Pages

Tuesday, March 2

Menara Condong Teluk Intan

Dalam perjalanan pulang dari Lumut pada 30 Nov 2009 yang lalu saya dan keluarga singgah di Teluk Intan untuk melihat Menara Condong. Oleh kerana kedudukannya di tengah-tengah bandar Teluk Intan maka tidak sukarlah kami menemuinya. Mengikut sejarah, bangunan yang menyerupai pagoda ini telah dibina pada tahun 1885 oleh seorang kontraktor cina bernama Leong Choon Cheong. Tujuan pembinaannya adalah untuk menempatkan tangki air bagi kegunaan semasa musim kemarau dan untuk memadamkan api jika berlaku kebakaran. Pada mulanya bangunan ini dikenali sebagai 'Jam Tinggi' kerana terdapat sebuah jam yang berfungsi sehingga kini. Apabila bangunan ini condong sedikit di sebelah barat maka ia mula dikenali sebagai Menara Condong. Menara ini condong mungkin disebabkan oleh banjir yang melanda pada 1889 dan 1895. Lagipun tapak pembinaan menara ini asalnya merupakan terusan yang telah ditimbus. Mungkin disebabkan struktur tanah yang tidak kuat dan ditambah dengan banjir yang berlaku maka bangunan ini mula condong. Pada masa perang dunia kedua, pihak British bercadang untuk meruntuhkan menara ini kerana ditakuti menjadi panduan kepada tentera udara Jepun membuat serangan. Namun cadangan ni dibantah oleh orang ramai. Pihak Jepun telah menjadikan menara ini sebagai pusat kawalan semasa mereka menjajah Tanah Melayu. Hari ini, menara ini menjadi salah satu tarikan pelancong ke bandar Teluk Intan.

No comments: