Pages

Sunday, April 4

Afghanistan War : Cry Without Tears

Abdullah Khan Momeen

Pada tahun 1990, saya telah menyertai satu program yang dianjurkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Program yang dikenali sebagai 'Muslim Aid' itu memberi peluang kepada umat Islam di negara ini menaja anak-anak yatim di Afghanistan untuk bersekolah. Pada waktu itu, negara Afghanistan baru sahaja tamat berperang selama 10 tahun dengan Soviet Union. Peperangan yang bermula pada 24 Disember 1979 dan berakhir pada 15 Februari 1989 itu telah memakan banyak korban, meninggalkan kaum wanita sebagai balu dan kanak-kanak sebagai anak-anak yatim yang tiada tempat berlindung. ABIM mengambil inisiatif mencari dermawan-dermawan di seluruh negara untuk membantu persekolahan anak-anak yatim ini. Jumlah derma yang hendak diberi terpulang kepada kemampuan penderma. Oleh kerana, saya baru sahaja bekerja maka derma yang mampu saya beri pada setiap bulan tidaklah sebanyak mana. Namun saya bersyukur kerana diberi peluang membantu mereka ini. Nama pelajar yang saya taja itu ialah Abdullah b. Khan Momeen. Dilahirkan pada tahun 1981 di Kan'uf. Ayahnya seorang petani yang tinggal di kampung Andar di wilayah Ghazni. Sekolah di mana Abdullah belajar diberi nama Shaheen Andar. Hari ini jika Abdullah tidak menjadi sasaran peluru senapang, beliau sudah berumur 29 tahun.

Kanak-kanak Afghanistan yang kehilangan ibu bapa sedang merenung masa depan yang tidak pasti.

Belajar dalam serba kekurangan

Tentera Mujahideen walaupun memiliki kelengkapan perang yang terhad, namun berjaya menghambat tentera Soviet Union dari tanah tumpah darah mereka.

Tentera Soviet Union terpaksa meninggalkan bumi Afghanistan dalam keadaan yang mengaibkan. Mungkinkah Amerika Syarikat juga akan mengalami nasib yang sama? Kita hanya mampu berdoa agar Afghanistan kembali aman.

Dua pemimpin Soviet Union yang mempunyai kaitan dengan perang 10 tahun terhadap Afghanistan. Leonid Brezhnez adalah Presiden Soviet yang bertanggungjawab memulakan serangan kepada Afghanistan pada 24 Dis 1979 manakala Mikhael Gorbachev pula merupakan Presiden yang mengarahkan pengunduran tenteranya dari Afghanistan. Gorbachev juga merupakan Presiden terakhir kesatuan Soviet sebelum berpecah menjadi Russia.
Mohamed Zahir Shah yang dilahirkan pada 15 Oktober1914 adalah raja terakhir Afghanistan. Beliau telah memerintah selama 4 dekad bermula dari tahun 1933 hingga 1973. Beliau diangkat menjadi raja selepas pembunuhan bapanya Mohamed Nadir Shah. Pada tahun 1973, sepupu beliau Mohamed Daoud Khan telah melancarkan rampasan kuasa ketika beliau berada di Itali. Zahir Shah tinggal dalam buangan di Itali selama 29 tahun. Mohamed Daoud Khan yang telah merampas kuasa telah memerintah sehingga 1978 apabila beliau telah dibunuh dan diganti oleh Babrak Karmal yang condong kepada fahaman komunis. beliau menjadi presiden Afghanistan sehingga tahun 1986. Dr.Mohamad Najibullah menggantikan Babrak Karmal sebagai Presiden Republik Demokratik Afghanistan bermula pada 30 September 1987 hingga 16 April 1992. Beliau memerintah Afghanistan sebagai boneka kepada Soviet Union. Oleh itu, apabila Soviet Union ditewaskan, beliau telah dihukum gantung oleh puak Taliban.

Pada 11 September 2001, Menara Berkembar di World Trade Center New York telah diserang oleh dua buah jet yang telah dirampas oleh pengganas yang didakwa sebagai anggota al-Qaeda. Berdasarkan dakwaan itu, Amerika Syarikat telah melancarkan gerakan besar-besaran memburu pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden. Bumi Afghanistan menjadi lokasi pencarian menyebabkan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya melancarkan 'Operation Enduring Freedom' ke atas Afghanistan pada 7 Oktober 2001 . Sekali lagi, negara yang sudah hancur selepas berperang selama 10 tahun dengan Soviet Union ini bakal dihancurkan pula oleh satu lagi kuasa besar dunia dengan berlindung di sebalik mandat United Nation.
Akhirnya, kita terpaksa mengakui hakikat bahawa bumi berdarah Afghanistan sukar menemui keamanannya. Dan kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa ini, akan terus-terusan menjadi mangsanya.

No comments: