Pages

Tuesday, January 15

Keranamu...K9 Betau

"Momentum harus dipacu agar setiap yang terlibat perlu bergegas melaksanakan peranan masing-masing. Tiada lagi masa untuk bertanya tentang punca kuasa atau kesediaan diri. Nasib pribumi ini semakin jelas berada di tangan kita. Wahai warga SK Betau, kerahlah seluruh khudrat anda semua, bergerak sederap bagi memaknakan kehadiran. Walaupun kita bermula lewat, namun harapannya kita akan berada di hadapan"

Hari ini, saya membawa enam orang pekerja yang diambil dari beberapa buah sekolah di Lipis ke IPGM Kampus Pendidikan Teknik Cheras untuk memindahkan peralatan-peralatan PAV ke Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) SK Betau. Bertolak dari PPD Lipis jam 8.00 pagi, kami sampai di Cheras sekitar jam 11.30 pagi. Proses memunggah peralatan-peralatan tersebut mengambil masa hampir tiga jam. Pukul 2.30 petang lori-lori yang sarat dengan muatan bertolak ke SK Betau. Saya telah menghubungi Guru Besar SK Betau agar menyediakan beberapa orang pekerja untuk menurunkan peralatan-peralatan tersebut apabila lori-lori itu sampai di Betau nanti.


Terima kasih buat En. Mokhtar (SK Clifford), En. Rohaizad (SMK Clifford), En. Hashim (SJKC Penjom), En. Ali (SJKC Penjom), En. Amiruddin (SJKC Penjom), En. Suliman ( SMK Chung Hwa) dan En. Azman (Pemandu PPD) di atas pertolongan memunggah barang-barang ke dalam lori. Sumbangan anda semua pasti tercatat dalam sejarah penubuhan K9 di SK Betau ini.


Terharu benor teman nengok penolong-penolong sukarela nie bekerja. Tiada yang mengeluh, malah tanpa sebarang arahan mereka melaksanakan peranan masing-masing. Ada yang mengemas, ada yang mengangkat...emm thank you very much. Harapkan teman, tak tau la...pinggang dah tak berape molek. 

Dua buah lori digunakan dalam proses pemindahan ini. Terima kasih kepada JPN Pahang kerana sudi membantu menyediakan sebuah lori walaupun permohonan dibuat ‘last minute’


Penubuhan K9 di Betau yang dilakukan dalam tengka masa yang singkat benar-benar menguji kekuatan dan kesabaran kita. Sepanjang sebulan ini, fokus kita terdorong ke arah itu demi memastikan projek yang diwar-warkan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika melancarkan Program Transformasi Pendidikan Orang Asli di SK Betau pada Jun 2012 yang lalu direalisasikan dengan jayanya. Oleh itu, momentum harus dipacu agar setiap yang terlibat perlu bergegas melaksanakan peranan masing-masing. Tiada lagi masa untuk bertanya tentang punca kuasa atau kesediaan diri. Nasib pribumi ini semakin jelas berada di tangan kita. Wahai warga SK Betau, kerahlah seluruh khudrat anda semua, bergerak sederap bagi memaknakan kehadiran. Walaupun kita bermula lewat, namun harapannya kita akan berada di hadapan.

No comments: