Pages

Friday, January 25

Usaha kita...

"Sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain" -Al Hadith

Petang tadi, saya bersama Tuan PPD menghadiri Mesyuarat Keciciran Murid-Murid Orang Asli di SK Limau Purut. Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah En. Mohd Fadhil bin Abdul Rafar, Pengetua SMK Kerambit dan En. Ahmad Azman bin Johari, Guru Besar SK Limau Purut. Mesyuarat yang diadakan pada jam 3.30 petang itu khusus membicarakan masalah keciciran murid-murid Orang Asli SK Limau Purut yang tidak meneruskan pengajian ke Tingkatan 1 di SMK Kerambit. Tahun ini sahaja seramai 8 orang murid Tahun 6 SK Limau Purut yang membuat pengesahan untuk bersekolah di SMK Kerambit tidak hadir untuk melapor diri. Ke mana mereka pergi? Menurut wakil Orang Asli yang hadir, 3 daripadanya telah ke Kuala Lumpur untuk bersekolah di sana, manakala 5 lagi tidak bersekolah dan hanya 'main-main' kat rumah. Emm...kalau dah sedap bermain tu, payah pula nak ajak ke sekolah ni.

Wakil Orang Asli yang hadir, En. Jalil bin Badrillah (Batin), En. Mahmud bin Nazri dan En. Salehudin bin Rahman. Antara isu yang diketengahkan oleh mereka ialah masalah pengangkutan. Murid-murid tidak dapat ke sekolah kerana tiada pengangkutan untuk ke SMK Kerambit yang jaraknya sekitar 14 km dari Limau Purut. Kemudahan pengangkutan yang disediakan oleh JAKOA setakat ini hanya dari kampung Temetong ke SK Limau Purut sahaja. Van yang disediakan itu pun sempit dan sudah agak uzur.

Tuan PPD berjanji akan cuba berbincang dengan Pengarah JAKOA Negeri Pahang untuk menyediakan van bagi membolehkan pelajar-pelajar ini bersekolah. Diharapkan dengan usaha-usaha yang bakal diambil ini, nasib pelajar-pelajar Orang Asli ini akan terpelihara.

Ini adalah kenderaan pacuan 4 roda yang membawa murid-murid Orang Asli ke SK Senderut. Mungkin kenderaan seperti ini jugalah yang diperlukan oleh pelajar-pelajar Orang Asli kampung Temetong untuk ke SMK Kerambit.

Kepada saudara Ahmad Azman Johari, Guru Besar baharu SK Limau Purut, semoga tuan dapat melangsungkan kerja baik yang telah dirintis oleh Puan Zaini Taibi terutamanya dalam menjalin hubungan akrab dengan masyarakat sekitar. Harapan kami, tuan dan guru-guru dapat memainkan peranan sebagai agen perubahan dengan menjadikan pendidikan sebagai medium ke arah menaiktaraf kehidupan dan pembangunan intelek masyarakat Orang Asli di sekitar Limau Purut.

Kepada Puan Zaini binti Taibi, kami di PPD Lipis ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada puan kerana berjaya membawa perubahan kepada SK Limau Purut. Walaupun usia perkhidmatan puan di situ agak singkat, namun beberapa kejayaan telah dicapai. Penganjuran pertandingan memasak sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang 2012 telah memperlihatkan komitmen dan hubungan baik puan dengan guru-guru SK Limau Purut. Program gotong-royong bersama masyarakat telah berjaya merapatkan hubungan pihak sekolah dan ibu bapa. Ternyata bahawa puan telah berjaya memenangi hati masyarakat sekitar. Kami juga difahamkan puan telah turun padang ke kampung-kampung untuk mengatasi masalah keciciran yang berlaku terutama dalam kalangan murid-murid Orang Asli. Semoga semangat ini akan dapat diteruskan di SK Batu 9 yang juga mengharapkan sentuhan ajaib puan.

No comments: