Pada 26 hingga 28 November 2012 yang lalu, teman telah menghadiri Mesyuarat Post Mortem Keputusan UPSR 2012 bagi Sekolah Indera Shahbandar Pahang. Mesyuarat yang diadakan di Prescott Inn, Kuala Lumpur ini turut dihadiri oleh YBrs. Wan Hamid bin Wan Mohamad, KS Pengurusan Sekolah dan Tuan Haji Jailani, KS Pengurusan Akademik. Antara agenda mesyuarat ini ialah membincang isu-isu berkaitan keputusan UPSR 2012 dan Perancangan 2013. Banyak isu yang diutarakan oleh 4 buah SISP yang terlibat. Teman tertarik dengan laporan ujian saringan pemilihan murid SISP yang disampaikan oleh Puan Zarina, PK Rendah SISP SMK Clifford. Beliau telah menyenaraikan sekolah-sekolah rendah yang menghantar murid-murid untuk menduduki ujian tersebut. Namun ada beberapa sekolah yang tidak menghantarnya. Bagi sekolah yang kecil, barangkali ada rasionalnya tetapi bagaimana dengan sekolah yang besar. Mungkinkah ibu bapa yang tidak mahu anak-anak mereka belajar di SISP atau maklumat tentang ujian itu tidak sampai kepada mereka?
Syabas kepada SMK Clifford kerana muncul sebagai yang terbaik UPSR 2012 dalam kalangan SISP Pahang. Semoga piala pusingan dan wang tunai RM1000 yang diterima itu menjadi pembakar semangat agar pencapaian 2013 nanti lebih cemerlang lagi. Kepada semua guru dan kaki tangan sekolah yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam projek SISP ini, teman ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih di atas usaha bersungguh-sungguh yang telah anda semua lakukan. Semoga kita mampu mempertahankan kedudukan ini.
No comments:
Post a Comment