Pages

Wednesday, July 31

Berbuka puasa di Batu Yon

Dari 29 hingga 31 Julai yang lalu, teman menghadiri Mesyuarat Pelarasan ABM Perjawatan 2014 yang diadakan di Hotel Federal Kuala Lumpur. Hotel ini terletak di kawasan Bukit Bintang, betul-betul di sebelah Plaza Low Yat. Bermesyuarat di bulan puasa ni, letihlah sikit. Terutama waktu petang, tah beberapa kali teman tersengguk.

Namun ada juga seronoknya bermesyuarat di bulan puasa nie. Terutama bagi hotel yang ada Bufet Ramadan. Pelbagai juadah disediakan. Pilih jelah juadah mana yang berselera tetapi janganlah sampai membazir. 

Hai...tuan KPP, masih ada ruang lagi kat depan tu. En. Amran nampaknya dah penuh dah. Tak pe tuan, banyak lagi menu tu. Minuman special kat Federal yang tak ada kat bazar Ramadan ialah 'Air Janda Datang' dan 'Air Anai-Anai'. Emm...kena rasa nie.

Sementara menunggu waktu berbuka, sempatlah teman merayau-rayau kat Berjaya Times Square. Menarik juga barang-barang yang dijual kat sini sempena menyambut hari raya Aidilfitri. Teman sekadar tengok jelah, nak beli takut lari budget pulak. Tak lepas teman nak balik beraya kat kampung. Bantuan RM500 yang government bagi tu, cukup untuk bayaran tol dan minyak kereta teman je. Walau bagaimanapun, teman nak ucapkan terima kasih juga kepada kerajaan di atas bantuan wang tersebut. Lagipun sebagai kakitangan awam, teman telah mendapat satu lagi kenaikan gaji pada bulan Julai yang lalu. Segalanya terpulang pada kita, ada banyak kita beraya cara banyak, ada sedikit, kita berayalah cara sedikit. Baju raya tak payahlah nak bertema-tema, kita pakai je yang mana ada. Kepada anak-anak sedara di kampung, engko orang jangan terkezut pulak kalau Pak Dak kurangkan duit raya tahun ini.

Semalam (2 Ogos), Dato' Haji Mazlan bin Mohamad, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan Malaysia telah bersetuju untuk hadir ke majlis berbuka puasa di SK Batu Yon. Kebetulan turun ke Lipis, beliau mengambil kesempatan untuk meninjau program K9 di SK Betau. Teman mendapat panggilan daripada saudara Saruchi Sawal bahawa Dato' akan sampai di Betau sekitar jam 5.00 petang. Teman memaklumkan perkara itu kepada Tuan Timbalan PPD, En. Rosli Mubin. Beliau ingin turut serta bersama teman ke SK Betau.

Saudara Hamdan Zakaria, Penyelaras K9 SK Betau sedang memberi taklimat ringkas kepada YH Dato' Haji Mazlan berkaitan perjalanan program K9 dan permasalahan yang timbul. Alhamdulillah, Dato' memberi respon positif terhadap semua permasalahan yang dikemukakan itu. Beliau meminta pihak sekolah dengan bantuan PPD menyenaraikan semua permasalahan tersebut dan didokumentasikan untuk beliau bawa ke mesyuarat peringkat tertinggi KPM.

YH Dato' melawat tapak pembinaan 4 unit kabin di SK Betau. Kabin-kabin ini akan dijadikan asrama pelajar. Alhamdulillah, teman tengok pembinaan kabin ini sudah semakin pantas berbanding peringkat awal dulu. Kalau tak silap teman, kabin ini sepatutnya dah siap pada bulan Julai yang lepas. Namun dari pemerhatian teman rasa-rasanya 3 bulan lagi baru siap nie. Itupun kalau momentum kerja seperti yang teman nampak petang semalam itu dikekalkan.

Setelah berada di SK Betau hampir sejam setengah, kami bertolak ke SK Batu Yon untuk program berbuka puasa bersama warga sekolah dan PIBG. Teman kagum dengan persediaan pihak sekolah untuk menyambut kehadiran YH Dato' Haji Mazlan. Tahniah kepada Tuan Guru Besar, En. Abdul Aziz Mohd Zin dan seluruh warga SK Batu Yon. Layanan kelas A ini pastinya menjadi ingatan buat Dato' dan kami semua.

Sementara menunggu waktu berbuka, Dato' mengambil peluang melawat kawasan sekitar sekolah. Beliau nampaknya berpuashati dengan kebersihan serta keceriaan sekolah. Beliau turut mencadangkan penubuhan galeri sekolah bagi mempamerkan bahan-bahan sejarah sekolah dan gambar individu-individu berjaya yang berasal dari SK Batu Yon. Teman harap, cadangan daripada YH Dato' ini akan dipertimbangkan oleh pihak sekolah. Teman percaya saudara Bob boleh melakukannya.

YH Dato' Haji Mazelan menyampaikan sumbangan hari raya kepada murid-murid SK Batu Yon. Selepas majlis berbuka, Dato' bersolat maqrib bersama-sama warga sekolah dan PIBG di bilik solat asrama sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Terima kasih Dato' kerana sudi mampir ke daerah Lipis.

Saturday, July 27

Rezeki di bulan Ramadan

Petang Rabu yang lalu, teman menggantikan Tuan PPD untuk hadir ke Majlis Berbuka Puasa Batalion Ke-8 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Kuala Lipis. Berbuka puasa dengan askar nie...satu je masalahnya, kena pakai baju melayu lengkap. Emm...terasa macam hadir majlis hari raya pulak. Tak apa, hadir tempat orang kenalah ikut cara orang. Teman sampai di kem sekitar jam 6.50 petang. Nampaknya Timbalan Ketua Polis, Tuan Ibrahim dan Jurutera daerah, Tengku Nizam terlebih dahulu sampai. Tidak lama kemudian Pegawai Pemerintah Kem sampai dan diikuti oleh Dato' Mohd Nor, Pegawai Daerah Lipis. 

Walaupun teman hanya menggantikan Tuan PPD, namun nama teman ada di atas meja. Sempurna betul majlis dia orang ini. Disiplin ketika di padang kawat telah diadaptasikan dalam majlis keraian seperti ini.

Amboi mak, banyaknya juadah! Hem, sebenarnya bagi majlis berbuka puasa nie, semua juadah disediakan sendiri oleh abang-abang soldier kita. Mereka memasak ikut negeri masing-masing. Oleh itu, terdapat hampir 14 jenis juadah boleh dipilih untuk dimakan. Tak pandai teman nak memilih. Dalam keadaan lapar nie, semua juadah nampak sedap belaka. Sebagai permulaam teman teringin nak merasa masakan dari negeri asal teman iaitu Kedah. Menu gulai kawah daging dengan umbut pisang amat menyelerakan. Teringat teman kenduri di kampung waktu dulu-dulu. Sekarang nie payah dah nak jumpa kenduri yang menyediakan masakan berasaskan umbut pisang. Pegawai Pemerintah Kem orang Nogori, so tak heranlah kalau dia pun pilih juadah dari negeri asalnya, ikan keli salai masak lemak. Selesai berbuka, kami dibawa ke surau kem untuk solat Maqrib, Isyak dan sunat Tarawih.

Tuesday, July 23

Dugaan Ramadan

Hari ini PPD Lipis terlibat dengan pengauditan ISO. Tiga orang auditor telah ditugaskan untuk melaksanakan pengauditan tersebut. Ketiga-tiga mereka sebenarnya adalah sahabat teman belaka. Ketua Juruaudit, En. Azhar ialah Pegawai KGSK PPD Bera (sama-sama dengan teman waktu teman menjadi Pegawai KGSK dulu), En. Abdullah, Penolong Pengarah Unit Naik Pangkat JPN Pahang ialah bekas Penolong PPD Pengurusan Sekolah Maran. Manakala En. Bakri pula adalah Penolong PPD Pengurusan Sekolah Menengah Maran (beliau menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh En. Abdullah). Walaupun ketiga-tiga mereka ini sahabat teman, namun teman tidak mahu memandang mudah proses pengauditan ini. Tambahan pula temanlah antara pegawai yang banyak memegang PK (PK01 Penempatan Guru, PK02 Pertukaran Guru, PK03 Pemantauan dan PK16 Data Opmen).

Suasana tegang dalam kalangan Pegawai-Pegawai sudah mula terasa. Selalunya kita je pergi memantau guru-guru di sekolah. Emm...kali nie, kita pula yang kena pantau. Apa-apa pun, kita harap segalanya berjalan dengan baik. Harap-harap tak adalah mana-mana Pegawai yang kena NCR (Nonconformance Report) atau OFI (Opprtunities For Improvement). Teman dah 3 kali diaudit, setakat nie lepas belaka. Semoga kali ini pun teman dapat melengkapkan semua fail-fail berkaitan PK yang dipegang dengan sebaik mungkin.

Petang semalam telah berlangsung Majlis Berbuka Puasa anjuran Kelab Kebajikan Staf PPD Lipis. Majlis diadakan di Hotel Lipis Valley Inn. Ramai juga yang bawa keluarga masing-masing. Teman juga turut membawa orang rumah dan anak bongsu teman, Ruzaini Imran. Pertemuan keluarga ini jarang-jarang dapat dilakukan. Oleh itu, peluang yang sekejap ini harapnya memberi makna yang besar kepada perhubungan silaturahim antara semua staf di PPD Lipis.

Petang Jumaat yang lalu, ketika teman dalam perjalanan balik dari office, Tuan Timbalan PPD menghubungi teman melalui telefon. Katanya Tuan PPD mahu berjumpa dengan semua Pengetua dan Guru Besar pada petang Isnin depan. Emm...nak hantar surat memang tak sempat dah. Nampaknya khidmat INFOBLAST terpaksa digunakan. Petang Sabtu teman hantar message kepada semua Pengetua dan Guru Besar. Alhamdulillah, hampir semua menerima message tersebut. Cuma satu dua orang sahaja yang tak dapat. Barangkali beliau baru dilantik sebagai Pengetua atau Guru Besar dan mungkin juga kerana menukar nombor telefon baru. Kepada yang sering tidak mendapat message yang dihantar melalui infoblast mohon berhubung dengan En. Khairul Azli, Pegawai ICT untuk dibuat penambahan atau pembetulan nombor telefon. Dalam zaman di mana maklumat perlu bergerak pantas, surat bukan lagi menjadi pilihan terbaik. Oleh itu, semua pentadbir sekolah di daerah Lipis perlu membiasakan diri dengan senario ini.

Sebenarnya, tujuan Tuan PPD memanggil semua Pengetua dan Guru Besar petang Isnin yang lalu ialah untuk memberi taklimat persediaan untuk program Dialog Prestasi bersama dengan KPPM yang dijangkakan akan diadakan pada 30 Julai ini. Terutama dalam memastikan data 'Dashboard' PPD Lipis dikemaskinikan. Antara data yang perlu diisi setiap hari ialah kehadiran guru dan murid. Semoga semua Pengetua dan Guru Besar dapat memastikan data ini diisi oleh sekolah masing-masing.

Di sebelah pagi pula telah berlangsung Mesyuarat ABM Perjawatan untuk tahun 2014. Mesyuarat ini melibatkan semua GPK Pentadbiran sekolah-sekolah menengah daerah Lipis dan Cameroon Highlands. Mesyuarat ini bertujuan menentukan jumlah guru bagi setiap sekolah menengah pada tahun hadapan. Semoga semua GPK dapat mengisi data-data yang diperlukan dalam eOperasi itu dengan betul. Kesilapan mengisi data terutama jumlah kelas dan enrolmen pelajar boleh memberi kesan kepada jumlah guru yang akan diperolehi oleh setiap sekolah pada tahun hadapan.

Mesyuarat yang diadakan di Bilik Mesyuarat Anjung Fikir ini dipengerusikan oleh En. Nor Ahmad bin Abdul Rahim, Ketua Penolong Pengarah Unit Pengurusan Sekolah Menengah, JPN Pahang. Turut hadir ialah En. Borhanuddin Mohd Sharif, Penolong Pengarah Pengurusan Guru dan En. Helan Wahyuddee bin Ali, Penolong Pengarah Data dan ABM Guru. Terima kasih banyak kepada Tuan KPP and the geng kerana sudi datang ke Lipis untuk berkongsi ilmu.

Thursday, July 18

Ramadan al-Mubarak

Petang semalam teman bersama saudara Ahmad Daniar, Pegawai Bimbingan Kaunseling dan Kerjaya Murid mewakili PPD Lipis hadir berbuka puasa bersama-sama penghuni asrama SMK Clifford. Terima kasih kepada pihak sekolah kerana sudi menjemput kami. Emm...syahdu juga tengok anak-anak ini berbuka puasa tidak bersama keluarga.

Pada 16 Julai yang lalu, teman berkunjung ke SMK Seri Pekan untuk Program Pemantauan Sekolah Indera Shahbandar Pahang (SISP). Turut hadir dalam program itu ialah En. Wan Abdul Hamid, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah. Proses pemantauan yang bermula pukul 8.30 pagi itu berakhir sekitar jam 4.00 petang. Selesai sesi perbentangan, teman terus bergegas balik. Hajat nak berbuka di rumah tetapi tak sempat. Pukul 8.00 malam baru teman sampai. Berbuka dengan air mineral je lah dalam kereta.

Kebetulan berada di Bandar Diraja Pekan nie, teman nak la mencari resepi dari istana iaitu Puding Raja. Alhamdulillah, Haji Azaman, Guru Penolong Kanan SMK Seri Pekan telah berusaha mendapatkannya. Oleh kerana material untuk membuat juadah ini agak mahal dan proses menyediakannya agak rumit, tidak hairanlah kalau harganya pun boleh tahan juga. Sesekali nak merasa, apa salahnya.

Hujung minggu yang lalu teman bersama keluarga ke Kuala Lumpur untuk melawat anak sulung teman yang sedang menuntut di salah sebuah kolej di sana.Teman dah rancang nak bawa dia orang bermalam di Hotel Brisdale, di Jalan Raja Bot supaya dekat dengan Jalan Raja Alang. Bolehlah teman mencari juadah berbuka kat situ. Nak berbuka kat bufet Ramadan di hotel tu macam membazirlah pula. Charge untuk dewasa RM38 dan kanak-kanak RM27. Kalau beli kat bazar Ramadan RM38 tu rasa-rasanya boleh cover untuk kami sekeluarga.

Pagi hari minggu sebelum check out dari hotel, teman dengan orang umah berjalan-jalan sekitar Jalan TAR dan Jalan Masjid India. Baru 5 hari berpuasa, namun aktiviti jualan kuih dan baju raya dah mula rancak. Tiada ruang kosong, semua dipenuhi dengan jurujual. Bulan puasa tak daya juga teman nak tawaf serata KL nie. Selepas menghantar anak sulung teman kembali ke hostel, kami terus balik Lipis.

On the way balik dari Kuala Lumpur, kome singgah bazar Ramadan Raub. Orang rumah teman nak cari gulai asam rong. Kalau nak ikutkan gulai asam rong ni famous di Jerantut. Namun di Raub pun gulai ini boleh didapati dijual di kedai-kedai makan dan pasar sehari. Biasanya bahan utama untuk membuat gulai asam rong nie ialah buah perah. Namun, ada juga yang nak mudah guna biji getah. Emm...yang kome beli tu tak pasti pulak, buah perah atau biji getah. Bila dah lapar tu, tak ingat apa dah.

Ingatkan ayam tandoori, rupa-rupanya ayam tempayan. Ini satu lagi cara nak memanggang ayam. Biasanya kita lihat orang panggang ayam atas grill macam ayam golek dan ayam percek. Kali nie dia orang panggang dalam tempayan pula. Bulan Ramadan nie makin kreatif orang mencari duit.

Wednesday, July 3

Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Lipis 2013

Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Lipis 2013 telah diadakan pada petang Jumaat 27 Jun 2013 di padang SMK Orang Kaya Haji. Buat pertama kali, Sambutan Hari Guru diadakan di luar dewan. Alhamdulillah, cuaca menyebelahi kita, walaupun langit agak gelap.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Dato' Haji Abdul Rahman Mohamad, Ahli Parlimen Lipis. Maaf ye, Dato'. Teks ucapan yang disediakan oleh Jawatankuasa kita agak panjang hingga menimbulkan kesulitan kepada Dato' untuk membacanya. Terima kasih kepada Dato' Mohd Nor, Pegawai Daerah Lipis kerana sudi turut serta dalam majlis ini.

Tahniah kepada Tuan Haji Yusuf bin Ibrahim kerana terpilih sebagai Tokoh Guru Daerah Lipis 2013. Tuan Haji Yusuf pernah menjadi Pengetua SMK Setiawangsa sebelum menjadi Guru Cemerlang di SMK Padang Tengku. Walaupun sudah lama bersara, namun beliau masih memberi sumbangan kepada kemajuan pendidikan di daerah Lipis. Teman difahamkan sehingga kini beliau masih mengajar di SMA Al-Maidah Padang Tengku dan terlibat dalam penubuhan Pusat Tahfiz di Kampung Relong.

Selaku Setiausaha Sambutan Hari Guru Daerah Lipis, teman ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua Jawatankuasa yang terlibat kerana telah memberi komitmen tinggi bagi menjaya program ini. Setinggi tahniah dan terima kasih teman ucapkan kepada sahabat teman Hj Zulfakhri yang bertindak sebagai Penolong Setiausaha. Beliau begitu banyak membantu teman dalam melaksanakan tugas-tugas setiausaha kerana seminggu sebelum majlis sambutan ini, teman terpaksa menghadiri dua mesyuarat penting di luar daerah iaitu di Jerantut dan Kuantan.

Tengok gambar di atas kemudian tengok gambar di bawah. Perbezaan yang nyatakan. Gambar di atas teman ambil sejurus majlis bermula dan gambar di bawah teman ambil sejurus selepas YB Dato' Haji Abdul Rahman selesai menyampaikan ucapan perasmian. Majlis baru separuh jalan tetapi cikgu-cikgu kita telah meninggalkan kerusi masing-masing. Ada yang mendapatkan makanan di gerai-gerai yang disediakan dan ada yang beransur-ansur meninggalkan majlis. Sedih juga teman melihat situasi ini (mungkin sebab teman setiausahanya kut). Majlis Sambutan Hari Guru kali ini dirancang agar hanya memakan masa 2 jam sahaja dengan mengambilkira kesempatan untuk menunaikan solat Asar. Alhamdulillah, masa ini telah ditepati. Emm...kenapa ye, 2 jam pun cikgu-cikgu kita tak boleh tunggu? Majlis ini, majlis kita. Kalau kita sendiri tidak meraikannya...siapa lagi yang kita harapkan. Kita bercakap tentang disiplin kepada anak-anak didik kita tetapi bagaimana dengan disiplin diri kita sendiri? Dua puluh tahun yang lalu, ketika terpilih untuk hadir Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah, meremang bulu roma teman tahkala sajak 'Guru oh Guru' karya Allahyarham Usman Awang dideklamasikan. Hari ini...entahlah.

Monday, July 1

Program Orientasi Guru Baharu

Teman baru sahaja sampai dari Kuantan. Lewat sikit sebab selepas Program Orientasi Guru Baharu di PPD Kuantan, teman dan rakan-rakan diminta menghadiri satu taklimat berkaitan ABM Perjawatan 2013 dan 2014. Nasib baiklah taklimat tersebut diadakan ditempat yang sama, jadi dapatlah jimat masa sedikit. Selesai taklimat jam 3.00 petang, teman terus bertolak balik ke Lipis.

Program Orientasi Guru Baharu bagi penempatan 1 Julai diadakan untuk memberi pendedahan kepada bakal-bakal guru ini berkaitan perkhidmatan dan tanggungjawab mereka apabila melapor diri di sekolah nanti. Alhamdulillah, daerah Lipis mendapat 15 orang guru baharu. 6 orang guru sekolah menengah dan 9 orang guru sekolah rendah. Teman harap kesemua mereka ini akan melapor diri di sekolah masing-masing esok dan tidak akan memohon tukar sekurang-kurang dalam jangkamasa 4 tahun. Bagi yang telah berkeluarga, barangkali inilah pengorbanan terbesar yang anda perlu lakukan setelah memilih 'guru' sebagai kerjaya hidup. Benarlah bagai dikata, guru umpama lilin, membakar diri menerangi orang lain. Jika kita merasa susah, percayalah bahawa ada orang lain lebih susah daripada kita. Setidak-tidaknya kita telah memiliki pekerjaan. Bagaimana dengan rakan-rakan kita yang masih terumbang-ambing tanpa pekerjaan? Bersyukurlah.

Turut hadir dalam program ini ialah Tuan KS Pengurusan Sekolah, En. Wan Abdul Hamid bin Wan Mohamad, Tuan KPP, En. Nor Ahmad bin Abd Rahim, KU Sekolah Rendah, En. Zainol bin Ismail dan Tuan Timbalan PPD Kuantan, En. Mohamad bin Bakar.

Tuan Ketua Sektor sedang menyampaikan surat penempatan kepada guru-guru baharu. Macam-macam aksi boleh tengok selepas menerima surat penempatan masing-masing. Ada yang gembira, ada yang terkezut dan tak kurang juga yang bersedih. Bersabarlah ya, adik-adik semua. Nak buat macam mana rezeki kita telah ditetapkan di situ. Ingatlah, kita ada pekerjaan kerana wujudnya insan bernama 'pelajar'. Oleh itu, janganlah kita hampakan harapan mereka. Hak mereka untuk mendapat pendidikan adalah tanggungjawab kita.