Pages

Sunday, May 12

Jika bisa menukarnya...

Mulai 8 hingga 10 Mei 2013 yang lalu, teman berada di Radius International Hotel kerana menghadiri Mesyuarat Verifikasi Data Operasi Menengah (OPMEN). Saya difahamkan mesyuarat ini merupakan mesyuarat OPMEN yang terakhir. Selepas ini data guru hanya akan menggunakan eOperasi iaitu data guru secara online. Hakikatnya teman dah sering mendengar ura-ura aplikasi OPMEN ini akan ditamatkan penggunaannya. Cuma tarikh sebenar belum dipastikan. Penggunaan eOperasi nanti diharapkan lebih cepat dan tepat berbanding penggunaan OPMEN. Ini kerana, data OPMEN hanya disemak oleh Guru Data dan GPK Pentadbiran sahaja, sebaliknya data eOperasi akan disemak oleh guru itu sendiri dan dikemaskini oleh GPK Pentadbiran. Data yang telah dikemaskini itu, kemudiannya akan disahkan pula oleh Pengetua sekolah tersebut. Kalau tak betul lagi...entahlah.

Penamatan OPMEN bermakna tiada lagi mesyuarat verifikasi data yang diadakan 4 kali setahun. Emm...sedihlah pulak. Tak berjumpalah lagi dengan guru-guru data OPMEN setiap daerah. Apa pun, sekalung tahniah dan terima kasih teman ucapkan kepada mereka ini. Dengan kerjasama mereka, data guru setiap daerah dapat disiapkan dan boleh digunakan bagi proses pertukaran serta penempatan guru.

Tuan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Encik Wan Abdul Hamid bin Wan Mohamad menyampaikan ucap utama sempena mesyuarat OPMEN kali ini. Antara nasihat beliau yang perlu diambil berat oleh semua Penolong PPD Menengah ialah tentang keseimbangan opsyen di sekolah. Jangan ada sekolah yang kurang opsyen sesuatu mata pelajaran, sedangkan ada sekolah yang lebih. Ini bagi memastikan hak pelajar dipenuhi.

On the way balik dari Kuala Lumpur, teman menerima sms daripada Tuan PPD meminta teman mewakili beliau merasmikan majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Garang Abdul Samad yang diadakan pada hari Sabtu baru-baru ini. 
Memang teman dah jangkakan, akan ada yang bertanya tentang pertukaran saluran Tingkatan Enam SMKPGAS dari SMK Clifford ke SMK Kuala Lanar. Daripada ibu bapa hinggalah guru-guru, mahu penjelasan mengapa pertukaran itu dibuat. Teman jelaskan seperti mana yang telah teman jelaskan sebelum ini kepada semua orang. Pertukaran itu dibuat kerana kekurangan tempat untuk pelajar tinggal di asrama. SMK Clifford hanya mampu menyediakan 30 tempat sahaja untuk pelajar tinggal di asrama. Jumlah ini mungkin hanya mampu ditawarkan kepada pelajar-pelajar jurusan sains yang tinggal jauh dari sekolah. Saya tahu, jawapan itu tidak memuaskan hati ibu bapa dan penjaga. Setiap ibu bapa ingin memastikan anak-anak mereka dapat belajar di sekolah terbaik. Ini bagi memastikan kelangsungan kecemerlangan anak-anak. Kebetulan di daerah Lipis, daripada 3 sekolah yang menawarkan Tingkatan 6, SMK Clifford dilihat yang terbaik.
Dua tahun yang lalu, seorang bapa datang merayu kepada teman untuk menyekolahkan anaknya di SMK Clifford. Oleh kerana anaknya tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan maka teman terpaksa menolak rayuan tersebut. Bapa tersebut mengalir airmata sambil menceritakan betapa anaknya 'menyebut-nyebut' untuk belajar di SMK Clifford setelah mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR. Bapa mana yang tahan untuk memberitahu anaknya bahawa harapan anaknya itu tidak dapat ditunaikan. Jika bisa menukar syarat-syarat yang telah ditetapkan ini, pasti teman tukar. Kepada bapa ini dan anaknya, semoga Allah memberi kerahmatan dan rezeki yang tidak putus-putus kepada anda sekeluarga.

No comments: