Pages

Wednesday, October 20

Bagaimana Kita Memahaminya...


Semalam (20 Oktober), Unit Pengurusan Sekolah PPD Lipis telah mengadakan taklimat kemasukan ke Sekolah Rancangan Khas (SRK), Sekolah Indera Shahbandar Pahang (SISP) dan Tingkatan Satu sekolah-sekolah menengah daerah Lipis. Saya terlibat dalam taklimat ini kerana difahamkan dalam penstrukturan PPD Lipis yang akan datang, saya akan diberi tugas baru iaitu menguruskan pelajar sekolah menengah. Walau bagaimanapun saya akan terus melaksanakan tugas-tugas sebelum ini iaitu pengambilan guru ganti dan guru sandaran tidak terlatih. Apa yang hendak saya tulis di sini bukanlah berkaitan dengan perubahan tugas saya itu tetapi tentang peristiwa yang berlaku semasa taklimat semalam.

En. Rahmin bin Mahasan (Ketua Unit Pengurusan Sekolah) dalam taklimatnya telah memperkenalkan beberapa pendekatan baru dalam proses kemasukan pelajar ke tingkatan satu. Antara perubahan baru tersebut ialah penyediaan Surat Aku Janji dan Surat Penempatan. Surat Aku Janji itu bermaksud, apabila persetujuan telah dicapai antara pihak sekolah dan penjaga murid tentang sekolah menengah yang akan dimasuki oleh anak mereka, tiada lagi perubahan yang akan dibuat menjelang kemasukan ke tingkatan satu. Ini bagi mengelak setiap kali sesi persekolahan bermula, ibu bapa akan menyerbu ke PPD untuk menukar anak-anak ke sekolah yang lain. Pertukaran-pertukaran saat akhir ini sudah tentulah akan menjejaskan ABM Perjawatan yang telah kita buat bagi sekolah-sekolah menengah terbabit. Akan ada nanti sekolah menengah yang terpaksa tutup kelas dan guru-guru terpaksa dipindahkan. Bagi sekolah yang menjadi pilihan seperti SMK Orang Kaya Haji dan SMK Setiawangsa, masalah untuk membuka kelas pula ialah kekurangan bilik darjah. Atas sebab itulah, kita memerlukan persetujuan dan 'janji' penjaga untuk tidak memohon pertukaran anak-anak mereka.

Namun persoalan yang ditimbulkan semalam oleh Tuan Haji Molok bin Derani, Guru Besar SK Kerambit bukan tentang rasional penyediaan Surat Aku Janji tersebut, tetapi di mana surat tersebut patut disimpan. En. Rahmin dalam taklimat beliau mahu surat itu disimpan di sekolah rendah. Sedangkan pada pendapat Haji Molok, surat tersebut sepatutnya disimpan di PPD. Ini kerana selepas seseorang pelajar itu melangkah kaki ke sekolah menengah maka terputuslah hubungan mereka dengan sekolah rendah. Proses pertukaran mereka akan dilakukan di Pejabat Pelajaran. Oleh itu, adalah lebih tepat jika surat aku janji itu disimpan di PPD. Dari segi logik, betullah pendapat Tuan Haji Molok ini tetapi pendapat En. Rahmin lebih menarik lagi. Apabila Senarai Bersatu penempatan murid tahun 6 ke tingkatan 1 sekolah menengah daerah Lipis sampai ke PPD Lipis pada 29 Oktober 2010 (seperti yang ditetapkan), itu adalah senarai muktamad yang telah dipersetujui antara pihak sekolah dengan penjaga murid. Sampainya senarai bersatu itu di PPD bermaksud semua proses pujuk rayu, timbang tara dan tolak ansur telah berlaku dan diakhiri dengan menandatangani Surat Aku Janji. Kalau kerbau dipegang pada talinya, maka manusia dipegang pada janjinya. Maka, sepatutnya tidak akan ada seorang pun penjaga murid yang datang ke PPD untuk menukarkan anak-anak mereka. Fenomena ibu bapa menyerbu PPD setiap kali sesi persekolahan bermula sepatutnya tidak berlaku lagi. Saya harap pihak sekolah boleh memahami penjelasan kami ini.

Tuesday, October 19

Taklimat Orientasi Guru Baru KPLI

Bermula dari 18 hingga 20 Oktober 2010 baru-baru ini, telah berlangsung Taklimat Orientasi Guru Sekolah Rendah Bagi Kursus Lepasan Ijazah dan Pelbagai IPTA Jabatan Pelajaran Pahang. Taklimat yang dihadiri hampir 180 orang peserta ini telah diadakan di Hotel Lipis Centrepoint. Taklimat yang mencakupi pelbagai bidang ini bertujuan memberi pemahaman kepada guru-guru baru ini terhadap perkara-perkara yang akan mereka depani apabila memulakan tugas sebagai guru nanti. Semoga cakap-cakap sebelum ini terhadap prestasi hambar guru-guru lepasan KPLI ini dapat diperbetulkan malah mereka akan muncul sebagai tenaga pengajar yang baik dengan latar ilmu dan kelulusan tinggi mereka. Masyarakat hari ini, menaruh harapan tinggi kepada para guru bagi memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak mereka. Harapan ini selaras dengan Piagam Pelanggan Jabatan Pelajaran Pahang iaitu 'Mewujudkan perkhidmatan bermutu yang cekap dan sesuai dengan kehendak dan keperluan serta jangkaan pelanggan'

Para peserta yang terdiri daripada guru-guru KPLI dan pelbagai IPTA yang lain.

En. Hamdan Harun, Timbalan PPD Lipis bersama En. Halimi Ghazali, Penolong Pengarah, Unit Perhubungan dan Pendaftaran.

Sebahagian Penyelia Kanan Sekolah Rendah yang turut hadir sebagai urus setia.

En. Yahya bin Zainal Abidin, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Pahang menyampaikan ucapan perasmian penutup.

Sunday, October 17

Woodball di SK Pagar Sasak

Salam untuk semua,


kunjungilah laman blog SK Pagar Sasak

Semalam (17 Oktober) Kelab Staf PPD Lipis mengadakan perlawanan woodball persahabatan dengan SK Pagar Sasak. Pertandingan ini merupakan sebahagian daripada Program Gaya Hidup Sihat yang dirancang bagi mempertingkatkan tahap kecergasan staf PPD Lipis. Selain itu, program ini juga diharapkan dapat mempereratkan hubungan dalam kalangan staf dan guru-guru SK Pagar Sasak. Pihak PPD Lipis ingin merakamkan jutaan terima kasih ke pada En. Ishak bin Mohamad, Guru Besar SK Pagar Sasak di atas usaha beliau dalam menyediakan padang perlawanan yang baik, baju T, hadiah-hadiah untuk para pemenang dan sarapan pagi serta makan tengah hari. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru, penduduk kampung serta murid-murid SK Pagar Sasak di atas kerjasama bagi menjayakan perlawanan persahabatan ini. Semoga perlawanan persahabatan seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa-masa akan datang.
Tuan PPD, Haji Basirun sedang membuat pukulan dengan diperhatikan oleh En. Ishak Mohamad, Guru Besar SK Pagar Sasak. (Tok Empat yang belakang tu, telah membuat pukulan 'gate in one' dan mendapat hadiah 2 kampit beras 10 kg)
Si Topi Baretta (Zainal Kamarudin) suara je kuat, macam la dia buat 'gate in one'. Tengok Abang Long (Ibrahim Aziz) steady je main, gaya pro..tapi bola banyak gak yang 'obi'
Duk mesyuarat apa lagi ni...pukul je la bola tu.

Penat betul gayanya peserta-peserta wanita kita ni...tapi main satu round je (12 gate). Kalau abang Bidin dengan Azizan tu, ya la...dia orang main dua round (24 gate)

Abang Bul kita berpeluh sakan. Ini baru dikatakan 'bermandi peluh'
Sabor ye...semua orang akan dapat hadiah. Tak dapat minyak masak, dapat air oren pun jadi la.
Urusetia sedang sibuk mengira markah

Tuan PPD menyampaikan ucapan penghargaan kepada tuan rumah di atas segala sumbangan yang diberikan bagi menjayakan pertandingan persahabatan ini.
Yang bestnya main woodball kali ni, semua orang dapat hadiah. Saya dapat hadiah minyak masak sebotol. Dua minggu la tak payah beli minyak. (Camne abang Li Nabor boleh dapat minyak besor ni, dia main satu round je..ngelat tul la)
Bagus punya pulun nampak, mentang-mentang la ada ulam keladan dengan 'paih' tempoyak ikan patin. Tak tercapai la objektif kita...ingat nak turunkan berat badan, menambahkan berat badan lagi..ada la.

Wednesday, October 13

Majlis Meraikan Persaraan & Pertukaran Pengetua Lipis

Semalam (13 Oktober, 3.30 petang) saya menghadiri majlis meraikan persaraan dan pertukaran pengetua-pengetua daerah Lipis yang dianjurkan oleh Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Daerah Lipis. Majlis ini diadakan bagi meraikan persaraan Datin Hajah Ragayah binti Haji Omar, Pengetua SMK Clifford yang bersara wajib pada 9 Oktober 2010. Selain itu, majlis ini juga diadakan bagi meraikan pertukaran 3 orang pengetua, iaitu En. Halim bin Salleh (Pengetua SMK Sungai Koyan yang bertukar menjadi Timbalan PPD Raub), Puan Rahana binti Abdul Malik (Pengetua SMK Setiawangsa yang bertukar menjadi Pengetua SMK Sungai Retang Jerantut) dan Encik Haidzir bin Hussin (Pengetua SM Teknik Kuala Lipis yang bertukar menjadi Pengetua SMV Setapak Kuala Lumpur). Majlis yang diadakan di Hezbolah Food, Rumah Rehat Bukit Residen ini turut dihadiri oleh Tuan Haji Basirun bin Abdullah Hasim, Pegawai Pelajaran Daerah Lipis.

Sebahagian pengetua yang hadir

Tuan Haji Syed Mohamad bin Syed Agil, Pengetua baru SMK Kerambit menggantikan En. Zainal Abidin bin Che Omar yang bertukar menjadi Pengetua SMK Setiawangsa. (Tuan Hj. Syed Mohamad sebelum ini ialah Timbalan PPD Raub)

Pelapis (Guru-Guru Penolong Kanan)

Boleh tahan juga la 'chicken chop' kat Hezbolah Food, Rumah Rehat Bukit Residen ni. Kalau nak buat tempahan boleh la contax En. Ismail (016-3927979)

Monday, October 11

Insya Allah you’ll find your way

Everytime you feel like you cannot go on
You feel so lost
That your so alone
All you is see is night
And darkness all around
You feel so helpless
You can’t see which way to go
Don’t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side

Insha Allah
Insya Allah you’ll find your way

Everytime you commit one more mistake
You feel you can’t repent
And that its way too late
Your’re so confused, wrong decisions you have made
Haunt your mind and your heart is full of shame

Don’t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
Insha Allah
Insya Allah you’ll find your way
Insha Allah
Insya Allah you’ll find your way

Turn to Allah
He’s never far away
Put your trust in Him
Raise your hands and pray
OOO Ya Allah
Guide my steps don’t let me go astray
You’re the only one that showed me the way,
Showed me the way
Insha Allah
Insya Allah we’ll find the way

Lagu : Maher Zain - Insya Allah

Sunday, October 10

'Angka Tidak Akan Berbohong'

'Angka tidak akan berbohong', itulah ungkapan yang diucapkan oleh YB Dato' Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Pahang semasa menyampaikan ucapan penutupan Kursus Bina Negara guru-guru sekolah asli daerah Lipis. Kursus yang berlangsung dari 8 hingga 10 Oktober 2010 itu diadakan di Kem Bina Semangat Kuala Lipis. Kursus tersebut dihadiri oleh 70 orang guru dari 6 buah sekolah asli di daerah Lipis iaitu SK Senderut, SK Betau, SK Lanai, SK Lenjang, SK Titom dan SK Kuala Koyan. Turut hadir menyertai kursus tersebut ialah Guru Besar dan Guru Penolong Kanan sekolah-sekolah terbabit. Kursus yang ditaja oleh pihak BTN ini bermatlamat untuk mempertingkatkan jati diri serta semangat cintakan negara dalam kalangan guru-guru. Walaupun terpaksa bertugas jauh di pedalaman dengan pelbagai kesukaran dan dugaan, mereka diharapkan tidak mudah kalah dan hilang fokus. ' Tugas dan tanggungjawab sebagai guru hendaklah dilaksanakan, walaupun terpaksa mendepani pelbagai halangan kerana kita telah memilih untuk menjadi guru dan telah ditentukan bahawa rezeki kita di situ', kata Tuan Haji Basirun (PPD Lipis) dalam ucapan beliau.
Dato' Haji Wan Rosdy dalam ucapan beliau menekankan tentang peningkatan kualiti. Bagi beliau, angka akan membuktikan sama ada seseorang itu telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan sebaik mungkin. Jika keputusan peperiksaan meningkat dari setahun ke setahun, itu membuktikan bahawa guru-guru di sesuatu sekolah itu telah berusaha bersungguh-sungguh melaksankan tugas mereka. Sebaliknya, jika keputusan peperiksaan sesebuah sekolah itu tidak berubah atau semakin jatuh, maka secara tidak langsungnya ia menggambarkan bahawa guru-guru tidak cukup berusaha untuk memastikan anak-anak muridnya mencapai keputusan yang lebih baik pada setiap tahun. Untuk mengetahui kemajuan atau kemunduran sesebuah sekolah, kita tidak perlu bertanya sesiapa, cukuplah dengan meneliti analisis keputusan peperiksaannya. Ini demikian kerana, 'angka tidak akan berbohong' (cuma kadang-kadang, orang yang berbohong tentang angka).
Majlis penyampaian sijil penyertaan dan cenderahati

Sebahagian Pegawai PPD Lipis yang turut hadir dalam majlis penutup kursus tersebut. Abang Long ( Ibrahim Aziz ) khusyuk betul gayanya.

Menikmati jamuan di kantin. Makan kat sini, pinggan mangkuk kena basuh sendiri la...Nasib baik Dato' dah biasa dengan kursus kat BTN ni, dia tak kekok langsung.

Menunggu ketibaan YB Dato' Haji Wan Rosdy.
Tuan Haji Basirun, PPD Lipis buat 'surprise' , kata tak dapat hadir, tiba-tiba muncul je...

Wednesday, October 6

Beraya di SK Kuala Kenong

Semalam (6 Oktober) saya menemani PPD, Tuan Haji Basirun ke Majlis Sambutan Hari Raya SK Kuala Kenong. Seronok juga bertemu dan beramah mesra dengan guru-guru serta ibu bapa di sekolah tersebut. Mereka agak terkejut dan teruja apabila PPD sendiri yang hadir pada majlis tersebut. SK Kuala Kenong merupakan sekolah kategori SKM (muridnya cuma 15 orang sahaja). Kedudukan sekolah tersebut di perkampungan tradisional menyebabkan jumlah muridnya semakin berkurang. Jika keadaan ini berterusan, besar kemungkinan sekolah ini terpaksa ditutup suatu hari nanti.

Banyak juga menu orang Kuala Kenong ni...

Sebahagian penduduk Kuala Kenong yang hadir

Monday, October 4

SK Titom

Tahniah kepada Encik Ramli bin Mokhtar, Penyelia Sukan PPD Lipis kerana telah dilantik sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan Titom mulai 1 September 2010. Beliau menggantikan Encik Roslan bin Abd Rahim yang bertukar ke Sekolah Kebangsaan Gintong, Jerantut. Semoga dengan segala pengalaman yang ditimba semasa bertugas sebagai Penyelia Sukan di Pejabat Pelajaran Daerah Lipis, Encik Ramli dapat membangunkan SK Titom ke tahap yang boleh dibanggakan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa, bertugas di sekolah pedalaman mempunyai cabaran dan dugaan yang sangat besar. Perjalanan untuk sampai ke sekolah tersebut pun sudah menjerihkan apatah lagi terpaksa mengajar murid-murid asli yang berbeza bahasa komunikasinya. Untuk berjaya di sekolah-sekolah seperti ini, kita bukan sahaja perlu ada iltizam yang tinggi malah daya tahan diri yang kuat. Harapan kita, Encik Ramli adalah calon terbaik untuk membawa perubahan kepada sekolah tersebut.

Pada tahun 2008 saya ke SK Titom dengan menaiki helikopter untuk majlis penyerahan kunci asrama sekolah tersebut. Perjalanan dari bandar Kuala Lipis ke SK Titom cuma 45 minit sahaja.

Pada tahun 2009 saya bersama rombongan Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Fuad Zakarshi ke SK Titom dengan menaiki kenderaan pacuan 4 roda. Kalau dengan heli cuma 45 minit, naik kenderaan darat ni, mahu 3 jam baru sampai. Duduk kat belakang memang teruk la..mana nak balance body lagi, nak mengelak dahan pokok la. Bila sampai rambut dah bertukar jadi 'brownish' dan rasa macam nak patah pinggang. Harap-harap abang Ramli kita boleh tahan semua ni.

Rezeki lagi...

Selagi tak habis bulan Syahwal, memang jenuhlah kita menikmati juadah-juadah seperti lemang, nasi impit, sate dan macam-macam lagi. Banyak pihak termasuk jabatan-jabatan dan individu-individu tertentu mengadakan rumah terbuka. Tidak ketinggalan, Pejabat Pelajaran Daerah Lipis juga mengadakan rumah terbuka pada 1 Oktober 2010 yang lalu. Majlis yang diberi nama Sambutan Hari Raya Aidil Fitri Warga Pelajaran Daerah Lipis itu dikelolakan oleh Kelab Staf PPD dan beberapa buah sekolah. Seperti tahun-tahun yang lalu, juadah-juadah untuk disajikan kepada para tetamu disumbangkan oleh sekolah-sekolah menengah di daerah Lipis.

Tetamu VIP yang hadir, Dato' Abu Jamal (Pegawai Daerah Lipis), Dato' Abdul Rahman bin Mohamad (ADUN Padang Tengku) dan beberapa orang wakil jabatan.

Pengetua SMK Kerambit, Tuan Haji Syed Mohamad, Pengetua SMK Padang Tengku, Pn. Rozita dan Pengetua SMK Orang Kaya Haji, Hajah Rosidah bersama beberapa orang tetamu sedang menikmati juadah yang disediakan

En. Hussaini Hj. Ibrahim (Setiausaha Kelab Staf) merupakan orang kuat yang berusaha memastikan sambutan hari raya tahun ini berjalan dengan lancar. Bagi pihak AJK Kelab staf, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada beliau.

Di kesempatan ini, saya selaku Pengerusi Kelab Staf PPD Lipis, ingin merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sumbangan dalam bentuk kuih-muih, peralatan dan tenaga serta wang ringgit dalam menjayakan majlis ini. Semoga budi baik tuan / puan hanya Allah SWT sahaja membalasnya.


Sunday, October 3

Kursus oh kursus & indahnya tasik Kenyir

Dari 27 hingga 30 September 2010, saya dan En. Zainal Kamarudin (Penyelia Pembangunan PPD Lipis) telah menghadiri Kursus Perundangan Tanah Zon Timur di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu, Marang. Kursus selama 4 hari ini memberi fokus kepada langkah-langkah pengambilan balik tanah dan penjagaan tanah-tanah yang dimiliki oleh PTP (Pesuruhjaya Tanah Persekutuan). Kursus ini amat bermakna kepada saya sebagai Pegawai Aset. Saya berharap kursus-kursus sebegini akan diadakan dari masa ke semasa.

Dalam perjalanan ke Marang (menggunakan jalan Felda Aring - Kuala Berang) kami singgah di Pengkalan Gawi, tasik Kenyir untuk makan tengah hari. Banyak juga kedai-kedai makan di sini. Jalan Felda Aring agak teruk kerana berlubang-lubang akibat lori-lori balak dan bijih besi yang terlebih muatan. Namun jalan baru dalam proses pembinaan. Semoga dengan siapnya jalan baru itu nanti perjalanan dari Kuala Lipis ke Terengganu akan lebih cepat.
Rumah bot yang terdapat di Tasik Kenyir. Bot-bot ini boleh disewa untuk memancing di sekitar tasik. Untuk mengetahui kadar sewaannya bolehlah bertanya saudara Kamarul (019-9846012). Kalau nak ringankan kos, bolehlah berkongsi sehingga maksima 15 orang.
Kaunter tiket bot di Pengkalan Gawi, tasik Kenyir. Kepada yang berminat untuk memancing bolehlah datang ke sini. Katanya tasik ni banyak ikan kelah.

Bergambar di Jeti Marang. Jeti ini digunakan untuk ke Pulau Kapas. Tambang pergi balik ke Pulau Kapas RM30.00 untuk bot perlahan dan RM40.00 untuk bot laju. Sesiapa yang nak tempah bot dan chalet di Pulau Kapas bolehlah berhubung dengan saudara Man di no. telefon 019-9221859

Jamuan Raya Kelab Staf PPD Lipis

Pada malam 25 September 2010 (Sabtu), jamuan raya Kelab Staf PPD Lipis telah diadakan di Pusat Kokurikulum Kampung Lalang, Penjom. Kedudukan yang agak jauh dari jalan utama menyebabkan ramai ahli kelab tidak dapat hadir. Walau bagaimana pun kemeriahan tetap dirasai dengan riuh rendah anak-anak staf yang hadir. Menu special pada malam tersebut ialah kambing bakar, lemang dan nasi impit. Majlis ini tentu lebih menyeronokkan jika semua ahli dapat menghadirkan diri. Semoga pada masa-masa akan datang, kita akan mendapat komitmen yang lebih daripada semua ahli.