Pada hari Selasa, 23 Februari yang lalu semasa pulang dari Temerloh, hati saya terheret untuk singgah di Kuala Tembeling. Tujuannya ialah untuk menjenguk pekan lama Kuala Tembeling di mana 18 tahun yang lalu saya pernah bersantai sambil minum teh di salah sebuah kedai kopi di situ. Ini merupakan kali kedua saya mengunjungi pekan tersebut. Agak terkejut juga saya melihat bangunan-bangunan kayu yang terbiar dan hampir menyembah bumi. Hanya terdapat satu kedai runcit sahaja yang masih beroperasi. Itupun tidak tahu selama mana boleh bertahan, memandangkan kedai-kedai lain sudah mula runtuh dan lusuh. Pekan kecil Kuala Tembeling ini ditinggalkan setelah terbinanya komplek pelancongan yang cuma 500 meter sahaja dari pekan tersebut. Komplek yang didirikan untuk kemudahan para pelancong untuk ke Kuala Tahan itu turut menempatkan pusat penerangan dan bangunan-bangunan kedai. Barangkali pemilik-pemilik kedai di pekan lama sudah berpindah ke komplek yang baru dibina ini. Salah satu faktor lagi yang menyebabkan pekan Kuala Tembeling semakin menyepi ialah kemerosotan jumlah pelancong yang menggunakan laluan ini untuk ke Kuala Tahan. Ini disebabkan pembinaan jalan darat yang menghubungkan Sungai Retang terus ke Kuala Tahan. Pelancong-pelancong tidak perlu lagi menaiki bot di Kuala Tembeling sebaliknya mereka boleh terus memandu sendiri atau menaiki bas untuk ke Kuala Tahan.
Komplek Pelancongan Kuala Tembeling (banyak kedai tidak dibuka kerana jumlah pelancong yang semakin merosot)
1 comment:
Salam kawan... saja nak share sikit... Kalau tak salah Pekan tue kalau nak ikutkan memang dah nak kena tutup sebab kawasan tue selalu banjir... so barisan kedai yg baru dibuat untuk cover balik kedai2 lama... oleh kerana peniaga2 dah biasa berniaga kat kawasan lama so doa org tak nak pindah...
Saya kg kat Kg Tanjung Bungor
Post a Comment