Hi Tea "Seribu Kenangan Menggamit Memori" sempena majlis perpisahan Tuan Haji Hamdan bin Harun, mantan Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Lipis. Tahniah kepada Tuan Haji Hamdan kerana telah dilantik sebagai Pengetua SMK Kuala Tembeling. Semoga ilmu dan pengalaman yang ditimba selama 9 tahun bertugas di PPD Lipis menjadi panduan dalam melaksanakan tugas sebagai pentadbir sekolah.
"Kehadiran kita di sesuatu tempat, kalau tidak dapat menyenangkan jangan sampai menyusahkan orang". Kata-kata Tuan Haji Hamdan ini perlu kita semua renungkan. Muhasabahlah diri masing-masing. Apakah selama ini kita hanya sibuk mempertikaikan kerja orang lain. Setiap apa yang dilakukan oleh orang lain ada sahaja yang tidak kena di mata kita. Sedarkah kita bahawa perbuatan kita itu melunturkan semangat rakan-rakan dalam organisasi. Bagaimana dengan kerja kita pula? Apakah kita telah melaksanakan tugas kita dengan baik, hingga tiada cacat celanya? Sebagai ahli dalam sesebuah organisasi, kita sepatutnya membantu rakan-rakan dengan ikhlas dan penuh rasa tanggungjawab. Hulurlah tangan saat rakan kita rebah agar dia mampu untuk bangun kembali.
Sesuatu yang baik pada pandangan orang lain, barangkali tidak baik pada kita. Begitulah juga yang baik pada kita belum tentu baik pada pandangan orang lain. Itulah adat dunia, semuanya tentang persepsi. Kisah sekumpulan orang buta pergi melihat gajah adalah contoh terbaik untuk kita fikirkan. Bagi yang memegang ekor, mengatakan gajah itu kecil sahaja. Manakala yang memegang perut, mengatakan gajah itu besar macam dinding dan yang memegang kaki pula mengatakan gajah seumpama tiang. Apa sahaja keputusan atau tindakan yang dilakukan oleh rakan-rakan kita berdasarkan persepsi mereka dan kita tentulah tidak boleh mengatakan keputusan itu salah. Dan jika kita pula dipertanggungjawabkan untuk membuat keputusan atau tindakan berkaitan tugas tersebut, mampukah kita membuatnya dengan baik dan diterima oleh semua orang? Percayalah...making a decision is not easy.
Untuk menjayakan sesebuah organisasi, setiap pendukungnya haruslah bersatu hati dan bergerak ke arah yang sama. Jarum jam tidak pernah berhenti untuk memberi kita ruang mempertikaikan itu dan ini. Apa-apa keputusan yang telah dibuat oleh organisasi, terimalah dengan hati terbuka. Janganlah kerana keputusan itu tidak selari dengan kehendak kita, maka kita mengambil sikap tidak mahu terlibat. Insyaallah...akan tiba masanya nanti, kita pula diberi peluang membuat keputusan dan merencana tindakan. Jika kita mahu orang memahami dan menerima keputusan kita nanti, maka eloklah belajar dari sekarang untuk memahami dan menerima keputusan orang lain. Prinsip asas dalam berorganisasi ialah memberi kerjasama dan kegagalan menginterpretasikan prinsip ini akan memberi impak negatif terhadap masa depan sesebuah organisasi.
Kepada Tuan Haji Hamdan, never say goodbye. Semoga ruang untuk tuan kembali bertugas di daerah Lipis akan terbuka jua nanti. Kepakaran dan pengalaman tuan amat diperlukan bagi menguatkan barisan kepimpinan pendidikan daerah Lipis. Bila saat itu tiba nanti...kami akan menyambut tuan dengan penuh rasa kesyukuran.
No comments:
Post a Comment