Pages

Monday, March 8

Peruntukan Guru Ganti 2010

Seperti yang semua maklum, peruntukan untuk guru ganti bagi tahun ini jauh berkurangan jika dibandingkan dengan tahun lepas atau tahun-tahun sebelum ini. Bagi sekolah rendah jumlah peruntukan yang diterima cuma 14% sahaja daripada perbelanjaan tahun lepas dan sekolah menengah pula cuma 21%. Jika guru ganti dibayar dengan tangga gaji SPM/DB17 (RM40.70) jumlah yang dibayar selama 2 bulan berkhidmat ialah antara RM1200 ke RM1300. Berdasarkan jumlah ini, saya anggarkan dengan peruntukan yang diberi, kita hanya boleh mengambil 45 orang guru ganti sahaja. Mengikut Bancian Guru Bersalin yang telah saya buat pada awal Januari yang lalu, jumlah guru yang dijangka bersalin bagi 6 bulan pertama di daerah Lipis ialah seramai 67 orang. Ini bermakna seramai 22 orang guru yang bersalin tidak dapat diganti. Keadaan ini tertentulah akan menimbulkan masalah kepada sekolah-sekolah terutama kepada sekolah-sekolah yang guru bersalinnya lebih daripada seorang. Untuk cuba mengatasi masalah ini, pihak Pejabat Pelajaran Daerah Lipis telah mengambil beberapa langkah, antaranya ialah :

1. Membayar guru ganti dengan gaji SPM sahaja (Gaji RM35.70 & ITKA RM5.00)
2. Guru J-Qaf yang bersalin tidak akan diganti
3. Sekolah yang mempunyai lebih guru tidak dibenarkan memohon guru
4. Hanya guru yang bercuti melebihi 28 hari sahaja akan diganti dan
5. Guru yang belum dilantik (masih DB atau DC) tidak akan diganti.

Kita berharap langkah-langkah yang diambil ini mendapat sokongan semua pihak demi memastikan kekosongan guru terutama bagi mata pelajaran kritikal dapat diganti. Besar juga harapan saya agar semua Pengetua dan Guru Besar memaklumkan terlebih dahulu kepada saya sebelum mengambil mana-mana guru ganti. Ini penting supaya kita tidak berbelanja melebihi had yang telah diberikan kepada kita.

No comments: