Pages

Friday, December 21

Memancing di Cheruk Ketiak

Saya memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang menelefon saya semalam (21 Disember 2012). Minggu ini merupakan minggu yang paling sukar bagi saya. Banyak perkara perlu dibereskan sebelum sesi persekolahan 2013 bermula. Penempatan pelajar ke Tingkatan Satu dan Sekolah Rancangan Khas yang sedikit bermasalah dengan penggunaan sistem Aplikasi Pengkalan Data Murid (APDM). Pertukaran guru yang belum mantap kerana masih ada proses rayuan yang belum selesai. Penubuhan Sekolah Model Khas K9 di SK Betau yang akan bermula 2 Januari ini, benar-benar merentap seluruh khudrat saya. Beberapa kali saya terpaksa membatalkan cuti kerana terpaksa menghadiri pelbagai mesyuarat di pelbagai lokasi. Namun saya merasa puas kerana dapat memberi khidmat kepada semua orang.

Cuma hari Rabu yang lalu keadaan sedikit berubah. Saya bukan sahaja terpaksa menjawab begitu banyak panggilan telefon di pejabat malah terpaksa juga menjawab hingga di rumah. Saya tahu semua orang ingin masalah mereka diselesaikan segera tetapi rasanya kita juga perlu menghormati masa peribadi seseorang. Tekanan yang di luar jangka ini menyebabkan tahap kesihatan saya mula terganggu. Bacaan BP mula melonjak. Amlodipine yang ditelan setiap hari tidak mampu lagi mengekalkan tahap ideal tekanan darah. Sahabat saya Mr. Ho Chee Kang (Guru Besar SJKC Benta) memberikan saya buah tunjuk langit. Aduss...pahit sangat weh!

Sebelum keadaan menjadi tidak terkawal, saya rasa...saya perlu berehat seketika. Petang Khamis lalu, saya mengisi borang untuk balik awal dan pada hari Jumaat saya bercuti. Saya juga mengambil keputusan untuk berehat sepenuhnya tanpa gangguan bunyi telefon. So I put the phone in silent mode
. Barangkali ramai yang kecewa kerana tidak dapat menghubungi saya. Insyaallah...hari Isnin ini (24 Disember) saya akan kembali bekerja. Semoga semua masalah yang timbul akan dapat diselesaikan. Kata Dr. D.J. Schwartz dalam buku beliau 'The Magic of Thingking Big' hanya masalah 'mati' yang tak boleh diselesaikan.

Pukul 5.00 petang hari Khamis, saya dan keluarga bertolak balik ke Kedah. Perjalanan agak selesa kerana tidak banyak kereta di atas lebuh raya. Perjalanan balik ke Kedah memakan masa hampir 10 jam. Masa perjalanan yang panjang ini tentulah meletihkan terutama anak-anak. Untuk mengelakkan kebosanan kami berhenti di beberapa RNR untuk makan dan berehat. Pukul 3.00 pagi kami pun sampai di rumah emak dan ayah saya. Walaupun percutian ini cuma dua hari sahaja, saya harap akan terubatlah rindu semua orang.

Bagi mengisi masa terluang di kampung, kami mengambil keputusan untuk pergi memancing. Petang Jumaat saya membawa keluarga serta dua orang anak sedara pergi memancing di Kampung Cheruk Ketiak. Emm...kelakar sikit nama kampung ini. Dari dulu sampai sakarang, itulah namanya. Tak ada pula usaha untuk menukar nama kampung ini kepada nama yang lebih baik. Di Kuala Lipis, Kampung Batu Kurap telah ditukar kepada Kampung Jeram Batu. Sedap sikit bunyinya. Saya ingat lagi waktu sekolah dahulu, kawan-kawan yang berasal dari kampung ini akan malu-malu bila cikgu bertanya nama kampung mereka.

Memancing bukanlah aktiviti favourite saya. Saya tidak cukup sabar untuk menunggu begitu lama untuk mendapatkan ikan. Namun, saya sedar bahawa aktiviti ini dapat menjadi wadah mengeratkan hubungan kami sekeluarga. This is the best time with family.

Memancing di kawasan sawah nie...ikan puyu yang banyaknya. Teringat saya waktu membantu ayah saya mengerjakan sawah dulu, ketika berhenti berehat emak saya bekalkan nasi lemak dengan ikan puyu goreng berlada. Aduhai...berselera benar waktu itu.

Walaupun namanya agak kelakar, namun panorama petang di Kampung Cheruk Ketiak benar-benar meruntun perasaan. Semoga pengalaman memancing di sini akan sentiasa diingat oleh anak-anak saya, Ikhwan dan Imran.
.
Setiap kali balik kampung mesti tak lepas peluang ke Pasar Jitra. Naim gemar sangat ikan sepat pekasam. Ikan pekasam yang dijual kat tepi pintu masuk Pasar Jitra ni tak berapa masin. Bagi pengamal Amlodipine atau Atenolol boleh le merasa tetapi janganlah berlebih sangat.

No comments: