Pages

Sunday, January 23

Jamuan Persaraan & Pertukaran

Malam 21 Januari 2011 baru-baru ini, Kelab Staf PPD Lipis telah mengadakan jamuan sempena persaraan Tuan Haji Wan Rosli bin Wan Yaakub, mantan Penyelia Kanan Agama Islam PPD Lipis. Turut diraikan dalam majlis tersebut ialah Encik Ramli bin Mukhtar (Penyelia Sukan yang bertukar menjadi Guru Besar SK Titom), Puan Samsiah binti Ishak (Penyelia ICT yang bertukar menjadi Penyelia Pembangunan PPD Cameroon) dan Cik Solehah binti Anuar (staf praktikum). Majlis yang telah ditunda beberapa kali ini akhirnya berjaya juga diadakan. Memang sukar untuk mengumpul semua staf dalam satu majlis, terutamanya di awal tahun ini, di mana semua pegawai sibuk dengan urusan masing-masing. Terima kasih kepada Tuan PPD, Tuan Haji Basirun kerana dapat meluangkan masa walaupun dimaklumkan pada saat-saat akhir.
Jamuan persaraan dan pertukaran ini merupakan majlis terakhir yang dianjurkan oleh kami selaku AJK Kelab Staf sesi 2009/2010. Bagi pihak semua AJK saya ingin mengambil kesempatan ini merakam ribuan maaf jika terdapat kelemahan atau kekurangan semasa kami mengendalikan kelab ini. Selaku pengerusi, saya ingin juga merakamkan jutaan terima kasih kepada semua AJK yang lama di atas sumbangan tenaga dan masa bagi menjayakan program yang dianjurkan oleh kelab. Terima kasih teristimewa buat Encik Hussaini bin Haji Ibrahim yang telah memainkan peranan sebagai setiausaha yang cemerlang dan kepada Encik Rosli bin Nabor yang melaksanakan tugas sebagai bendahari dengan cekap. Kepada AJK 2011/2012 yang telah dipilih baru-baru ini, selamat bertugas dan semoga berjaya mengendalikan kelab kita ini dengan penuh komitmen.

Minta maaf Ustaz Wan, dah hampir 2 bulan bersara baru nak buat majlis.

Kepada Encik Ramli, semoga dapat membawa perubahan di SK Titom. Kepada Puan Samsiah, semoga seronok dengan suasana tempat bekerja yang baru (sejuk selalu) dan kepada adik Solehah, semoga cepat mendapat kerja (jangan duk tanam anggur saja...)

Nasib baik bukan Encik Hassan (baju biru) yang terpilih sebagai pengerusi, kalau tidak semua program tak jadi sebab seorang tak hadir majlis akan dibatalkan. (dua tahun lagi kita undi Encik Hassan lah pulak...)

Terima kasih kepada semua yang hadir

Semoga program yang dianjurkan oleh kelab akan sentiasa disokong oleh semua staf.

Tuesday, January 4

Sorry seems to be the hardest word


What have I got to do to make you love me
What have I got to do to make you care
What do I do when lightning strikes me
And I wake to find that you're not there
What do I do to make you want me
What have I got to do to be heard
What do I say when it's all over
And sorry seems to be the hardest word
It's sad, so sad
It's a sad, sad situation
And it's getting more and more absurd
It's sad, so sad
Why can't we talk it over
Oh it seems to me
That sorry seems to be the hardest word
What do I do to make you love me
What have I got to do to be heard
What do I do when lightning strikes me
What have I got to do
What have I got to do
When sorry seems to be the hardest word
_____________________
Muat turun lagu ini di ruangan 'Muat Turun Lagu (MP3)'

Cuti Bola

Ke mana anda pergi cuti bola baru-baru ni (Jumaat 31 Dis 2010)? Teruja jugalah bila kerajaan umumkan cuti pada hari Jumaat baru-baru ini sempena kejayaan pasukan bola sepak Malaysia menjuarai piala Suzuki AFF2010. Pada mulanya kami bercadang untuk balik kampung, namun memandangkan hari Ahad tu anak sulung saya terpaksa ke sekolah untuk membayar yuran dan membeli keperluan sekolah, maka kami membatalkan niat itu. Nak tak nak, kenalah cari tempat percutian yang berdekatan. Cameron Highland la yang paling dekat. Ikut jalan Betau - Ringlet tak sampai 2 jam pun. Walaupun dah hampir 4 kali ke Cameron rasa tak jemu, mungkin sebab cuaca yang sejuk kut.

Ladang teh Sungei Palas

Kat Strawbery Farm Sungei Palas. Jauh betul ladang strawbery ni...silap-silap boleh terlepas ke puncak gunung Brinchang

Memetik sendiri buah strawbery merupakan pengalaman yang menyeronokkan, terutama bagi anak-anak. (rupanya memetik sendiri lebih mahal daripada beli kat pasar malam)

Kia Farm wajib kena pergi bila datang ke Cameron. Bukan nak beli sayur pun, saja seronok tengok sayur-sayur segar.

Pasar malam Brinchang (dulu pasar malam ni hari Sabtu je, sekarang dah tiap-tiap hari lak)

Dah macam orang tua-tua pula anak bongsu saya ni, pekena teh tarik dengan roti canai. Sarapan pagi kat Restoran Sabar Menanti, Brinchang ( memang kena sabor le...orang ramai sangat)

Dalam perjalanan balik ke Lipis, singgah jap kat Tanah Rata.

Wednesday, December 29

Syabas Bola Sepak Malaysia

Syabas buat barisan muda negara yang berjaya membawa pulang piala Suzuki AFF 2010 setelah berjaya mengekang kemaraan Indonesia di stadium Gelora Bung Karno malam semalam. Walaupun tewas 2-1, namun secara agregetnya pasukan negara telah memenangi perlawanan tersebut. Kemenangan 3-0 di Stadium Bukit Jalil membolehkan pasukan kita memenangi secara agreget 4-2. Setelah menunggu hampir 14 tahun, sesungguhnya kemenangan ini amat bermakna bagi mengembalikan maruah bola sepak negara. Semoga zaman kegemilangan negara di era penyerang berbahaya Allahyarham Mokhtar Dahari akan berulang. Tahniah pasukan Harimau Malaya!

Tuesday, December 21

Muzium Tentera Darat Port Dickson

Dah tiga kali berkunjung ke PD, inilah pertama kali saya berpeluang melawat Muzium Tentera Darat di Kem Si Rusa, Port Dickson. Kagum juga saya dengan bahan-bahan yang dipamerkan di muzium ini. Secara umumnya, muzium ini dibahagikan kepada 4 bahagian iaitu Tugu Peringatan Tentera Darat, Pameran Luar (menempatkan laman meriam dan kenderaan tentera), Pameran Dalam (menempatkan bahan-bahan sejarah berkaitan tentera darat dari zaman Kesultanan Melaka hinggalah negara mencapai kemerdekaan) dan Terowong Komunis. Pada saya muzium ini sangat sesuai dikunjungi oleh semua rakyat Malaysia bagi mengenang jasa perajurit-perajurit tanahair yang telah berkorban demi negara tercinta. Muzium ini merupakan lokasi yang sepatutnya menjadi destinasi wajib kepada rombongan sambil belajar sekolah-sekolah yang berkunjung ke Port Dickson. Tugasan berbentuk kajian boleh diberikan kepada mereka agar lebih memahami sejarah kemerdekaan negara. Bagi yang berjiwa halus, hadir di perkarangan muzium ini menimbulkan satu macam semangat serta kepiluan dalam diri kita. Hadir dan rasailah sendiri...

Tugu Peringatan Tentera Darat. Kat sini tercatat nama-nama anggota tentera darat yang terkorban dalam mempertahankan negara.

Keretapi lama yang suatu ketika dahulu digunakan untuk membawa anggota tentera ke sesuatu destinasi.

Imran dan Ikhwan bergambar bersama replika pengesan periuk api

Dulu-dulu helikopter Allouette inilah yang sering buat bising di atas kepala kita.(kampung saya dulu berhampiran Pusat Latihan TUDM Kepala Batas, Kedah)

Pesawat pejuang Skyhawk yang suatu ketika dahulu gagah membelah angkasa dan menjadi kebanggaan negara.

Dua anak abah ni...bergambar di laman meriam

Medan Ikan Bakar di Port Dickson

Bila orang rumah bercadang pekena seafood semasa bercuti di PD baru-baru ni, saya mula explore internet mencari lokasi ikan bakar yang popular di sekitar Port Dickson. Nasib baiklah ada dua tiga orang bloger yang menulis berkaitan medan ikan bakar ini antaranya ialah Waghih yang menceritakan tentang medan ikan bakar di Kampung Telok, Pasir Panjang dan Ahmok yang menulis tentang medan ikan bakar Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson di Kampung Gelam. Saya sekeluarga memilih untuk ke medan ikan bakar Kampung Gelam kerana kedudukannya lebih dekat dan berhampiran bandar Port Dickson. Sebenarnya sepanjang pantai PD tu terdapat banyak restoran ikan bakar, cuma tak tahu yang mana sedap dan service ok je.

Lokasi Medan Ikan Bakar Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson

Makanan dan service kat sini boleh tahan juga la. Bolehlah nak bawa kawan-kawan atau saudara mara makan kat sini.

Ikan jenahak bakar sedap juga rasanya. Biasanya saya suka ikan siakap bakar, namun sesekali pekena ikan bukan favorite ok juga.

...kerangnya kecil sikit la. Mungkin luar musim kut?

Anak bongsu saya, Ruzaini Imran sangat suka udang goreng tepung. Dulu dia alergik dengan udang, bila makan je mula la muka naik bengkak-bengkak tetapi sekarang dah ok.

Orang rumah saya suka sangat dengan tomyam. Mana-mana pergi menu ni tak tinggal punya. Kat Batu 2, Kuala Lipis ada tomyam special iaitu 'Bahtera Karam' tapi kalau tak tahan pedas jangan la...

Monday, December 20

'Release Tension' di Port Dickson

Selama 2 tahun setengah bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah Lipis inilah masa yang paling sukar bagi saya. Tiga minggu terakhir sebelum sekolah dibuka bagi sesi persekolahan 2011 bermacam-macam dugaan yang terpaksa saya hadapi. Ini merupakan kali pertama saya menguruskan kemasukan murid ke Tingkatan satu dan Sekolah Rancangan Khas. Kedua-duanya mempunyai masalah tersendiri. Bagi penempatan murid ke Tingkatan 1, ramai penjaga yang datang untuk menukar anak mereka kerana tidak bersetuju dengan sekolah menengah yang ditawarkan. Apabila diberitahu bahawa pertukaran hanya akan dipertimbangkan setelah buka sekolah, sebilangan penjaga menjadi tidak sabar lalu mula mengeluarkan perkataan-perkataan yang kurang enak didengar. Masalah yang sama juga timbul dalam penempatan murid ke Sekolah Rancangan khas (SRK). Daripada hampir 300 orang yang memohon untuk ke SRK, hanya 20 orang sahaja memilih ke SMK Seri Lipis, selebihnya memohon untuk ke SMK Clifford. Ketidakseimbangan ini menyebabkan kita di PPD Lipis terpaksa mengagihkannya agar sama rata. Apabila penjaga menerima surat tawaran penempatan ke SRK, kekecohan mula timbul apabila anak mereka tidak ditempatkan disekolah yang dipohon. Maka ramailah yang menelefon dan ada yang menyerbu PPD Lipis untuk menukar anak mereka.
Tekanan berterusan menyebabkan saya mula diserang 'mind exhausted' dan bacaan blood pressure saya mula tidak menentu. Bimbang keadaan menjadi tidak terkawal, saya memutuskan untuk berehat sebentar daripada semua kekalutan ini dengan bercuti ke Port Dickson. Semoga kedamaian bayu Selat Melaka berpuput dan kesyahduan panorama menjelang gugurnya sang mentari di ufuk barat mampu memberi ketenangan kepada saya.

Destinasi singgahan pertama kami ialah di Pantai Teluk Kemang. Tujuannya ialah untuk mengisi perut yang dah mula berkeroncong.

Gerai-gerai menjual pelbagai barangan banyak terdapat di sekitar Pantai Teluk Kemang ini. Pergi melancong hujung bulan ni, sengkek la sikit.

Kami memilih untuk menginap di Bayu Beach Resort. Apartment dua biliknya cuma RM280, siap dengan sarapan pagi untuk 4 orang.

Dapat bilik yang mengadap ke arah kolam renang dan pantai sungguh mendamaikan.

Kedudukan hotel ini di tengah-tengah antara bandar Port Dickson dan Pantai Teluk Kemang, memudahkan kami untuk ke mana-mana.

Dua orang anak saya ni suka sangatlah mandi kolam. Susah nak ajak naik.

Pantai berhampiran dengan Bayu Beach Resort ni juga cantik dan bersih. Lagipun tak ramai pengunjung seperti di Pantai Teluk Kemang.

Wednesday, December 8

Hilangnya Sebuah Mercu Tanda

'Biar betul ni....' itulah kata-kata yang terpacul dari mulut saya ketika melewati 'roundabout' Teluk Wanjah, Alor Setar seminggu yang lalu. Saya agak terperanjat apabila binaan berupa mahkota raja yang berada di tengah-tengah bulatan tu sudah tiada. Selama ini, binaan itulah yang membuat saya mengimbau zaman kanak-kanak ketika ke bandar Alor Setar menaiki bas bersama ayah dan emak untuk membeli baju raya. Bas The Kubang Pasu Transport Company (sekarang ni syarikat lain dah ambil alih) akan mengelilingi bulatan ini dahulu sebelum bertolak balik ke pekan Jitra. Setiap kali pulang bercuti di kampung, saya akan mengambil kesempatan ke bandar Alor Setar untuk membeli loyang madu di Pekan Rabu (kuih favorite, rakan-rakan pejabat pun suka kuih ni). Setelah siap membeli-belah, saya akan memilih jalan bulatan Teluk Wanjah untuk pulang ke rumah ayah saya.
Rasanya inilah satu-satunya mercu tanda yang masih kekal dari saya kecil sehinggalah usia menjejak 43 tahun ini. Sesungguhnya amat mengharukan apabila mercu tanda ini dirobohkan. Setelah meneliti laman-laman blog yang menulis tentang bulatan ini, dipercayai binaan ini dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan 'fly over' yang akan merentasi landasan keretapi berkembar. Pada pandangan saya, tidak mengapa binaan ini dirobohkan demi pembinaan sesuatu yang lebih mendatangkan faedah kepada orang ramai. Namun adalah lebih baik, jika binaan ini tidak dirobohkan sebaliknya dipindahkan ke lokasi lain sebagai monumen bersejarah. Kalau bangunan 4 tingkat pun boleh dipindahkan (tengok dalam discovery channel Astro), apatah lagi binaan 'simple' ini. Mungkin bagi generasi baru, binaan ini tiada apa-apa makna bagi mereka. Namun bagi kami yang membesar bersama binaan ini, ianya penuh dengan 'sentimental value'. Difahamkan satu binaan serupa telah dibuat berhampiran dengan Lampangan Terbang Sultan Abdul Halim. Namun saya belum ada kesempatan untuk melihatnya.