Pages

Wednesday, March 31

Tallest Man in The World


Dengan ketinggian 6 kaki 2 inci, saya rasa sudah cukup tinggi. Namun setelah dibandingkan dengan dua lelaki di atas iaitu George Bell dari Amerika Syarikat dengan ketinggian 7 kaki 8 inci dan Bao Xishun dari China yang setinggi 7 kaki 9 inci rasanya saya tidaklah terlalu tinggi. Di Malaysia lelaki tertinggi yang tercatat dalam Malaysia Book of Records ialah Hoo Sun Foo dari Selama, Perak dengan ketinggian 6 kaki 9 inci.
Hati saya tergerak untuk menulis tentang topik ini setelah menonton dokumentari 'Extreme Bodies' yang ditayangkan di Discovery Channel beberapa hari yang lalu. Dokumentari ini mengisahkan kehidupan George Bell selaku lelaki yang paling tinggi di Amerika Syarikat dengan ketinggian 7 kaki 8 inci. Beliau yang bekerja sebagai Penolong Sherif di penjara bandar Norfolk merupakan lelaki ketiga tertinggi di dunia. Mengikut doktor ketinggian George disebabkan tumor yang tumbuh pada kelenjar pituitari. Tumor itu menyebab kelenjar pituitari terus menerus mengeluarkan hormon yang meransang pertumbuhan tulang. Dengan bantuan pakar, tumor itu telah berjaya dibuang. George mengakui kehidupannya agak sukar dan sering menjadi fokus orang ramai.
Menyusuri cerita George ini, saya berasa insaf dan bersyukur. Walaupun saya agak tinggi jika dibandingkan dengan ketinggian orang Melayu yang puratanya antara 5 kaki hingga 5 kaki 6 inci, namun saya boleh meneruskan kehidupan dengan selesa. Saya masih boleh menggunakan semua peralatan dan kemudahan seperti yang digunakan oleh orang lain tanpa sebarang pengubahsuaian. Saya juga belajar menerima hakikat bahawa tiada manusia dilahirkan sempurna. Jika itulah qadak dan qadar Allah kepada kita, terimalah dengan hati yang lapang.
"...boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan ingatlah Allah jualah yang mengetahui semua itu, sedangkan kamu tidak mengetahuinya." (Surah al-Baqarah, ayat 216)
Sultan Kosen dari Turki tercatat dalam Guinness World Records sebagai lelaki tertinggi di dunia dengan ketinggian 8 kaki 1 inci.

Robert Pershing Wadlow kekal sebagai lelaki paling tinggi di dunia. Beliau yang dilahirkan pada 22 Februari 1918 di Alton, Illinois mempunyai ketinggian 8 kaki 11 inci. ketinggian beliau itu telah mendatangkan banyak masalah kesihatan sehingga beliau telah meninggal dunia pada usia yang muda iaitu 22 tahun.

No comments: