Pages

Tuesday, July 23

Dugaan Ramadan

Hari ini PPD Lipis terlibat dengan pengauditan ISO. Tiga orang auditor telah ditugaskan untuk melaksanakan pengauditan tersebut. Ketiga-tiga mereka sebenarnya adalah sahabat teman belaka. Ketua Juruaudit, En. Azhar ialah Pegawai KGSK PPD Bera (sama-sama dengan teman waktu teman menjadi Pegawai KGSK dulu), En. Abdullah, Penolong Pengarah Unit Naik Pangkat JPN Pahang ialah bekas Penolong PPD Pengurusan Sekolah Maran. Manakala En. Bakri pula adalah Penolong PPD Pengurusan Sekolah Menengah Maran (beliau menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh En. Abdullah). Walaupun ketiga-tiga mereka ini sahabat teman, namun teman tidak mahu memandang mudah proses pengauditan ini. Tambahan pula temanlah antara pegawai yang banyak memegang PK (PK01 Penempatan Guru, PK02 Pertukaran Guru, PK03 Pemantauan dan PK16 Data Opmen).

Suasana tegang dalam kalangan Pegawai-Pegawai sudah mula terasa. Selalunya kita je pergi memantau guru-guru di sekolah. Emm...kali nie, kita pula yang kena pantau. Apa-apa pun, kita harap segalanya berjalan dengan baik. Harap-harap tak adalah mana-mana Pegawai yang kena NCR (Nonconformance Report) atau OFI (Opprtunities For Improvement). Teman dah 3 kali diaudit, setakat nie lepas belaka. Semoga kali ini pun teman dapat melengkapkan semua fail-fail berkaitan PK yang dipegang dengan sebaik mungkin.

Petang semalam telah berlangsung Majlis Berbuka Puasa anjuran Kelab Kebajikan Staf PPD Lipis. Majlis diadakan di Hotel Lipis Valley Inn. Ramai juga yang bawa keluarga masing-masing. Teman juga turut membawa orang rumah dan anak bongsu teman, Ruzaini Imran. Pertemuan keluarga ini jarang-jarang dapat dilakukan. Oleh itu, peluang yang sekejap ini harapnya memberi makna yang besar kepada perhubungan silaturahim antara semua staf di PPD Lipis.

Petang Jumaat yang lalu, ketika teman dalam perjalanan balik dari office, Tuan Timbalan PPD menghubungi teman melalui telefon. Katanya Tuan PPD mahu berjumpa dengan semua Pengetua dan Guru Besar pada petang Isnin depan. Emm...nak hantar surat memang tak sempat dah. Nampaknya khidmat INFOBLAST terpaksa digunakan. Petang Sabtu teman hantar message kepada semua Pengetua dan Guru Besar. Alhamdulillah, hampir semua menerima message tersebut. Cuma satu dua orang sahaja yang tak dapat. Barangkali beliau baru dilantik sebagai Pengetua atau Guru Besar dan mungkin juga kerana menukar nombor telefon baru. Kepada yang sering tidak mendapat message yang dihantar melalui infoblast mohon berhubung dengan En. Khairul Azli, Pegawai ICT untuk dibuat penambahan atau pembetulan nombor telefon. Dalam zaman di mana maklumat perlu bergerak pantas, surat bukan lagi menjadi pilihan terbaik. Oleh itu, semua pentadbir sekolah di daerah Lipis perlu membiasakan diri dengan senario ini.

Sebenarnya, tujuan Tuan PPD memanggil semua Pengetua dan Guru Besar petang Isnin yang lalu ialah untuk memberi taklimat persediaan untuk program Dialog Prestasi bersama dengan KPPM yang dijangkakan akan diadakan pada 30 Julai ini. Terutama dalam memastikan data 'Dashboard' PPD Lipis dikemaskinikan. Antara data yang perlu diisi setiap hari ialah kehadiran guru dan murid. Semoga semua Pengetua dan Guru Besar dapat memastikan data ini diisi oleh sekolah masing-masing.

Di sebelah pagi pula telah berlangsung Mesyuarat ABM Perjawatan untuk tahun 2014. Mesyuarat ini melibatkan semua GPK Pentadbiran sekolah-sekolah menengah daerah Lipis dan Cameroon Highlands. Mesyuarat ini bertujuan menentukan jumlah guru bagi setiap sekolah menengah pada tahun hadapan. Semoga semua GPK dapat mengisi data-data yang diperlukan dalam eOperasi itu dengan betul. Kesilapan mengisi data terutama jumlah kelas dan enrolmen pelajar boleh memberi kesan kepada jumlah guru yang akan diperolehi oleh setiap sekolah pada tahun hadapan.

Mesyuarat yang diadakan di Bilik Mesyuarat Anjung Fikir ini dipengerusikan oleh En. Nor Ahmad bin Abdul Rahim, Ketua Penolong Pengarah Unit Pengurusan Sekolah Menengah, JPN Pahang. Turut hadir ialah En. Borhanuddin Mohd Sharif, Penolong Pengarah Pengurusan Guru dan En. Helan Wahyuddee bin Ali, Penolong Pengarah Data dan ABM Guru. Terima kasih banyak kepada Tuan KPP and the geng kerana sudi datang ke Lipis untuk berkongsi ilmu.

No comments: