Pages

Wednesday, August 15

Mesyuarat Pengurusan Pendidikan Daerah Lipis

Pagi semalam (14 Ogos) telah diadakan Mesyuarat Pengurusan Pendidikan Daerah Lipis Bilangan 2 / 2012. Semua Pengetua dan Guru Besar diwajibkan hadir. Namun ada juga yang tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu. Mesyuarat yang bermula jam 8.30 pagi itu telah berlanjutan sehingga pukul 2.00 petang. Maklumlah sudah lama tidak bermesyuarat, jadi banyaklah perkara yang hendak ditaklimat kepada semua pentadbir sekolah-sekolah di daerah Lipis ini. Oleh kerana masa yang agak terhad, maka setiap unit yang mengambil bahagian dalam mesyuarat ini hanya diberi masa 30 minit sahaja (hakikatnya ramai yang tidak patuh pada masa tersebut).
.
Sebagai Ketua Unit Pengurusan Sekolah, saya telah menyentuh 3 perkara iaitu kedudukan guru, pengurusan guru ganti dan pengurusan murid. Fokus utama saya sudah tentulah kepada pengurusan guru ganti kerana terdapat aduan yang dikemukakan kepada saya baru-baru ini. Dalam penerangan saya itu, saya cuba stress kepada 2 perkara penting iaitu i) Proses pengambilan guru ganti tidak boleh dilakukan melalui telefon. Apabila wujud keperluan guru ganti di sekolah, menjadi tanggungjawab pihak sekolah untuk mengisi Borang Permohonan Guru Ganti dan dihantar ke PPD bersama-sama salinan dokumen-dokumen cuti guru terbabit. ii) Permohonan tidak akan diproses dan akan dipulangkan semula kepada pihak sekolah sekiranya pengisian borang serta dokumen-dokumen yang dilampirkan tidak lengkap. .
.
Sayang sekali semasa membuat conclusion saya gagal untuk membuat penegasan terhadap dua perkara ini. Oleh itu, saya tidak pasti sama ada Pengetua dan Guru Besar benar-benar faham apa yang saya cuba sampaikan dalam mesyuarat tersebut. Pagi semalam, seorang Guru Penolong Kanan sebuah sekolah rendah telah menelefon saya untuk memohon guru ganti. Saya bertanya beliau 'Guru Besar tak cakap apa-apakah berkaitan pengambilan guru ganti ini?'. Beliau menjawab 'Tidak'. Jelaslah kepada saya bahawa matlamat penyampaian saya tidak tercapai.

Tuan Haji Misnan, Pegawai Pelajaran Daerah menyampaikan wang zakat MAIP kepada sekolah-sekolah terlibat.
.
Selesai saya memberi taklimat, 2 orang Guru Besar telah bangun menyatakan soalan. Dimulai dengan Guru Besar SK Penjom. Beliau bertanya kedudukan Guru Bimbingan Kaunseling sekolah beliau yang ditukarkan ke SK Betau dan kemudiannya ke SK Benta. Saya mula mengetahui pertukaran ini apabila En. Ahmad Daniar Ismail, Penolong PPD Bimbingan Kaunseling & Kerjaya memaklumkan kepada saya. Saya seterusnya bertanya perkara ini kepada En. Zakaria Samah, Penyelia Kanan Sekolah Rendah. Beliau nampaknya seperti tidak tahu menahu tentang perkara ini. Lantaran itu saya meminta beliau menghubungi Unit Kaunseling JPN Pahang untuk mengetahui kedudukan sebenar situasi ini. Encik Zakaria kemudiannya memaklumkan kepada saya bahawa SK Penjom tidak layak untuk mendapat Guru Bimbingan Kaunseling kerana jumlah enrolmennya tidak mencukupi, murid prasekolah tidak diambil kira. Oleh kerana perkara ini berlaku di sekolah rendah, maka saya rasa cukuplah maklumat itu yang saya pegang. Apabila perkara ini dibangkitkan dalam mesyuarat tersebut, maka itulah jawapan yang saya dapat berikan. Namun, Guru Besar SK Penjom mempunyai maklumat baru yang diperolehi daripada salah seorang Pegawai di Unit Rendah JPN Pahang. Mengikut pegawai tersebut murid prasekolah diambil kira dalam menentukan kelayakan sekolah untuk mendapat Guru Bimbingan Kaunseling. Maka bertembunglah dua fakta daripada 2 unit yang berbeza. Fakta ketiga kemudiannya muncul apabila En. Shahrom Othman, Penolong PPD SPK yang baru menghubungi Unit Kaunseling JPNP memaklumkan bahawa SK Penjom layak cuma KG (Kelayakan Guru) Guru Bimbingan Kaunseling sekolah tersebut tidak disediakan oleh pihak Kementerian. Memandangkan terdapat 3 fakta yang bercanggahan ini, saya tidak dapat menyatakan keputusan terbaik untuk persoalan yang timbul ini. Petang semalam saya telah meminta En. Zakaria menyelidiki semula perkara ini supaya jawapan yang diperolehi nanti betul-betul meyakinkan. Jika menjadi hak SK Penjom untuk mendapat seorang Guru Kaunseling, maka itulah yang akan kita usahakan termasuklah membawa kembali guru yang bertukar itu ke pangkuan sekolah tersebut.
.

Sejurus kemudian, Guru Besar SK Clifford pula bangun untuk bertanyakan tentang ketiadaan Guru Bimbangan Kaunseling (GBK) di sekolah beliau. Saya tidak pasti sama ada beliau ikhlas ingin tahu atau sekadar untuk menghangatkan perbincangan berkaitan GBK ini. GBK SK Clifford iaitu Encik Ahmad Daniar bin Ismail telah dibawa ke PPD Lipis sebagai Penolong PPD Bimbingan Kaunseling & Kerjaya. Jawatan beliau ini ialah jawatan interim iaitu bersifat 'sementara'. Ini bermaksud suatu hari nanti beliau akan pulang semula ke SK Clifford untuk mengisi semula jawatan yang telah beliau tinggalkan itu. Oleh itu, seandainya kekosongan beliau diganti sekarang maka ke mana beliau akan ditempatkan semula apabila tempoh perkhidmatan di PPD Lipis telah tamat? Walau bagaimanapun kita menaruh harapan yang tinggi agar berlaku penstrukturan semula perjawatan di PPD di mana semua jawatan interim yang ada akan dihakikikan. Jika jawatan interim ini dihakikikan, maka bolehlah kita mengisi semua kekosongan jawatan di sekolah yang disebabkan pengambilan pegawai-pegawai interim seramai 8 orang di PPD Lipis ini. Tujuan membawa pegawai-pegawai interim ke PPD ialah untuk memperkasakan PPD. Memperkasakan PPD juga bermaksud memperkasakan sekolah.

The Voice of Peace
.
Sebuah keluarga albino India menunggu makanan dan derma daripada orang ramai untuk berbuka puasa di perkarangan masjid Shahi Jama, Ahmedabad.
( Gambar dari Utusan Malaysia 14 Ogos 2012 )

Melihat keluarga ini, hati siapa tidak tertangkap untuk merasa sedih. Sungguh bernasib baik kita di negara Malaysia tercinta ini. Rasanya tiada rakyat Malaysia begini. Bersyukurlah ke hadrat Allah SWT di atas limpah rezekinya kepada kita semua. Semoga keamanan yang kita nikmati ini akan berkekalan. Hanya keamanan sahaja dapat menjamin kita bebas mencari rezeki serta tenang dalam mensyukuri pemberianNya. Sahabat...bertindaklah dengan bijak, janganlah terlalu mengikut emosi. Berpada-padalah dalam menegakkan pendirian. Marilah kita wasiatkan kepada anak-anak dan cucu-cucu kita, negara Malaysia yang aman dan makmur ini.

"Keamanan umpama kaca. Senang dihancurkan tetapi sukar untuk membaikinya"

No comments: