Pages

Thursday, May 31

Sekolah Indera Shahbandar Pahang (SISP)

Dalam perjalanan balik dari Kuantan tadi, dua tiga kali juga nak terbabas. Mengantuk betul rasanya. Dua botol Red Bull tak memberi apa-apa kesan. Maklumlah malam semalam pukul 2 pagi baru dapat tidur kerana menyiapkan biodata Tokoh Guru Negeri Pahang 2012 yang akan dimasukkan ke dalam buku program Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri yang akan diadakan di Lipis pada 16 Jun nanti. Bermula dari 29 Mei saya berada di De-Rhu Beach Resort, Kuantan untuk menghadiri Seminar Jejak Gemilang UPSR 2012, Sekolah Indera Shahbandar Pahang (SISP). SISP ialah sekolah rendah yang diwujudkan di sekolah menengah bermula dari Tahun 4 hingga Tahun 6. Di negeri Pahang terdapat 4 buah SISP iaitu di SMK Clifford (Lipis), SMK Seri Bentong (Bentong), SMK Seri Tualang ((Temerloh) dan SMK Seri Pekan (Pekan). Untuk memasuki sekolah ini, murid-murid Tahun 3 sekolah-sekolah rendah di daerah berkenaan dan daerah-daerah berdekatan terlebih dahulu dikehendaki lulus ujian kemasukan. Kebanyakan murid-murid SISP ini akan tinggal di asrama. Pada peringkat awal agak sukar bagi mereka untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di asrama, maklumlah masih muda dah terpaksa berdikari. Namun dengan adanya Pembantu Pengurusan Murid beberapa tugasan harian mereka dapat diringankan.
Bermula dari 28 hingga 31 Mei, murid-murid Tahun 6 SISP ini dikumpulkan di De-Rhu Beach Resort untuk program motivasi dan pengukuhan mata pelajaran. Perbelanjaan sepanjang berada di hotel ini telah ditanggung oleh Yayasan Pahang. Semoga dengan adanya program-program sebegini, kecemerlangan pendidikan SISP akan lebih menyerlah.

 Pegawai-Pegawai JPN, PPD dan guru-guru SISP sedang tekun mendengar buah fikiran dan pandangan dalam sesi perkongsian ilmu ke arah kecemerlangan SISP

 Malam Apresiasi Seni. Di meja utama - Tuan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah bersama-sama Pengetua-Pengetua SISP.

 Bersama rakan sebilik, En. Mohamad Bakri, Penolong PPD Menengah Maran.

 Tarian Selamat Datang yang dipersembahkan oleh murid-murid SISP sejurus majlis bermula

 Berbakat juga murid-murid SISP nie..siap boleh buat drama muzikal lagi,

Lama dah dengar tentang keistimewaan mee calong Beserah tetapi tidak pernah ada kesempatan untuk merasanya. Alhamdulillah...kebetulan berada di Kuantan nie, bolehlah pekena mee calong. Hem...memang sedap. Kalau deme kebetulan ke Kuantan...lajak-lajaklah ke Beserah, boleh pekena mee calong. Warung tu tepi jalan je, dekat Petronas jalan Beserah. Kalau dari bandar Kuantan sebelah kiri.

2 comments:

SK TEMPOYANG said...

SISP dalam kenangan dan ingatan saya pada setiap masa. Terlalu banyak memori indah di sini. Jerih perih mengurus anak-anak yang berusia 10 tahun hingga 12 tahun amat menguji saya. Namun segalanya menjadi mudah berkat kerjasama semua pihak. Terimakasih seluruh warga SMKC 1997 hingga 2003.

Nuri said...

Teringat kenangan menjadi pelajar SISP batch pertama tahun 97-99...ada pahit, ada manis, tapi berharga...terima kasih cikgu2...Selamat Hari Guru