Sekolah Kebangsaan Kepala Batas, Alor Setar, Kedah Saya memasuki darjah satu di SK Kepala Batas, Kedah pada tahun 1974. Oleh kerana tidak pernah memasuki kelas tadika, maka darjah satu merupakan pengalaman pertama saya di alam persekolahan. Sewaktu saya belajar di sekolah ini, Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) belum ada lagi, jadi ibu bapa dikehendaki membeli sendiri buku-buku teks. Oleh kerana kehidupan yang agak sukar pada masa itu, ayah hanya mengerjakan sawah yang disewa daripada orang, maka tidak semua buku teks yang dapat dibeli. Belajar dalam serba kekurangan ini, memang terasa sukarnya.Tidak banyak kenangan yang dapat saya ingat semasa di sekolah ini, selain peristiwa kaki saya termasuk dalam rim basikal semasa membonceng basikal ayah waktu pulang sekolah. Luka yang agak teruk menyebabkan saya terpaksa berehat di rumah selama 3 minggu. Parutnya masih boleh dilihat sampai sekarang. Saya hanya bersekolah selama 2 tahun sahaja di sekolah ini. Ketika naik ke darjah 3, ayah menukar saya ke sekolah yang lebih dekat dengan rumah kami iaitu SK Anak-Anak Angkatan Tentera Tok Jalai.
Sekolah Kebangsaan Anak-Anak Angkatan Tentera Tok Jalai, Jitra, Kedah
(saya duduk 3 dari kanan, di sebelah Guru Besar)
Pembelajaran saya di SK Anak-Anak Angkatan Tok Jalai berjalan dengan lebih baik. SPBT pun sudah ada, jadi tidak ada lagi masalah dengan buku teks. Ada beberapa orang guru yang masih saya ingat antaranya ialah Cikgu Sharifah Siha Syed Mansur, Cikgu Mat Husin (cikgu yang ditakuti kerana suka tarik sideburns) dan Cikgu Razali (cikgu yang bawa kereta Ford Cortina). Guru Besar pada masa itu ialah Ku Othman bin Ku Hamid. Beliau pernah merotan saya di perhimpunan kerana tidak hadir ke sekolah. Sebenarnya saya dan beberapa orang murid tidak hadir ke sekolah kerana hujan lebat. Oleh kerana, kedudukan rumah saya agak jauh dari sekolah, ditambah pula keadaan jalan tanah merah yang berlumpur maka ayah tidak menghantar saya ke sekolah pada hari itu. Oleh kerana ramai murid tidak hadir, Guru Besar sangat marah, sebab itulah beliau mengadakan perhimpunan khas. Selepas berleter panjang, beliau 'bantai' kami serotan seorang.
Ketika belajar di sekolah ini, bakat saya yang paling ketara ialah melukis. Cikgu-cikgu selalu memuji kecantikan lukisan saya. Seorang guru telah mengupah saya RM5.00 untuk melukis 'prop' drama dengan menggunakan manila kad. Bukan main seronok saya dapat RM5.00. Waktu itu, nilai sebanyak itu sudah cukup besar. Cikgu Ilmu Alam meminta kebenaran untuk menyimpan buku nota saya kerana katanya lukisan peta yang saya lukis sangat cantik.Waktu di darjah 4 hingga 6 saya sangat suka membaca. Kadang-kadang dalam masa seminggu saya akan menghabiskan 4 buah buku cerita. Antara buku cerita yang saya suka baca pada masa itu ialah cerita Lima Sekawan dan Siri Noddy yang kedua-duanya ditulis oleh Enid Blyton.
Siri Lima Sekawan dan Noddy yang ditulis oleh Enid Blyton merupakan buku cerita kegemaran saya di sekolah rendah.
Di sekolah menengah pula sangat suka membaca siri penyiasatan Hardy Boy dan Biggles
Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra, Kedah
Saya tidak berapa ingat keputusan penilaian darjah 5 saya, tetapi mungkin agak baik kerana saya telah ditawarkan memasuki Kelas Rancangan Khas (KRK), di Sekolah Menengah Jitra. Saya menaiki bas seorang diri dari pekan kecil Tok Jalai ke bandar Jitra. Hari pertama di sekolah menengah memang kekok juga, macam rusa masuk kampung. Nasib baik ada pengumuman untuk pelajar-pelajar KRK untuk masuk ke dalam bilik darjah yang telah ditetapkan. Sesetengah pelajar KRK ditawarkan tinggal di asrama, saya memilih untuk berulang dari rumah sahaja. Di dalam kelas ini, semuanya pelajar Melayu kecuali Yeoh Swee Ling, seorang pelajar Cina yang ditempatkan di dalam kelas itu untuk memberi saingan kepada pelajar-pelajar Melayu. Selepas peperiksaan SRP, saya meneruskan persekolahan di tingkatan 4 dalam aliran sains. Ramai juga kawan-kawan yang menukar aliran daripada sains ke sastera. Saya kekal dalam aliran sains. Namun semasa hendak menghadapi SPM, saya terpaksa menggugurkan Matematik Tambahan dan diganti dengan Pendidikan Seni. Memang rasa tak mampu nak lulus Matematik Tambahan ni. Alhamdulillah saya dapat pangkat 1 dalam SPM. Ramai kawan-kawan sekelas dapat masuk universiti tetapi saya tidak dapat. Saya meneruskan pengajian ke Tingkatan 6 bersama rakan-rakan baru yang datang dari sekolah lain. Walau bagaimanapun saya tidak sempat mengambil STPM kerana mendapat tawaran ke Maktab Perguruan.
Bergambar bersama kawan-kawan Tingkatan 6 semasa mengadakan lawatan ke Terengganu pada tahun 1985
Jejantas Pekan Rabu, Alor Setar
Pada hari keputusan SPM diumumkan, saya beritahu emak, kalau saya balik awal itu tandanya saya telah gagal dan tolong jangan tanya apa-apa. Sebenarnya saya bernazar, jika saya dapat pangkat 1 dalam SPM, saya akan dermakan RM10.00 kepada setiap pengemis yang berada di atas jejantas Pekan Rabu, Alor Setar. Selepas dapat keputusan SPM, saya terus ke bank untuk keluarkan semua duit biasiswa yang masih berbaki. Dari Jitra saya naik bas terus ke Alor Setar. Waktu saya melangkah kaki naik ke atas jejantas Pekan Rabu itu, saya lihat cuma dua orang pengemis sahaja yang ada di situ. Setiap seorang saya sedekah RM10.00. Kedua-dua pengemis itu melihat saya, dengan penuh tanda tanya. Hari ini, jika saya berkunjung ke Pekan Rabu Alor Setar, pandangan saya akan segera terarah kepada pengemis-pengemis yang berada di situ dan kenangan hampir 26 tahun yang lalu kembali mengisi ruang fikiran.
1 comment:
Kudos
Post a Comment