangan Arked Niaga ini. Jangan risau, gaya percakapannya peniaga-peniaga ni orang Malaysia belaka. Kalau loqhat Thailand tu, was-was jugalah teman. Aduhai, kecur air liur menengok laksa penang tu...pepalih sedap.

Antara barang-barang yang orang umah beli. Bagi peminat masakan Thai tentu tahu kegunaan benda ni kan. Em...lesung kayu untuk menyediakan somtam. Balik nanti bolehlah mencuba somtam buatan sendiri. Haha...jangan jadi hiasan dalam almari sudahlah.

Sunday, December 13

Bengkel Immersion di IAB Bandar Enstek

Salam buat semua,

Pada 1 hingga 4 Disember baru-baru ini, teman dikehendaki hadir ke Institut Aminuddin Baki, Kampus Induk Komplek Pendidikan Nilai, Bandar Enstek. First time sampai sini, tu yang tersesat-sesat tu. Pakai Waze pun boleh tersilap jalan juga. Selalu kalau datang area sebelah sini sampai Nilai 3 je, beli kain.Tak pernah lajak sampai ke Bandar Enstek ni.

Bersama Tuan Haji Ishak bin Mohamad, Guru Besar SK Relong yang telah dilantik sebagai Principal Coach teman. Sepanjang 4 hari berbengkel di sini, semua Guru Besar baharu ambilan 2014 dan 2015 dikehendaki menyiapkan Perancangan Strategik sekolah masing-masing. Dalam menyiapkan Perancangan Strategik ini, kami akan dibantu oleh Principal Coach masing-masing.

Berbaju biru, Encik Ab. Yazi bin Juhat, Guru Besar SK Felda Kechau 1 merangkap Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Lipis. Beliau hadir sebagai Principal Coach (PC) kepada Pn. Siti Aishah binti Omar, Guru Besar SK Teluk Gunung. Selain Tuan Haji Ishak dan En. Ab Yazi, turut dilantik sebagai PC ialah En. Muhd Hasbi bin Ibrahim (GB SK Berchang) yang menjadi PC kepada En. Borhan bin Long, Guru Besar SK Jeram Landak dan En. Abdul Rani bin Akob (GB SK Kuala Telang) yang menjadi PC kepada En. Shawaluddin bin Abu, Guru Besar SK Kuala Medang.

Alhamdulillah...selesai 4 hari kat sini. Perancangan Strategik pun hampir 90 peratus siap. Balik nanti nak kena murnikan sebab hari Jumaat 11 Disember dah nak kena emailkan kepada Pengurus Bengkel. Em...sebelum balik tu, sempat jugalah bergambar dengan Pn. Aniza binti Wahab (GB SK Jengka 25), Pn. Siti Aishah binti Omar (GB SK Teluk Gunung) dan En. Ab Yazi bin Juhat (GB SK Felda Kechau 1)

Kepada yang berhajat untuk melihat Perancangan Strategik sekolah teman bolehlah berkunjung ke Laman Blog berikut :


(sebarang kekurangan terhadap Perancangan Strategik tersebut, teman mohon banyak-banyak kemaafanlah ye)

Tuesday, November 24

Mesyuarat MGB Daerah Lipis Kali Ke-29

Salam untuk semua,


Biar gambar berbicara...

En. Rani bin Akob, Setiausaha MGB Daerah Lipis memulakan majlis perasmian mesyuarat. Segak bergaya AJK MGB kita ni...macam mesyuarat koperasi pulak.

En. Nor Ahmad bin Abd Rahim, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Lipis menyampaikan ucaputama. Banyak harapan yang beliau sandarkan kepada MGB Lipis untuk memacu kecemerlangan pendidikan daerah. In shaa Allah, tuan.

Sebahagian Guru Besar yang hadir. Hai, depan betul GB SK Kampung Keledek duduk...Cikgu Khaty

En. Ab Yazi bin Juhat, Pengerusi MGB Daerah Lipis menyampaikan cenderamata kenang-kenangan kepada Tuan KPPD.

Slot kedua hari ini, taklimat penataran format baru UPSR. Teman diminta menjadi pengacara majlis. Kebetulan yang akan menyampaikan taklimat tersebut adalah mantan bos teman sewaktu bertugas sebagai Penolong PPD Menengah dulu.

Tuan Haji Mohd Razali Mustafar, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan JPN Pahang dijemput khas untuk menyampaikan taklimat berkaitan format baru UPSR yang akan dilaksanakan mulai 2016. Beliau dibantu oleh En. Muhammad Isa Harun, Penolong Pengarah PBS Menengah.

Semoga taklimat ini memberi pemahaman yang lebih jelas kepada kita semua tentang format baru peperiksaan UPSR.

Pengerusi MGB Lipis, En. Ab Yazi menyampaikan cenderamata kenang budi kepada Tuan KS di atas kesudian memenuhi jemputan untuk menyampaikan taklimat.

Sedikit info tentang Majlis Guru Besar Daerah Lipis :

Pengerusi : En. Ab Yazi bin Juhat (SK Felda Kechau 1)
Timbalan Pengerusi : En. Muhd Hasbi bin Ibrahim (SK Berchang)
Setiausaha : En. Rani bin Akob (SK Kuala Telang)
Bendahari : En. Jasmawari bin Majid (SK Kuala Lanar)

Majlis Makan Malam Sekalung Budi Sejambak Kasih

Salam untuk semua,
Malam 23 November, bertempat di Hotel Heritage Cameron Highlands, Majlis Guru Besar (MGB) Daerah Lipis telah menganjurkan Majlis Makan Malam sempena meraikan Guru Besar-Guru Besar yang telah dan akan bersara.

Majlis ini diadakan bagi meraikan Guru Besar-Guru Besar yang bersara pada tahun 2014 dan 2015.

Antara Guru Besar yang diraikan pada malam ini ialah Tn. Haji Molok (SK Kerambit), Pn. Hajah Norizan (SK Tempoyang), En. Badaruddin (SK Tanjung Besar), En. Zainal Kamarudin (SK Relong) dan En. Jamaludin (SK Clifford). Dua orang tidak dapat hadir iaitu En. Malik (SK Kuala Medang) dan En. Aziz Bakar (SK Kuala Koyan).

Alhamdulillah, ramai juga ahli-ahli MGB yang dapat hadir.

Doa makan dah dibaca...tunggu apa lagi tuan-tuan GB semua...jalanlah.

Em...dah kenyang belaka, kita dengar ucapanlah pula yer...

Guru Besar yang bersara (dari kiri) Tuan Haji Molok, En. Hasami, En. Rosmi dan En. Badaruddin.

Tuan KPPD, En. Nor Ahmad bin Abd Rahim dan isteri turut hadir.

Tuan KPPD menyampaikan cenderamata kepada Pn. Noraziah, Guru Besar SK Felda Chegar Perah yang akan bersara pada bulan Disember ini.

Hadiah khas kepada Guru Besar yang mana sekolah mereka terpilih sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan. Sekolah-sekolah tersebut ialah SK Tempoyang, SK Penjom, SK Wan Ibrahim dan SK Chat. Tahniah semua.

Thursday, November 19

Cerita tentang gambar

Salam untuk semua,

Program terakhir sesi persekolahan 2015 bersama anak-anak Pasak. Program berkhatan yang diadakan pada 20 November 2015.

Seramai 11 orang murid menyertai program berkhatan ini.

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 19 November 2015 di Dewan UMNO Bahagian Lipis. Majlis dirasmikan oleh En. Nor Ahmad bin Abd Rahim, Pegawai Pendidikan Daerah.

Puan Norhayati binti Mohd Said, GPK Pentadbiran SK Pagar Sasak sedang menerima anugerah daripada Tuan PPD.

Jamuan selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Turut bersama teman di meja makan tersebut ialah En. Rani (GB SK Telang), En. Zali (GB SK Gua), En. Hasbi (GB SK Berchang), En. Jasma (GB SK Kuala Lanar), En. Zainal (GB SK Clifford), En. Kamarudin (Pengetua SMK Merapoh) dan En. Ramli (GB SK Aur Gading).

Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Murid & Graduasi Prasekolah SK Pagar Sasak 2015. Majlis dirasmikan oleh Tuan Haji Abd Shukur bin Jamaludin, Penghulu Mukim Kechau. Turut hadir Cik Siti Haslina binti Che Hassan, Penolong PPD Kualiti, Pejabat Pendidikan Daerah Lipis.

Tuan Haji Abd Shukur sedang menyampaikan hadiah dan sijil kepada murid prasekolah. Terima kasih Tok Penghulu kerana sudi hadir.

17 November 2015, keputusan UPSR diumumkan. En Hassan Basri, Timbalan PPD sedang menyerahkan keputusan keseluruhan daerah Lipis kepada En. Nor Ahmad, Pegawai Pendidikan Daerah Lipis.

Teman sedang menerima keputusan UPSR SK Pagar Sasak daripada Tuan PPD. Hati berdebar tu, tak payah cerita la. Kalau nak tahu keputusan sekolah saya, sila lawati laman blog http://skpslipis.blogspot.my

Hadir untuk meraikan persaràan Puan Noraziah, Guru Besar SK Felda Chegar Perah pada 17 November 2019.

Menikmati jamuan sejurus selesai majlis persaraan tersebut.

Menghadiri kenduri kahwin anak En. Fauzi di Dewan Jubli SHAS Kuala Lipis pada 17 November 2015.

Sempat juga memenuhi jemputan Tuan Haji Ibrahim bin Aziz di Kampung Dusun. Tuan Haji Ibrahim ialah mantan Penyelia Sekolah Rendah, Pejabat Pendidikan daerah Lipis.

Perkahwinan anak sedara teman di Kedah pada 17 November 2015. Lelaki t-shirt merah kiri sekali tu, adik teman...Roslan.

Maaf Am...Pak Dak tak dapat balik. Hujung tahun ni banyak kerja nak kena beres kat sekolah.

Dato' Rosdi Ismail, Pengarah Pendidikan Pahang menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan kugiran sempena PSKPP peringkat negeri Pahang yang diadakan di SK Wan Ibrahim.

Hadir bersama beberapa orang Guru Besar untuk memeriahkan  majlis tersebut. Tahniah kepada kumpulan kugiran dari Raub yang telah berjaya menjadi johan.


Monday, October 26

Dari rakan sejawatan menjadi bos...

Salam untuk semua,


Majlis Meraikan Pertukaran Tuan Pegawai Pendidikan Daerah Lipis

Pada malam 10 Oktober 2015, bertempat di Jeram Bechung, Kuala Medang telah diadakan majlis meraikan pertukaran Tuan Haji Misnan bin Haji Mohd Damin, Pegawai Pendidikan Daerah Lipis yang akan bertukar ke Pejabat Pendidikan Daerah Bentong.


Teman bersama En. Muhd Hasbi Ibrahim (GB SK Berchang), En. Borhan Long (GB SK Jeram Landak), En. Rani (GB SK Kuala Telang) dan En. Jasmawari Idris (GB SK Kuala Lanar) antara yang turut hadir.   

Turut memeriahkan majlis ini ialah YB Dato' Seri Wan Rosdy, Exco Kerajaan Negeri Pahang merangkap ADUN Jelai, YB Dato' Mustafa Long, ADUN Padang Tengku, Tuan Kadi Daerah Lipis (tiada dalam gambar) dan En. Nor Ahmad bin Abd Rahim, Pegawai Pendidikan Daerah Lipis yang baharu.

Kenangan akhir bermain bowling di Berjaya Megamall, Kuantan bersama Tuan Haji Misnan bin Haji Mohd Damin sebelum teman meninggalkan PPD Lipis untuk berkhidmat di SK Pagar Sasak. Kepada mantan bos teman ni, diucapkan selamat bertugas di tempat baharu. Semoga sukses selalu.

Program Perjumpaan Tuan Pegawai Pendidikan Daerah Bersama Guru Besar Sekolah-Sekolah Rendah Daerah Lipis

Menghadiri perjumpaan pertama dengan Tuan Pegawai Pendidikan Daerah Lipis yang baharu, En. Nor Ahmad bin Abd Rahim pada 20 Oktober 2015 di Dewan Wacana Minda, PPD Lipis. Yang patah kan tumbuh, yang pergi kan berganti...

En. Nor (duduk nombor 4 dari kanan) adalah rakan sejawatan teman sewaktu bertugas sebagai Penolong PPD Pengurusan Sekolah Menengah dulu. Waktu itu beliau adalah Penolong PPD Menengah Pejabat Pendidikan Daerah Raub. Sebelum dilantik sebagai PPD Lipis beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan PPD Cameroon Highland dan Ketua Penolong Pengarah (KPP) Unit Pengurusan Sekolah Menengah Jabatan Pendidikan Pahang. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu...
(Info gambar : Mesyuarat Verifikasi Data Opmen di Hotel Felda Residensi Kuala Terengganu, Julai 2011)


Tahniah tuan di atas pelantikan sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Lipis. Semoga semangat muafakat warga pendidikan Lipis yang tergambar waktu perjumpaan baru-baru ini, menjadi sokongan kuat kepada tuan untuk menerajui daerah bertuah ini ke arah kecemerlangan. Muafakat membawa berkat, berpecah membawa rebah.


Majlis Persaraan Guru Besar SK Penjom

Akan tiba masanya, bagi setiap penjawat awam untuk menamatkan khidmatnya apabila usia persaraan telah tiba.


Saya hadir ke SK Penjom pada 16 Oktober 2015 bersama beberapa orang Guru Besar lain untuk sama-sama meraikan majlis persaraan En. Rosmi bin Mohd Din yang akan bersara wajib mulai 18 Oktober ini. 

Kepada En. Rosmi, selamat menempuhi hari-hari persaraan. Semoga kejayaan yang telah dilakarkan di SK Penjom akan diteruskan oleh pengganti tuan nanti. Jasa bakti tuan akan sentiasa dikenang dan menjadi contoh kepada pemimpin-pemimpin akan datang.
(em...sebelah teman tu, bukan En. Rosmi ye, itu En. Hasbi, Guru Besar SK Berchang)