Alhamdulillah...selepas mengharungi perjalanan hampir 12 jam, maka sampailah saya ke kampung halaman saya di Kubang Pasu, Kedah. Perjalanan balik kampung kali ini agak mencabar. Biasanya saya perlu 9 jam sahaja untuk sampai tetapi oleh kerana banyak halangan, maka kenalah tambah 3 jam lagi. Kereta yang banyak, hujan sepanjang jalan dan kemalangan dua tiga tempat menyebabkan kelewatan sukar dielakkan. Bertolak pukul 2 petang, pukul 2 pagi baru sampai. Molek juga tu, sampai-sampai boleh terus sahur.
.
Negeri kelahiranku...Kedah Darulaman, negeri jelapang padi Malaysia. Teringat waktu dulu-dulu, di dalam sawah inilah saya bergelumang dengan lintah dan lumpur untuk membantu kedua orang tua saya. Terkadang kami terpaksa tidur di sawah ini, terutama ketika musim menuai. Takut-takut padi yang siap dituai dicuri orang. Kejadian padi dicuri orang nie, memang kerap berlaku pada masa itu. Terutamanya jika padi yang dituai itu siap dimasukkan ke dalam guni. Emm...mudahlah pencuri tu angkut bawa pergi jual. Dalam post terdahulu saya ada ceritakan bagaimana kerbau yang digunakan oleh ayah saya untuk mengambil upah membajak sawah dicuri orang. Teruk punya penyamun! Tak pasal-pasal ayah saya hilang mata pencarian. Namun rezeki Allah tetap ada, tak lama selepas kejadian itu, ayah saya diterima bekerja sebagai watchman kat MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda).
Imran bergambar bersama sepupu-sepupunya berlatarkan sawah padi terbentang luas. Sekarang ini padi sedang berbuah lebat, tak lama lagi bolehlah menuai. Dulu-dulu selepas musim menuai, kami akan bermain wau. Ayah saya pandai buat wau tapi sayang, bakat dia tu tak pula diperturunkan kepada saya. Bila anak-anak minta saya buat wau, yang mampu saya buat hanya layang-layang 4 segi sahaja.
Yawata merupakan pusat membeli belah yang saya tidak pernah miss setiap kali balik kampung. Pasaraya nie tidaklah hebat sangat tapi seronok mengunjunginya. Terletak di bandar Darulaman 2 km dari bandar Jitra. Yang peliknya orang Alor Star pun datang shopping kat sini.
Pagi tadi Naim ajak saya ke Komplek Pekan Rabu, Alor Setar. Katanya ingin membeli kuih loyang madu dan serunding daging. Kami terpaksa pergi sebelum pukul sepuluh lagi bagi mengelakkan jem. Oleh kerana terlalu awal banyak kedai yang masih belum dibuka.
Untunglah kedai yang buka awal. Kami menjadi pelanggan pertama mereka.
Bunga api dan mercun merupakan elemen penambah kemeriahan sambutan hari raya. Malangnya hari ini, disebabkan kepandaian manusia macam-macam mercun yang berbahaya dihasilkan. Maka adalah yang putus jari dan buta mata. Pada zaman dahulu ketika saya masih kecil rasanya ada dua jenis mercun sahaja iaitu mercun roket dan mercun katak. Kedua-dua mercun ini tidak berbahaya dan jauh sekali untuk mencederakan kita. Namun dengan adanya mercun-mercun berbahaya ini, kita jadi takut dan melarang anak-anak bermain dengannya. (Hem...kena main bunga api je la anak teman nie)
Memasang pelita pada malam raya macam tak sah kalau tak buat. Waktu masih sekolah dahulu, sekeliling rumah saya pasang. Sekarang nie dah tua-tua bagi anak-anak pulalah yang pasang.
Esok Hari Raya Aidil Fitri, oleh itu di kesempatan ini saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin.
No comments:
Post a Comment