Pages

Saturday, June 22

Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2013 di Pekan, Pahang

Tahun ini, giliran daerah Pekan menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang 2013.  Pekan pun nampaknya tak mau kalah dengan Lipis. Kalau Lipis adakan 12 acara sempena Sambutan Hari Guru tahun lepas, Pekan pun adakan 12 acara juga. Antara acara-acara tersebut ialah Jambori Berbasikal, Program Senamrobik, Program Derma Darah, Program Ziarah Kasih, Forum Pendidikan, Solat Hajat, Pameran Pendidikan, Pertandingan Woodball, Pertandingan memasak, Malam Jalinan Kasih, Pertandingan Golf dan Majlis Perasmian Pelancaran Hari Guru. Hai...letihlah tuan rumah akan datang, kena buat 12 acara juga.

Malam 21 Jun 2013, teman bersama Tuan PPD serta 10 lagi wakil MPSM dan MGB menghadiri majlis jamuan makan malam di Dewan Bestari SMK Seri Pekan.

Terima kasih kepada En. Zainal (GB SK Relong), Ustaz Hamzah (Pegawai Teknologi Pendidikan PKG Kuala Lipis), En. Jasmawari (GB SK Jeram Landak) dan En. Borhan Long (GPK SK Berchang) kerana sudi mewakili daerah Lipis untuk pertandingan woodball. Abang Nal macam frust je tu, sedih sebab kalah ke atau sebab makanan lambat sampai?

En. Bor kita nampaknya ok je. Adatlah bersukan, ada kalah ada menangnya. Yang penting penyertaan. Apa-apa pun tahniah kepada pasukan memasak kita kerana berjaya mendapat tempat kedua. Kepada Puan Saimah and The Geng...terima kasih kerana bersusah payah untuk turut serta dalam pertandingan ini.

Keesokan harinya telah berlangsung pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang 2013 yang diadakan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan. Majlis ini telah dirasmikan oleh YAB Dato' Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Menteri Besar Pahang. Teman rasa ucapan MB kali ni lebih kemas dan bermakna buat semua warga pendidik. Cuma tentang MMI (Melindungi Masa Instruksional) tu saja, teman rasa statement MB kurang tepat. Mungkin Datin Sri Diraja Junaini, isteri MB yang juga seorang Pengetua boleh jelaskan nanti.

MB sedang menyampaikan Anugerah kepada Tokoh Guru negeri Pahang 2013 iaitu Dato' Haji Ab Hamid bin Md Shah.

Tahniah kepada daerah Pekan kerana berjaya menganjurkan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang 2013 dengan jayanya. Tahun depan, rasanya giliran daerah Raub pula menjadi tuan rumah. Emm..berpeluh dingin pulalah sahabat teman, saudara Khairol di Raub tu.

Saturday, June 15

Program Bulan Kecergasan PPD Lipis

Pada 14 Jun 2013 yang lalu, bertempat di Dewan SMK Setiawangsa telah berlangsung Program Bulan Kecergasan Peringkat PPD Lipis. Program ini diadakan bagi memupuk semangat gaya hidup sihat dalam kalangan pegawai dan kakitangan yang bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah Lipis. Tahniah kepada Unit Sukan kerana berjaya menganjurkan program ini.

Tak sabor dah gayenya pegawai-pegawai kita nie. Bila bersenam nanti jangan separuh jalan pula ya. (abang! control sikit perut tu)

Semenjak bertugas sebagai Penolong PPD Menengah nie, teman jarang benar melakukan aktiviti senaman. Dulu sewaktu bertugas sebagai Pegawai Khas KGSK, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu teman akan berjoging mendaki Bukit Residen. Sekarang nie langsung tak ada. Harapkan basuh kereta hujung minggu je dapat mengeluarkan peluh.

Steady Tuan PPD...dari mula sampai akhir. Teringat teman waktu berjoging dengan mantan Pengarah Pelajaran Pahang, Dato' Yahya Zainal Abidin ketika pelancaran 1Murid 1Sukan di SMK Merapoh dulu. Sepanjang 2.5 km berlari tu, Dato' Yahya langsung tak berhenti. Teman pula, emm...berkali-kalilah berhentinya.

Nie...senamrobik ke main skipping. Sahabat-sahabat yang duduk belakang tu, jangan nak ngelat ye...buat betul-betul.

Hai kawan, tadi baru je buang kalori. Nie menambah semula kalori yang hilang. Emm...tak tercapai la matlamat Bulan Kecergasan PPD Lipis nie.

Terima kasih kepada instructor senamrobik kita nie. Emm...tak terdaya nak follow dia orang, stamina tinggi sangat. Kita yang jarang-jarang bersenam nie, 10 minit dah nak semput.

Tuesday, May 28

Meeting di Crystal Crown

Saat ini teman sedang menghadiri mesyuarat pertukaran guru di Hotel Crystal Crown, Kepong. Mesyuarat ini bermula semalam dan akan berakhir esok. Mesyuarat ini diadakan bagi membicangkan permohonan pertukaran guru antara daerah.

Tuan Ketua Sektor, Encik Wan Abdul Hamid bin Wan Mohamad sedang menyampaikan ucaputama. Beliau menasihati semua Penolong PPD Menengah agar memberi perhatian kepada keseimbangan opsyen ketika meluluskan sesuatu permohonan.

Mesyuarat pertukaran sentiasa tegang. Sedaya mungkin Penolong PPD akan berusaha untuk memastikan jumlah guru dan keperluan opsyen mencukupi di daerah masing-masing. Namun, kita terpaksa akur seandainya perkara sebaliknya berlaku. Tidak semua yang kita inginkan, akan tercapai dan tidak semua yang kita rancang akan berjaya.

Friday, May 17

Bertamu di Tanah Beradat

Tahun ini, tibalah giliran Negeri Sembilan menjadi tuan rumah Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-42. Sambutan akan diadakan di Stadium Tertutup Nilai (USIM). Setiap daerah di negeri Pahang dikehendaki menghantar 10 orang guru untuk menghadiri majlis tersebut. Selaku Setiausaha Hari Guru Daerah, teman juga dijemput hadir. Semua yang terlibat dikehendaki menaiki bas yang telah disediakan di PPD Bentong. Bas bertolak sekitar jam 9.30 pagi. Kami ke Negeri Sembilan pada 15 Mei bagi menghadiri Majlis Jamuan Negeri yang di sponsor oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan. Jamuan tersebut diadakan pada jam 8.30 malam di Padang Majlis Perbandaran Seremban.

Ingatkan Tuan KPP nak join sekali naik bas. Rupa-rupanya nak bersalam je dengan anak buah.

Sampai di Nilai sekitar jam 2.00 petang, terus check in di Time Hotel. Lepas mandi dan solat kami bertolak ke Seremban untuk Program Guru Pedalaman bersama dengan Y.Bhg. Dato' Dr. Rosli, KSU Kementerian Pelajaran Malaysia. Selepas tamat program kami terus ke Padang Majlis Perbandaran Seremban. Kebetulan Masjid Negeri tak jauh, sempatlah kome solat maqrib dahulu.

Hai...bersemangat betul kontinjen Pahang ni. Negeri lain tak ada lagi tu. Emm...eloklah datang awal, tak payahlah pening-pening cari parking. Sahabat-sahabat PPPDM bersama dengan mantan KPP Pengurusan Sekolah Dr. Haji Tajuddin (Sekarang Pengetua SMK Bukit Sagu)

Tahun lepas kat Ipoh dapat goodies kuih dengan ikan pekasam. Tahun ini kat Seremban dapat mug 'Hari Guru'. Terima kasih N9.

Ketika dalam perjalanan ke Negeri Sembilan kami mendapat tahu bahawa majlis Sambutan Hari Guru yang dijadualkan pada jam 10.00 pagi telah ditunda ke pukul 8.30 malam. Penundaan ini barangkali disebabkan majlis angkat sumpah menteri kabinet yang diadakan pada pagi tersebut. Oleh kerana penginapan hanya untuk satu malam sahaja maka keputusan dibuat agar kami tidak menghadiri majlis tersebut. Emm...sedih jugalah. Terutama bagi cikgu-cikgu yang belum pernah menghadiri sambutan peringkat kebangsaan. Teman dah pernah hadir, tahun lepas di Kuala Kangsar, Perak. Pagi 16 Mei, sebelum bertolak balik, En. Rosdi Ismail, Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang mengambil kesempatan untuk bertemu dengan semua guru yang terlibat. Kata-kata semangat beliau sekurang-kurangnya meredakan kekecewaan mereka.

Apa barang balik awal. Alang-alang dah ada kat Nilai ni, lajak-lajaklah ke Nilai 3. Kalau tak nak beli pun, tengok-tengok jelah. Cikgu lelaki gayanya tak berapa berminat sangat nak singgah tetapi cikgu pompuan beria benor. Walaupun mereka cuma empat orang sahaja. Nampaknya suara minoriti telah menang. Melilau serata kedai, satu barang pun teman tak beli. Bila tempurung lutut dah mula longgar, singgah kat food stalls pekena mee hoon sup. Memang bedengung betul sup dia nie..berasap telinga.


Sampai di Bentong, abang haji ajak pekena lemang Tok Ki pula. Layan je la. Rasanya tak perlulah teman nak citer akan famousnya lemang Tok Ki ni. Bagi yang menggunakan jalan Bentong ke Raub pasti akan perasan sebuah kedai di simpang jalan berhadapan kubur cina yang ada lemang gergasi atas bumbung tu. Sedap weh...lemang panas dengan rendang ayam.

Sunday, May 12

Jika bisa menukarnya...

Mulai 8 hingga 10 Mei 2013 yang lalu, teman berada di Radius International Hotel kerana menghadiri Mesyuarat Verifikasi Data Operasi Menengah (OPMEN). Saya difahamkan mesyuarat ini merupakan mesyuarat OPMEN yang terakhir. Selepas ini data guru hanya akan menggunakan eOperasi iaitu data guru secara online. Hakikatnya teman dah sering mendengar ura-ura aplikasi OPMEN ini akan ditamatkan penggunaannya. Cuma tarikh sebenar belum dipastikan. Penggunaan eOperasi nanti diharapkan lebih cepat dan tepat berbanding penggunaan OPMEN. Ini kerana, data OPMEN hanya disemak oleh Guru Data dan GPK Pentadbiran sahaja, sebaliknya data eOperasi akan disemak oleh guru itu sendiri dan dikemaskini oleh GPK Pentadbiran. Data yang telah dikemaskini itu, kemudiannya akan disahkan pula oleh Pengetua sekolah tersebut. Kalau tak betul lagi...entahlah.

Penamatan OPMEN bermakna tiada lagi mesyuarat verifikasi data yang diadakan 4 kali setahun. Emm...sedihlah pulak. Tak berjumpalah lagi dengan guru-guru data OPMEN setiap daerah. Apa pun, sekalung tahniah dan terima kasih teman ucapkan kepada mereka ini. Dengan kerjasama mereka, data guru setiap daerah dapat disiapkan dan boleh digunakan bagi proses pertukaran serta penempatan guru.

Tuan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Encik Wan Abdul Hamid bin Wan Mohamad menyampaikan ucap utama sempena mesyuarat OPMEN kali ini. Antara nasihat beliau yang perlu diambil berat oleh semua Penolong PPD Menengah ialah tentang keseimbangan opsyen di sekolah. Jangan ada sekolah yang kurang opsyen sesuatu mata pelajaran, sedangkan ada sekolah yang lebih. Ini bagi memastikan hak pelajar dipenuhi.

On the way balik dari Kuala Lumpur, teman menerima sms daripada Tuan PPD meminta teman mewakili beliau merasmikan majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Garang Abdul Samad yang diadakan pada hari Sabtu baru-baru ini. 
Memang teman dah jangkakan, akan ada yang bertanya tentang pertukaran saluran Tingkatan Enam SMKPGAS dari SMK Clifford ke SMK Kuala Lanar. Daripada ibu bapa hinggalah guru-guru, mahu penjelasan mengapa pertukaran itu dibuat. Teman jelaskan seperti mana yang telah teman jelaskan sebelum ini kepada semua orang. Pertukaran itu dibuat kerana kekurangan tempat untuk pelajar tinggal di asrama. SMK Clifford hanya mampu menyediakan 30 tempat sahaja untuk pelajar tinggal di asrama. Jumlah ini mungkin hanya mampu ditawarkan kepada pelajar-pelajar jurusan sains yang tinggal jauh dari sekolah. Saya tahu, jawapan itu tidak memuaskan hati ibu bapa dan penjaga. Setiap ibu bapa ingin memastikan anak-anak mereka dapat belajar di sekolah terbaik. Ini bagi memastikan kelangsungan kecemerlangan anak-anak. Kebetulan di daerah Lipis, daripada 3 sekolah yang menawarkan Tingkatan 6, SMK Clifford dilihat yang terbaik.
Dua tahun yang lalu, seorang bapa datang merayu kepada teman untuk menyekolahkan anaknya di SMK Clifford. Oleh kerana anaknya tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan maka teman terpaksa menolak rayuan tersebut. Bapa tersebut mengalir airmata sambil menceritakan betapa anaknya 'menyebut-nyebut' untuk belajar di SMK Clifford setelah mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR. Bapa mana yang tahan untuk memberitahu anaknya bahawa harapan anaknya itu tidak dapat ditunaikan. Jika bisa menukar syarat-syarat yang telah ditetapkan ini, pasti teman tukar. Kepada bapa ini dan anaknya, semoga Allah memberi kerahmatan dan rezeki yang tidak putus-putus kepada anda sekeluarga.

Monday, May 6

Menanti 8 Mei

Pada 8 Mei 2013 ini, pelajar-pelajar yang berjaya ke Tingkatan 6 akan melapor diri. Seperti tahun-tahun sebelum ini, berbagai cabaran terpaksa teman hadapi dalam memastikan proses pendaftaran Tingkatan 6 ini berjalan lancar tanpa menimbulkan apa-apa isu. Bagi memperkemaskan persediaan menghadapi 8 Mei ini, maka teman telah memanggil satu mesyuarat yang melibatkan semua Pengetua, GPK Tingkatan 6 dan Kaunselor sekolah-sekolah yang mempunyai Tingkatan 6. Mesyuarat pada 3 Mei yang lalu telah dipengerusikan oleh Tuan PPD, Haji Misnan bin Haji Mohd Damin. Tujuan mesyuarat ini ialah untuk menyelaraskan beberapa perkara antaranya ialah yang berkaitan proses penempatan, permohonan rayuan, pertukaran sekolah dan pertukaran jurusan. Semoga dengan kata sepakat yang telah dicapai menerusi mesyuarat ini, proses penempatan pelajar-pelajar Tingkatan 6 sesi 2013/2014 ini akan berjalan lancar. Insyaallah...

SYARAT KEMASUKAN KE TINGKATAN 6
·   Lulus SPM 2012
·   Kepujian Bahasa Melayu (Sekurang-kurangnya C)
·   Memperolehi 3 hingga 12 agregat bagi 3 mata pelajaran terbaik dari 12 kumpulan (untuk jurusan kemanusiaan)
·   Memperolehi 3 kepujian dalam mata pelajaran sains dari 5 kumpulan
·   Jumlah agregat tidak melebihi 18
·   Umur calon tidak melebihi 20 tahun dan tidak kurang daripada 17 tahun pada 1 Januari 2013
PENEMPATAN
·   Tarikh mula pendaftaran ialah pada 8 Mei 2013 (Rabu)
·   Daftar di sekolah yang ditawarkan.
·   Bawa surat tawaran yang dicetak melalui laman web KPM.
·   Bagi pelajar yang tidak terdapat nama sekolah pada surat tawarannya, sila datang ke PPD untuk dibuat penempatan (kes ini biasanya bagi pelajar Sekolah Vokasional dan Sekolah Agama Negeri).
·   Bagi pelajar yang telah ditawarkan ke matrik tetapi memilih untuk ke Tingkatan 6, perlu juga datang ke PPD untuk dibuat penempatan.
·   Bagi calon yang tidak ditawarkan ke Tingkatan 6 tetapi mencukupi syaratnya yakni calon cicir, sila datang ke PPD untuk dikeluarkan surat tawaran.
RAYUAN CALON KOKURIKULUM
·   Bagi pelajar yang tidak mencukupi syarat boleh membuat rayuan.
·   Rayuan kokurikulum adalah dari sekolah kerajaan sahaja.
·   Agregat bagi 3 mata pelajaran terbaik hendaklah antara 13 hingga 16 dari 12 kumpulan (jurusan kemanusiaan. Jurusan sains tiada rayuan).
·   Rayuan boleh dibuat melalui online atau borang T6BKK.
·   Sokongan Pengetua dan kekosongan tempat adalah asas pertimbangan untuk kelulusan.
·   Tarikh akhir rayuan ialah 14 Jun 2013.
·   Bagi calon swasta, persendirian dan sekolah agama negeri, permohonan hendaklah dibuat menerusi borang T6BCP.
·   Semua permohonan rayuan hendaklah dibuat di sekolah yang ingin dipohon. Bukan di PPD.
PERTUKARAN
·   Pertukaran antara negeri : Pelajar boleh terus ke PPD di negeri berkenaan dengan membawa surat tawaran yang dicetak melalui laman web KPM.
·   Pertukaran antara daerah (melibatkan pertukaran alamat tempat tinggal) : Boleh terus ke PPD berkenaan dengan membawa surat tawaran yang dicetak melalui laman web KPM.
·   Pertukaran dalam daerah : Lapor diri di sekolah yang telah ditawarkan kemudian isi borang pertukaran. Pelajar diingatkan untuk terus bersekolah di sekolah tersebut sehinggalah permohonan pertukaran diluluskan. Jika permohonan tidak diluluskan, sila kekal belajar di sekolah yang telah ditawarkan.
TUKAR JURUSAN
·   Permohonan pertukaran jurusan boleh dibuat mulai 20 Mei hingga 10 Jun 2013 dengan menggunakan borang RTJT6.
·   Borang permohonan hendaklah dihantar di sekolah masing-masing
LAIN-LAIN KEMUSYKILAN
·   Sila berhubung dengan GPK Tingkatan 6 di sekolah-sekolah berkenaan : Pn. Nilawati Normi (SMK Clifford), En. Ramly Rasul (SMK Kuala Lanar) dan En. Kamaludin Ibrahim (SMK Seri Lipis)
·   Pertanyaan juga boleh dibuat di PPD Lipis : En. Mohd Fazli Abd Hamid (PPPDM) dan Cik Norhaidayu Ali (PT)

Tuesday, April 30

a busy Tuesday

Hari ini terasa sibuk sekali. Sekitar jam 10.30 pagi berlangsung program perkongsian ilmu bersama FasiLINUS dari PPD Temerloh. Program yang diberi nama Taklimat Strategi Pendekatan Pendidikan Murid Orang Asli ini turut dihadiri oleh En. Wan Abdul Hamid bin Wan Mohamad, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Pahang. Sebenarnya program ini adalah idea Tuan PPD, Haji Misnan bin Haji Mohd Damin. Teman cuma menguruskan sahaja.

Semoga program perkongsian ilmu dan pengalaman ini memberi impak yang besar kepada semua Pegawai PPD dan Guru Besar sekolah-sekolah Orang Asli daerah Lipis. Idea yang dicetuskan melalui pengalaman FasiLINUS PPD Temerloh dalam menangani ketidakhadiran murid Orang Asli ke sekolah menjadi nilai tambah kepada usaha-usaha yang telah dilakukan oleh kita di daerah Lipis ini. Terima kasih kepada tuan Ketua Sektor serta semua FasiLINUS yang terlibat dalam program ini.

Sebelah petang pula, teman terpaksa menguruskan satu lagi event iaitu Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Sarana Peningkatan Sekolah Untuk Sekolah Kurang Murid (SKM). Mesyuarat yang bermula jam 3.00 petang ini dihadiri oleh 23 buah sekolah SKM di daerah Lipis. Sekolah yang dikategorikan sebagai SKM ialah sekolah yang jumlah enrolmennya 150 dan kurang  daripada itu. Tujuan mesyuarat ini ialah untuk memaklumkan kepada semua Guru Besar sekolah-sekolah berkenaan berkaitan tindakan yang mesti diambil oleh mereka demi mempertingkatkan pencapaian sekolah masing-masing. Laporan progres bagi setiap tindakan mestilah dihantar ke PPD pada setiap bulan.

Friday, April 26

Berkunjung ke SK Kampung Pagi

Hari Rabu baru-baru ni, teman menghadiri Taklimat Kemasukan Tingkatan Enam di Rainforest Resort, Kuala Tahan, Jerantut. Ini merupakan kali kedua teman berkunjung ke sini. Kali pertama pada tahun 2009 ketika mewakili Tuan PPD untuk Mesyuarat Badan Perhubungan PPD Pahang. Taklimat ini turut melibatkan semua Pengetua dan GPK Tingkatan Enam bagi sekolah-sekolah yang mempunyai kelas Tingkatan 6 di negeri Pahang. Pada hari Khamis semua peserta yang terlibat dalam taklimat tersebut dibawa memudiki Sungai Tembeling untuk ke SK Kampung Pagi.

Jeti Kuala Tahan terletak betul-betul dipertemuan antara Sungai Tembeling dan Sungai Tahan. Terdapat perbezaan ketara antara air Sungai Tembeling dan Sungai Tahan. Sungai Tahan airnya jernih dan agak tenang, sebaliknya air Sungai Tembeling keruh dan mengalir deras. Bagi yang ingin melancong ke Taman Negara tiada masalah. Di Kuala Tahan ni terdapat banyak kemudahan penginapan, restoran dan pengangkutan.

Tepat jam 8.30 pagi kami bertolak ke SK Kampung Pagi dengan menaiki bot penambang. Pak Cik yang memandu bot penambang ni nampaknya expert betul, bukan main dia corner baring ketika ingin mengelak batu semasa melalui kawasan berjeram. Confident dengan Pak Cik ni sampai teman pun terlupa nak pakai life jacket.

Boleh tahan juga kelajuan bot penambang ni. Sementara nak sampai ke destinasi, habis la baju dan seluar teman basah. 

Di dalam perjalanan ke SK Kampung Pagi, kami singgah di sebuah perkampungan orang asli. Penduduk orang asli di situ mempamerkan kemahiran mereka menghidupkan api dengan menggunakan kayu dan teknik menggunakan sumpit.

Selepas satu jam perjalanan menggunakan bot, maka kami pun sampailah ke SK Kampung Pagi. Terima kasih kepada Guru Besar, guru-guru serta semua orang kampung di atas sambutan meriah yang diberikan kepada kami. Lemang dan rendang daging yang disediakan secara gotong-royong tu sedap sangat. Emm...teringin nak datang lagi ke sini.

Walaupun terletak di kawasan pedalaman, namun sekolah ini mendapat kemudahan elektrik 24 jam. Bergembiralah bagi pengguna Hotlink kerana anda tiada masalah di sini. Kalau ingin menggunakan laluan darat, hanya kenderaan four wheel drive sahaja boleh digunakan.

Dalam perjalanan balik ke Jeti Kuala Tahan, kami singgah di Canopy Walk. Aduhai, punya la letih memanjat bukit untuk sampai ke lokasi permulaan canopy walk ni, mau cramps labu betis. Gayat juga waktu meniti di atas puncak pokok ni. Ada yang manarik diri, tak sanggup memandang ke bawah.