Pages

Monday, March 1

Sampah-Sarap Di Rumah Rehat Bukit Residen

Sudah tiga petang saya berjoging di Bukit Residen, Kuala Lipis. Biasanya saya bermula dari halaman Lipis Plaza Hotel hinggalah sampai ke Bangunan Residensi di puncak bukit tersebut. Bangunan Residensi ini dibina pada tahun 1922 sebagai rumah kediaman Residen Inggeris. Penghuni pertama bangunan ini ialah Sir Hugh Clifford, 'Superintendent of Ulu Pahang'. Selepas beliau, bangunan ini terus didiami oleh Residen-Residen Inggeris yang berikutnya sehinggalah tercetusnya perang dunia kedua pada tahun 1942. bangunan ini pernah dijadikan asrama lelaki murid-murid Sekolah Clifford dan rumah rehat kerajaan. Sekarang ini, bangunan Residensi ini dijadikan rumah rehat awam yang diuruskan oleh Majlis Daerah Lipis. Walaupun sudah ada rumah rehat baru di Tanjung Lipis yang lebih moden reka bentuknya, namun rumah rehat bangunan Residensi ini masih mendapat perhatian para pelancong. Mungkin reka bentuk zaman kolonial ini dapat mengimbau sejarah masa lampau.
Namun apa yang terkilan dihati saya selama 3 hari berjoging di situ, ialah keadaan kebersihan di persekitaran rumah rehat tersebut. Saya lihat sampah sarap dibuang merata-rata termasuk botol-botol minuman keras. Saya percaya sampah dan botol-botol minuman ini dibuang pada waktu malam oleh anak-anak muda yang 'lepak' di kawasan tersebut. Walaupun terdapat papan tanda memohon kerjasama orang ramai menjaga kebersihan didirikan di situ dan tong sampah disediakan, namun orang-ramai masih mengambil mudah dengan membuang sampah merata-rata. Suasana seperti ini tentu sekali tidak menarik memandangkan rumah rehat ini menjadi kunjungan pelancong asing. Saya berharap pihak pengurusan Rumah Rehat Bukit Residen mengambil inisiatif membersihkan sampah-sarap ini.

Botol minuman keras dan sampah sarap tidak dimasukkan ke dalam tong sampah

Papan tanda yang didirikan di kawasan tersebut tidak mampu menyedarkan orang-ramai yang membuang sampah di situ.

1 comment:

MOHD FAZLI BIN ABD HAMID said...

Alhamdulillah, semalam saya lihat kawasan sekitar Bangunan Residensi ini telah dibersihkan. Semoga selepas ini sampah sarap dan botol-botol minuman tidak dibuang merata-rata lagi. Terima kasih kepada Majlis Daerah Lipis