Pages

Saturday, November 24

Malam Kenangan Terindah

Malam semalam bertempat di Lipis Centrepoint Hotel, kelab Staf PPD Lipis telah menganjurkan majlis bagi meraikan En. Abidin Noh yang bersara wajib mulai semalam pada usia 56 tahun. En. Abidin merupakan staf yang paling lama berkhidmat di PPD Lipis iaitu mulai Jun 1978.

Majlis ini juga diadakan bagi meraikan En. Shamsudin Basir yang dinaikkan pangkat menjadi Guru Besar di SK Chemomoi, En. R Azmi yang bertukar ke SK Berchang, En. Azizan Adenan yang bertukar ke SK Jabor dan Pn Nurul Ain Rasul yang bertukar mengikut suami ke Selangor. Walau bagaimana pun En. R Azmi dan Nurul Ain tidak dapat hadir kerana sebab-sebab tertentu. En. R Azmi seperti semua maklum, malam semalam berlangsung upacara akad nikah beliau dengan gadis pilihan di Kampung Pagar Sasak.

Ingat nak candid deme ni tengah menyuap makanan. Bila nampak teman nak snap mula la posing ayu. Emm, tak tercapai misi teman.

Mende yang kelakar sangat tu abang Hus. Cerita Kopi Jantan ke? Kabornya kat PPD dah ada stockist kopi tu. Mudah la mendapatkan bekalan nanti.

En. Abidin bin Noh mula bertugas dalam Perkhidmatan Awam pada 1 April 1978 sebagai tukang cuci di SMK Orang Kaya Haji (waktu itu dikenali sebagai SEMARAK). Pada 19 Jun 1978 beliau bertukar ke Pejabat Pelajaran Daerah sebagai Pelayan Pejabat. Pada 16 Disember 1997 dinaikkan pangkat Pembantu Tadbir Rendah dan pada 3 Jun 2009 dinaikkan pangkat sekali lagi sebagai Pembantu Tadbir N17.

Romantisnya...dalam kesamaran cahaya lilin bertemankan isteri tercinta, En Abidin diberi kejutan kek hari jadi beliau yang ke-56. Selamat hari jadi abang Bidin. Semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki.

Tuan Haji Misnan bin Haji Mohd Damin, Pegawai Pelajaran Daerah menyampaikan hadiah Kelab Staf kepada En. Abidin Noh.

Steady abang Bidin nie...boleh gak nyanyi karaoke. Hak sorang tu, jangan citer la. berbakat besar tu. Kalau dia nyanyi lagu 'Biar Bulan Bicara' mau berdiri bulu kaki. Teman respect kat Ustaz Mail, sporting habis...dua buah lagu D'lloyd beliau sampaikan.

 Semoga majlis yang diadakan pada malam semalam menjadi Kenangan Terindah buat kita  semua.

Kepada abang Bidin, selamat menempuhi alam persaraan. Semoga masa-masa terluang selepas ini dapat digunakan sebaik mungkin. Kalau teringin nak makan roti canai double contact la Ustaz Mail dan Abang Jab. Kepada En. Shamsudin, semoga tanggungjawab yang diamanahkan kepada tuan dapat dilaksanakan dengan penuh komitmen dan keikhlasan. Buat R. Azmi, Azizan dan Nurul Ain, selamat bertugas di tempat yang baharu. Tahniah dan terima kasih kepada Pengerusi dan AJK Kelab Staf PPD Lipis di atas penganjuran majlis yang penuh bermakna ini. Kejayaan sesebuah organisasi ialah apabila semua pendukungnya memberi kerjasama dan ketaatan yang tidak berbelah bagi.

No comments: