Di rembang Jumaat, 9 April 2010, anak saya Ikhwan Hariz (14 tahun) ditimpa musibah. Basikal yang dinaikinya telah bertembung dengan sebuah motosikal di jalan Tempoyang. Penunggang motosikal tersebut ialah pelajar tingkatan 4 sekolah yang sama dengan anak saya. Impak daripada pertembungan itu, anak saya telah patah tangan kanan dan retak tulang pipinya. Kesnya terpaksa dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh (HSHAS) kerana berlaku pendarahan hidung yang tidak henti-henti dan bengkak yang besar pada mata dan pipinya. Di HSHAS, anak saya telah dirawat oleh 5 doktor pakar iaitu pakar tulang, pakar mata, pakar hidung, pakar gigi dan pakar tekak. Saya dan isteri menemani anak saya ini sepanjang berada di HSHAS. Kami berada di sana selama 4 malam. Pada 13 April kami dibenarkan pulang tetapi diminta datang semula pada 19 April untuk pembedahan bagi memasukkan besi pada tangannya. Namun ketika saya pergi ke HSHAS pada 18 April, saya dimaklumkan semua 'operation theatre' tidak boleh digunakan kerana berlaku kerosakan pada sistem pendinginnya. Pembedahan terpaksa ditangguhkan ke minggu hadapan. Pihak hospital mencadangkan kes anak saya ini dirujuk semula ke Hospital Kuala Lipis. Saya bersetuju dengan cadangan ini, memandangkan ia berdekatan dengan tempat tinggal saya. Maka setelah mendapatkan semua dokumen yang diperlukan, saya pun membawa anak saya ke Hospital Kuala Lipis. Lebih kurang pukul 4.30 petang anak saya di masukkan ke wad Melur. Saya diberitahu oleh doktor bahawa pembedahan terpaksa ditangguhkan hingga hari Khamis (22 April) kerana anak saya mengalami selsema dan batuk.
Firman Allah s.w.t :
" Berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang pada waktu ditimpa musibah, mereka berkata : Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kepada-Nyalah kami akan kembali, mereka itulah yang akan mendapat keberkatan dan rahmat dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang memperolehi petunjuk."
(Surah Al-Baqarah, ayat 156 & 157)
Bersedia untuk masuk ke bilik pembedahan (22 April 2010)
Pada pukul 12.50 tengah hari (22 April) isteri saya menelefon memaklumkan bahawa anak saya sudah sedia untuk dibawa ke bilik bedah. Saya bergegas ke hospital dari tempat kerja yang cuma 5 minit perjalanan sahaja. Sesampai sahaja di hospital, saya lihat anak saya sudah terbaring di atas stretcher dengan kepalanya berbalut. Tepat jam 1.15 petang, anak saya ditolak masuk ke bilik bedah. Walaupun ini merupakan pengalaman kedua anak saya dibedah, namun rasa khuatir tetap menguasai fikiran saya. Tambahan lagi anak saya menangis mahu saya mengiringinya ke dalam bilik bedah. Ketika doktor meminta saya meninggalkan bilik itu, anak saya meminta saya mengesat air matanya. Sesungguhnya saat inilah yang paling sukar bagi saya. Dalam sendu suaranya menyebut 'abah tunggu ya', saya mengatur langkah berat meninggalkan bilik bedah itu. Tiada apa yang mampu dibuat selain berdoa dan berserah kepada Allah sahaja. Selepas menunggu selama 2 jam di luar bilik bedah, doktor memanggil saya masuk. Alhamdulillah, pembedahan sudah selesai dan anak saya sudah mula sedar. Dia mengadu kesakitan dan minta saya memangku tangannya. Sekitar pukul 3.20 petang, anak saya dibawa kembali ke wad Melur. Malam itu saya menemani anak saya di wad. Sepanjang malam dia mengadu kesakitan dan kerap muntah (mungkin kesan ubat bius masih terasa). Pada 24 April dia dibenarkan keluar wad.
Selepas pembedahan (22 April 2010)Firman Allah s.w.t :" Dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; Dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan"
(Surah Al-Anbiya, ayat 35)
Penghargaan dan Terima kasih
Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat menghulurkan pertolongan kepada anak saya Ikhwan Hariz. Kepada para doktor dan jururawat di Hospital Kuala Lipis dan HSHAS Temerloh yang telah merawat anak saya dengan penuh kesabaran, jutaan terima kasih saya ucapkan. Terima kasih juga kepada saudara mara dan sahabat handai yang datang menziarah. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas budi baik kalian semua. Doa saya, kalian semua dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat menghulurkan pertolongan kepada anak saya Ikhwan Hariz. Kepada para doktor dan jururawat di Hospital Kuala Lipis dan HSHAS Temerloh yang telah merawat anak saya dengan penuh kesabaran, jutaan terima kasih saya ucapkan. Terima kasih juga kepada saudara mara dan sahabat handai yang datang menziarah. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas budi baik kalian semua. Doa saya, kalian semua dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.
Catatan ini teman baca semula pada 17 Disember 2013, jam 10.32 malam.
Anak teman ini, kini sedang menuntut di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatic, Kuala Lumpur. Ikhwan dalam proses mendapatkan Diploma Teknologi Maklumat. Semoga Allah SWT merahmati anak teman ini agar dia berjaya dalam hidupnya.
No comments:
Post a Comment