Teman baru sahaja sampai dari Kuantan. Lewat sikit sebab selepas Program Orientasi Guru Baharu di PPD Kuantan, teman dan rakan-rakan diminta menghadiri satu taklimat berkaitan ABM Perjawatan 2013 dan 2014. Nasib baiklah taklimat tersebut diadakan ditempat yang sama, jadi dapatlah jimat masa sedikit. Selesai taklimat jam 3.00 petang, teman terus bertolak balik ke Lipis.
Program Orientasi Guru Baharu bagi penempatan 1 Julai diadakan untuk memberi pendedahan kepada bakal-bakal guru ini berkaitan perkhidmatan dan tanggungjawab mereka apabila melapor diri di sekolah nanti. Alhamdulillah, daerah Lipis mendapat 15 orang guru baharu. 6 orang guru sekolah menengah dan 9 orang guru sekolah rendah. Teman harap kesemua mereka ini akan melapor diri di sekolah masing-masing esok dan tidak akan memohon tukar sekurang-kurang dalam jangkamasa 4 tahun. Bagi yang telah berkeluarga, barangkali inilah pengorbanan terbesar yang anda perlu lakukan setelah memilih 'guru' sebagai kerjaya hidup. Benarlah bagai dikata, guru umpama lilin, membakar diri menerangi orang lain. Jika kita merasa susah, percayalah bahawa ada orang lain lebih susah daripada kita. Setidak-tidaknya kita telah memiliki pekerjaan. Bagaimana dengan rakan-rakan kita yang masih terumbang-ambing tanpa pekerjaan? Bersyukurlah.
Turut hadir dalam program ini ialah Tuan KS Pengurusan Sekolah, En. Wan Abdul Hamid bin Wan Mohamad, Tuan KPP, En. Nor Ahmad bin Abd Rahim, KU Sekolah Rendah, En. Zainol bin Ismail dan Tuan Timbalan PPD Kuantan, En. Mohamad bin Bakar.
Tuan Ketua Sektor sedang menyampaikan surat penempatan kepada guru-guru baharu. Macam-macam aksi boleh tengok selepas menerima surat penempatan masing-masing. Ada yang gembira, ada yang terkezut dan tak kurang juga yang bersedih. Bersabarlah ya, adik-adik semua. Nak buat macam mana rezeki kita telah ditetapkan di situ. Ingatlah, kita ada pekerjaan kerana wujudnya insan bernama 'pelajar'. Oleh itu, janganlah kita hampakan harapan mereka. Hak mereka untuk mendapat pendidikan adalah tanggungjawab kita.
No comments:
Post a Comment