Pages

Thursday, December 27

K9 - dan cabaran pun bermula

Pada 2 Januari 2013 nanti, setelah pelajar-pelajar Tingkatan 1 memulakan sesi persekolahan 2013 maka rasmilah SK Betau sebagai Sekolah Model Khas Komprehensif K9. Ini bermaksud akan wujud 9 kelas di sekolah tersebut iaitu dari Tahun 1 hinggalah Tingkatan 3. Matlamat penubuhan K9 ini ialah untuk menanggani masalah keciciran dalam kalangan pelajar-pelajar orang asli. Idea penubuhan K9 ini mula berkumandang dua tahun yang lalu. Saya ingat lagi bagaimana sahabat saya En. Rahmin bin Mahasan (waktu itu beliau ialah Ketua Unit Pengurusan Sekolah PPD Lipis) bersama beberapa orang pegawai PPD serta guru SK Betau telah mengadakan lawatan ke SK Bandar 2, Paloh Hinai untuk melihat pelaksanaan K9 di sekolah tersebut. Namun, entah mengapa selepas itu idea ini terus senyap dan tidak diperkatakan lagi.

Walau bagaimanapun pada 21 Jun 2012 yang lalu, semasa pelancaran Program Tranformasi Pendidikan Orang Asli dan Pribumi di SK Betau oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri, idea K9 kembali diperkatakan. Mesyuarat pertama K9 yang diadakan pada 21 November 2012 dan disusuli mesyuarat kedua pada 18 Disember 2012 telah meyakinkan kita bahawa K9 benar-benar akan menjadi kenyataan. Untuk permulaan ini, hanya dua kelas Tingkatan 1 akan dibuka dengan kapasiti 70 orang pelajar dan 12 orang guru. Pelajar-pelajar akan diambil dari SK Betau (35 orang) SK Lenjang (25 orang) dan SK Titom (10 orang).

...dan cabaran pun bermula. Dua kelas kosong perlu disediakan. Kerusi meja diambil dari SK Relong, katil untuk asrama diambil dari SMK Kerdau, buku teks diambil dari SMK Sungai Koyan dan SMK Orang Kaya Haji. Manakala guru pula, untuk permulaan dua kelas ini telah diputuskan cuma lima orang guru akan ditempatkan di situ. Setakat ini, saya hanya mampu menempatkan empat orang guru sahaja. Oleh itu, untuk memastikan kelas ini terlaksana maka pertolongan daripada guru-guru rendah SK Betau amat diharapkan. Insyaallah, jika ada posting guru baru nanti, kapasiti K9 ini akan dapat dimaksimumkan. Pemilihan pelajar sedikit bermasalah kerana jumlah sebenar pelajar Tahun Enam yang akan ke Tingkatan Satu bagi ketiga-tiga sekolah tersebut ialah 170 orang. Oleh itu, tidak semua yang bernasib baik untuk ditawarkan ke K9 Sk Betau ini. Bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan ibu bapa orang asli ini, maka satu taklimat telah diadakan pada pagi tadi. Turut hadir dalam taklimat tersebut ialah wakil dari Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), wakil Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK), wakil Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

Terima kasih tidak terhingga buat sahabat saya En. Saipuddin (Penyelia Sekolah Rendah) dan En. Hashim (Guru Besar SK Betau) serta semua guru-guru dan kakitangan SK Betau kerana telah bertungkus lumus memastikan majlis taklimat tersebut berjalan lancar.

No comments: