Pages

Thursday, January 10

Perutusan Tahun 2013 KPM

Hari ini, saya bersama Tuan Haji Misnan menghadiri Majlis Perutusan Tahun 2013 Kementerian Pelajaran Malaysia yang diadakan di Dewan Plenari (PICC) Putrajaya. Atur cara bermula seawal jam 7.45 pagi. Oleh itu, kami terpaksa bertolak dari Kuala Lipis pada pukul 4.00 pagi. Singgah sebentar di RNR Gombak untuk solat subuh dan sarapan. Kami sampai di PICC pada pukul 7.15 pagi dan merupakan orang yang terawal memasuki Dewan Plenari.

Perutusan Tahun 2013 KPM disampaikan oleh YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran. Turut hadir ialah Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran 1, YB Dr. Haji Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran 2, Dato' Dr. Rosli bin Mohamed, Ketua Setiausaha KPM dan YBhg Tan Sri Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Majlis perutusan tahun ini mendapat sambutan luar biasa. Tempat duduk tidak mencukupi bagi tetamu yang hadir. Bagi yang datang lewat, mereka terpaksa ditempatkan di dewan lain dan hanya mengikuti perutusan TPM melalui tayangan litar tertutup sahaja.

Selesai program di PICC kami terus ke IPGM Kampus Pendidikan Teknik Cheras untuk identify peralatan-peralatan yang boleh digunakan bagi pengajaran subjek PAV (Pendidikan Asas Vokasional). IPGM ini akan berpindah ke lokasi baru di Bandar Enstek, Nilai. Lokasi sekarang akan diserahkan kepada HUKM. Oleh itu, semua peralatan yang ada akan diagih-agihkan kepada sekolah -sekolah yang memerlukannya. Kami bercadang untuk mengambil peralatan-peralatan yang berkaitan dengan penyediaan makanan dan menservis motosikal. Ini kerana hanya dua bidang ini sahaja yang ditawarkan di Sekolah Model Khas Komprehensif K9 SK Betau. Turut membantu mengenalpasti peralatan-peralatan tersebut ialah Puan Raudah Majid dari Bahagian Perkembangan Kurikulum dan tiga orang guru dari SK Betau iaitu En. Hamdan, En. Shukran dan En. Padli. Mereka bertiga sebelum itu telah pergi ke BPK untuk mendengar taklimat berkaitan subjek PAV.

Teman respect betul kat Tuan PPD. Beliau begitu bersemangat untuk memastikan projek K9 di SK Betau ini betul-betul berjaya. Bagi guru-guru di SK Betau dan yang bakal dibawa ke sana, harap-harap anda semua menjadikan kesungguhan Tuan PPD ini sebagai peningkat semangat agar tidak merasa kecewa dan mudah berputus asa dalam menghadapi cabaran mendidik anak-anak Orang Asli ini. Ingat...mereka juga berhak mendapat pendidikan terbaik daripada kita.

Rambang juga mata melihat banyak sangat barang nie. Harap-harap dapatlah digunakan oleh cikgu-cikgu di SK Betau nanti.

Pagi semalam saya menghadiri mesyuarat MPSM kali pertama 2013 yang diadakan di Lipis Centrepoint Hotel. Mesyuarat ini bertujuan membincangkan beberapa isu semasa dan melantik Jawatankuasa baharu kerana YDP MPSM Lipis, En. Haidzir bin Hussin telah ditukarkan ke SM Sultan Alam Shah. Cadangan En. Hamid, Pengetua SMK Merapoh agar Tuan Haji Syed Mohamad bin Syed Agil dilantik sebagai YDP yang baharu diterima sebulat suara.

Selain bermesyuarat, perjumpaan ini juga diadakan bagi meraikan pertukaran En. Haidzir bin Hussin, Pengetua SMK Clifford, Tuan Haji Harun bin Dali, Pengetua SMV SHAS Kuala Lipis (bertukar ke Perlis) dan pertukaran En. Hamdan bin Harun, Timbalan PPD Lipis yang dilantik sebagai Pengetua di SMK Kuala Tembeling. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada Hajah Rosidah Kamaluddin, Pengetua SMK Orang Kaya Haji yang dilantik sebagai Pengetua SMK Clifford dan Cik Normadiah, GPK 1 SMK Tersang yang dilantik sebagai Pengetua di SMK Panglima Garang Abdul Samad. Emm...selamat bertugas untuk semua orang. Semoga 2013 menjanjikan sesuatu yang bermakna buat kita semua.

Pada 3 Januari yang lalu, Kelab Staf PPD telah mengadakan majlis ringkas bagi meraikan harijadi pegawai dan staf yang dilahirkan pada bulan Januari. Kepada Tuan Haji Misnan, Hussaini, Bullah, Firdaus, Abang Ya dan Ina, selamat harijadi, semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.

“Barangsiapa senang untuk dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya serta dihindarkan daripada kematian yang buruk, maka hendaklah ia bertaqwa kepada Allah SWT dan menyambung silaturrahim.” 
(Hadis riwayat at-Tabrani)

No comments: