Pages

Wednesday, April 7

Kenangan Zaman Persekolahan

Sekolah Kebangsaan Kepala Batas, Alor Setar, Kedah
Saya memasuki darjah satu di SK Kepala Batas, Kedah pada tahun 1974. Oleh kerana tidak pernah memasuki kelas tadika, maka darjah satu merupakan pengalaman pertama saya di alam persekolahan. Sewaktu saya belajar di sekolah ini, Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) belum ada lagi, jadi ibu bapa dikehendaki membeli sendiri buku-buku teks. Oleh kerana kehidupan yang agak sukar pada masa itu, ayah hanya mengerjakan sawah yang disewa daripada orang, maka tidak semua buku teks yang dapat dibeli. Belajar dalam serba kekurangan ini, memang terasa sukarnya.Tidak banyak kenangan yang dapat saya ingat semasa di sekolah ini, selain peristiwa kaki saya termasuk dalam rim basikal semasa membonceng basikal ayah waktu pulang sekolah. Luka yang agak teruk menyebabkan saya terpaksa berehat di rumah selama 3 minggu. Parutnya masih boleh dilihat sampai sekarang. Saya hanya bersekolah selama 2 tahun sahaja di sekolah ini. Ketika naik ke darjah 3, ayah menukar saya ke sekolah yang lebih dekat dengan rumah kami iaitu SK Anak-Anak Angkatan Tentera Tok Jalai.

Sekolah Kebangsaan Anak-Anak Angkatan Tentera Tok Jalai, Jitra, Kedah
(saya duduk 3 dari kanan, di sebelah Guru Besar)
Pembelajaran saya di SK Anak-Anak Angkatan Tok Jalai berjalan dengan lebih baik. SPBT pun sudah ada, jadi tidak ada lagi masalah dengan buku teks. Ada beberapa orang guru yang masih saya ingat antaranya ialah Cikgu Sharifah Siha Syed Mansur, Cikgu Mat Husin (cikgu yang ditakuti kerana suka tarik sideburns) dan Cikgu Razali (cikgu yang bawa kereta Ford Cortina). Guru Besar pada masa itu ialah Ku Othman bin Ku Hamid. Beliau pernah merotan saya di perhimpunan kerana tidak hadir ke sekolah. Sebenarnya saya dan beberapa orang murid tidak hadir ke sekolah kerana hujan lebat. Oleh kerana, kedudukan rumah saya agak jauh dari sekolah, ditambah pula keadaan jalan tanah merah yang berlumpur maka ayah tidak menghantar saya ke sekolah pada hari itu. Oleh kerana ramai murid tidak hadir, Guru Besar sangat marah, sebab itulah beliau mengadakan perhimpunan khas. Selepas berleter panjang, beliau 'bantai' kami serotan seorang.
Ketika belajar di sekolah ini, bakat saya yang paling ketara ialah melukis. Cikgu-cikgu selalu memuji kecantikan lukisan saya. Seorang guru telah mengupah saya RM5.00 untuk melukis 'prop' drama dengan menggunakan manila kad. Bukan main seronok saya dapat RM5.00. Waktu itu, nilai sebanyak itu sudah cukup besar. Cikgu Ilmu Alam meminta kebenaran untuk menyimpan buku nota saya kerana katanya lukisan peta yang saya lukis sangat cantik.Waktu di darjah 4 hingga 6 saya sangat suka membaca. Kadang-kadang dalam masa seminggu saya akan menghabiskan 4 buah buku cerita. Antara buku cerita yang saya suka baca pada masa itu ialah cerita Lima Sekawan dan Siri Noddy yang kedua-duanya ditulis oleh Enid Blyton.
Siri Lima Sekawan dan Noddy yang ditulis oleh Enid Blyton merupakan buku cerita kegemaran saya di sekolah rendah.

Di sekolah menengah pula sangat suka membaca siri penyiasatan Hardy Boy dan Biggles

Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra, Kedah

Saya tidak berapa ingat keputusan penilaian darjah 5 saya, tetapi mungkin agak baik kerana saya telah ditawarkan memasuki Kelas Rancangan Khas (KRK), di Sekolah Menengah Jitra. Saya menaiki bas seorang diri dari pekan kecil Tok Jalai ke bandar Jitra. Hari pertama di sekolah menengah memang kekok juga, macam rusa masuk kampung. Nasib baik ada pengumuman untuk pelajar-pelajar KRK untuk masuk ke dalam bilik darjah yang telah ditetapkan. Sesetengah pelajar KRK ditawarkan tinggal di asrama, saya memilih untuk berulang dari rumah sahaja. Di dalam kelas ini, semuanya pelajar Melayu kecuali Yeoh Swee Ling, seorang pelajar Cina yang ditempatkan di dalam kelas itu untuk memberi saingan kepada pelajar-pelajar Melayu. Selepas peperiksaan SRP, saya meneruskan persekolahan di tingkatan 4 dalam aliran sains. Ramai juga kawan-kawan yang menukar aliran daripada sains ke sastera. Saya kekal dalam aliran sains. Namun semasa hendak menghadapi SPM, saya terpaksa menggugurkan Matematik Tambahan dan diganti dengan Pendidikan Seni. Memang rasa tak mampu nak lulus Matematik Tambahan ni. Alhamdulillah saya dapat pangkat 1 dalam SPM. Ramai kawan-kawan sekelas dapat masuk universiti tetapi saya tidak dapat. Saya meneruskan pengajian ke Tingkatan 6 bersama rakan-rakan baru yang datang dari sekolah lain. Walau bagaimanapun saya tidak sempat mengambil STPM kerana mendapat tawaran ke Maktab Perguruan.

Bergambar bersama kawan-kawan Tingkatan 6 semasa mengadakan lawatan ke Terengganu pada tahun 1985

Jejantas Pekan Rabu, Alor Setar


Pada hari keputusan SPM diumumkan, saya beritahu emak, kalau saya balik awal itu tandanya saya telah gagal dan tolong jangan tanya apa-apa. Sebenarnya saya bernazar, jika saya dapat pangkat 1 dalam SPM, saya akan dermakan RM10.00 kepada setiap pengemis yang berada di atas jejantas Pekan Rabu, Alor Setar. Selepas dapat keputusan SPM, saya terus ke bank untuk keluarkan semua duit biasiswa yang masih berbaki. Dari Jitra saya naik bas terus ke Alor Setar. Waktu saya melangkah kaki naik ke atas jejantas Pekan Rabu itu, saya lihat cuma dua orang pengemis sahaja yang ada di situ. Setiap seorang saya sedekah RM10.00. Kedua-dua pengemis itu melihat saya, dengan penuh tanda tanya. Hari ini, jika saya berkunjung ke Pekan Rabu Alor Setar, pandangan saya akan segera terarah kepada pengemis-pengemis yang berada di situ dan kenangan hampir 26 tahun yang lalu kembali mengisi ruang fikiran.

Sunday, April 4

Afghanistan War : Cry Without Tears

Abdullah Khan Momeen

Pada tahun 1990, saya telah menyertai satu program yang dianjurkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Program yang dikenali sebagai 'Muslim Aid' itu memberi peluang kepada umat Islam di negara ini menaja anak-anak yatim di Afghanistan untuk bersekolah. Pada waktu itu, negara Afghanistan baru sahaja tamat berperang selama 10 tahun dengan Soviet Union. Peperangan yang bermula pada 24 Disember 1979 dan berakhir pada 15 Februari 1989 itu telah memakan banyak korban, meninggalkan kaum wanita sebagai balu dan kanak-kanak sebagai anak-anak yatim yang tiada tempat berlindung. ABIM mengambil inisiatif mencari dermawan-dermawan di seluruh negara untuk membantu persekolahan anak-anak yatim ini. Jumlah derma yang hendak diberi terpulang kepada kemampuan penderma. Oleh kerana, saya baru sahaja bekerja maka derma yang mampu saya beri pada setiap bulan tidaklah sebanyak mana. Namun saya bersyukur kerana diberi peluang membantu mereka ini. Nama pelajar yang saya taja itu ialah Abdullah b. Khan Momeen. Dilahirkan pada tahun 1981 di Kan'uf. Ayahnya seorang petani yang tinggal di kampung Andar di wilayah Ghazni. Sekolah di mana Abdullah belajar diberi nama Shaheen Andar. Hari ini jika Abdullah tidak menjadi sasaran peluru senapang, beliau sudah berumur 29 tahun.

Kanak-kanak Afghanistan yang kehilangan ibu bapa sedang merenung masa depan yang tidak pasti.

Belajar dalam serba kekurangan

Tentera Mujahideen walaupun memiliki kelengkapan perang yang terhad, namun berjaya menghambat tentera Soviet Union dari tanah tumpah darah mereka.

Tentera Soviet Union terpaksa meninggalkan bumi Afghanistan dalam keadaan yang mengaibkan. Mungkinkah Amerika Syarikat juga akan mengalami nasib yang sama? Kita hanya mampu berdoa agar Afghanistan kembali aman.

Dua pemimpin Soviet Union yang mempunyai kaitan dengan perang 10 tahun terhadap Afghanistan. Leonid Brezhnez adalah Presiden Soviet yang bertanggungjawab memulakan serangan kepada Afghanistan pada 24 Dis 1979 manakala Mikhael Gorbachev pula merupakan Presiden yang mengarahkan pengunduran tenteranya dari Afghanistan. Gorbachev juga merupakan Presiden terakhir kesatuan Soviet sebelum berpecah menjadi Russia.
Mohamed Zahir Shah yang dilahirkan pada 15 Oktober1914 adalah raja terakhir Afghanistan. Beliau telah memerintah selama 4 dekad bermula dari tahun 1933 hingga 1973. Beliau diangkat menjadi raja selepas pembunuhan bapanya Mohamed Nadir Shah. Pada tahun 1973, sepupu beliau Mohamed Daoud Khan telah melancarkan rampasan kuasa ketika beliau berada di Itali. Zahir Shah tinggal dalam buangan di Itali selama 29 tahun. Mohamed Daoud Khan yang telah merampas kuasa telah memerintah sehingga 1978 apabila beliau telah dibunuh dan diganti oleh Babrak Karmal yang condong kepada fahaman komunis. beliau menjadi presiden Afghanistan sehingga tahun 1986. Dr.Mohamad Najibullah menggantikan Babrak Karmal sebagai Presiden Republik Demokratik Afghanistan bermula pada 30 September 1987 hingga 16 April 1992. Beliau memerintah Afghanistan sebagai boneka kepada Soviet Union. Oleh itu, apabila Soviet Union ditewaskan, beliau telah dihukum gantung oleh puak Taliban.

Pada 11 September 2001, Menara Berkembar di World Trade Center New York telah diserang oleh dua buah jet yang telah dirampas oleh pengganas yang didakwa sebagai anggota al-Qaeda. Berdasarkan dakwaan itu, Amerika Syarikat telah melancarkan gerakan besar-besaran memburu pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden. Bumi Afghanistan menjadi lokasi pencarian menyebabkan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya melancarkan 'Operation Enduring Freedom' ke atas Afghanistan pada 7 Oktober 2001 . Sekali lagi, negara yang sudah hancur selepas berperang selama 10 tahun dengan Soviet Union ini bakal dihancurkan pula oleh satu lagi kuasa besar dunia dengan berlindung di sebalik mandat United Nation.
Akhirnya, kita terpaksa mengakui hakikat bahawa bumi berdarah Afghanistan sukar menemui keamanannya. Dan kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa ini, akan terus-terusan menjadi mangsanya.

Wednesday, March 31

Tallest Man in The World


Dengan ketinggian 6 kaki 2 inci, saya rasa sudah cukup tinggi. Namun setelah dibandingkan dengan dua lelaki di atas iaitu George Bell dari Amerika Syarikat dengan ketinggian 7 kaki 8 inci dan Bao Xishun dari China yang setinggi 7 kaki 9 inci rasanya saya tidaklah terlalu tinggi. Di Malaysia lelaki tertinggi yang tercatat dalam Malaysia Book of Records ialah Hoo Sun Foo dari Selama, Perak dengan ketinggian 6 kaki 9 inci.
Hati saya tergerak untuk menulis tentang topik ini setelah menonton dokumentari 'Extreme Bodies' yang ditayangkan di Discovery Channel beberapa hari yang lalu. Dokumentari ini mengisahkan kehidupan George Bell selaku lelaki yang paling tinggi di Amerika Syarikat dengan ketinggian 7 kaki 8 inci. Beliau yang bekerja sebagai Penolong Sherif di penjara bandar Norfolk merupakan lelaki ketiga tertinggi di dunia. Mengikut doktor ketinggian George disebabkan tumor yang tumbuh pada kelenjar pituitari. Tumor itu menyebab kelenjar pituitari terus menerus mengeluarkan hormon yang meransang pertumbuhan tulang. Dengan bantuan pakar, tumor itu telah berjaya dibuang. George mengakui kehidupannya agak sukar dan sering menjadi fokus orang ramai.
Menyusuri cerita George ini, saya berasa insaf dan bersyukur. Walaupun saya agak tinggi jika dibandingkan dengan ketinggian orang Melayu yang puratanya antara 5 kaki hingga 5 kaki 6 inci, namun saya boleh meneruskan kehidupan dengan selesa. Saya masih boleh menggunakan semua peralatan dan kemudahan seperti yang digunakan oleh orang lain tanpa sebarang pengubahsuaian. Saya juga belajar menerima hakikat bahawa tiada manusia dilahirkan sempurna. Jika itulah qadak dan qadar Allah kepada kita, terimalah dengan hati yang lapang.
"...boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan ingatlah Allah jualah yang mengetahui semua itu, sedangkan kamu tidak mengetahuinya." (Surah al-Baqarah, ayat 216)
Sultan Kosen dari Turki tercatat dalam Guinness World Records sebagai lelaki tertinggi di dunia dengan ketinggian 8 kaki 1 inci.

Robert Pershing Wadlow kekal sebagai lelaki paling tinggi di dunia. Beliau yang dilahirkan pada 22 Februari 1918 di Alton, Illinois mempunyai ketinggian 8 kaki 11 inci. ketinggian beliau itu telah mendatangkan banyak masalah kesihatan sehingga beliau telah meninggal dunia pada usia yang muda iaitu 22 tahun.

Sunday, March 28

Duit Pokok Pisang Jepun

Saya masih menyimpan sekeping duit pokok pisang Jepun bernilai 10 Dollar. Duit kertas bermutu rendah ini diberi nama duit pokok pisang kerana terdapat gambar pokok pisang pada muka hadapannya. Duit ini digunakan secara meluas semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu sekitar tahun 1942 hingga 1945. Duit ini tidak mempunyai nombor siri oleh itu, kerajaan Jepun (Japanese Occupation of Malaya) telah mencetaknya tanpa had. Ini menyebabkan nilai matawang ini merosot dan kadar inflasi begitu tinggi. Mengikut cerita, pada zaman Jepun orang-orang kaya mempunyai berguni-guni duit ini. Namun setelah Jepun menyerah kalah selepas dua bandar utamanya Hiroshima dan Nagasaki diletupkan dengan bom atom oleh Amerika Syarikat pada 6 dan 9 Ogos 1945, duit pokok pisang ini telah kehilangan nilainya. Maka rugilah orang-orang kaya yang menyimpan duit ini.

Jepun menyerang Kuala Lumpur
Leftenan Jeneral Yamashita Tomoyuki dan Leftenan General Percivel mengadakan perbincangan untuk pihak British menyerah kalah kepada Jepun di Jalan Bukit Timah, Singapura pada 15 Januari 1942

Tentera Jepun menyerah kalah kepada British di Singapura apabila Hiroshima dan Nagasaki diletupkan dengan bom atom pada 6 dan 9 Ogos 1945

Leftenan Jeneral Yamashita Tomoyuki, orang yang bertanggungjawab membawa kesengsaraan kepada penduduk Asia Tenggara. Beliau telah membenarkan askar-askar Jepun melakukan kekejaman dan penyiksaan kepada penduduk-penduduk di Tanah Melayu, Indonesia dan Filipina. Beliau akhirnya mati di tali gantung pada 23 Februari 1946, di penjara Los Banos, Filipina setelah diadili atas segala jenayah perang yang telah beliau lakukan.

Tuesday, March 23

Special Constable (SC)

Ini ayah saya, Haji Abd Hamid bin Ismail. Beliau dilahirkan pada tahun 1935 di Sungai Korok, Kedah. Gambar ini diambil pada 29 Ogos 1956 ketika beliau bertugas sebagai Polis Khas atau Special Constable (SC) di Karangan, Kulim. SC ialah pasukan khas yang ditubuhkan oleh pihak British untuk mengawal kepentingan-kepentingan mereka di Tanah Melayu. Pada masa darurat, pihak komunis menjadikan kepentingan-kepentingan British sebagai sasaran mereka. Tugas SC ialah mengawal ladang-ladang, kawasan penempatan semula (kampung baru) dan projek pembinaan jalan. Selepas negara merdeka, pasukan ini telah dibubarkan dan anggota-anggotanya telah diserap ke unit-unit lain dalam pasukan polis. Ayah saya telah berhenti daripada SC dan pulang ke kampung untuk menjadi seorang petani.

Anggota SC sedang mengawal

Serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 yang menyebabkan 17 orang anggota polis terbunuh adalah bukti kekejaman komunis.

Monday, March 22

Tokoh Guru 2007

Pagi tadi, saya dan beberapa orang kawan keluar minum di Batu 6, Penjom. Kebetulan hari ini pekan sehari di situ. Ramai juga orang-orang lama yang masih kenal dengan saya walaupun sudah hampir 10 tahun saya meninggalkan Sekolah Kebangsaan Penjom. Salah seorang yang saya temui ialah Tuan Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Rahman. Semasa saya mengajar di Sekolah Kebangsaan Penjom beliau merupakan Imam Masjid dan Wali Hakim bagi mukim Penjom. Hari ini beliau sudah agak uzur, mungkin kerana umurnya yang sudah lanjut. Walau bagaimana pun beliau masih bertenaga untuk berjalan dan daya ingatannya juga sangat kuat. Beliau masih kenal dengan saya dan tahu di mana saya bertugas. Tuan Haji Abdul Hamid adalah bekas seorang ustaz. Beliau telah mengajar di beberapa buah sekolah sebelum bersara. Pada tahun 2007, beliau telah dinobatkan sebagai Tokoh Guru Daerah Lipis. Sayalah orang yang dipertanggungjawabkan untuk menyiap klip video tentang perjalanan hidup beliau. Klip video itu telah ditayangkan pada majlis Sambutan Hari Guru 2007 yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Kuala Lipis.


Klip Video ni saya buat dengan menggunakan Adobe Premiere Pro 1.5. Sebenarnya saya bukanlah mahir sangat membuat klip video ini tetapi dengan tunjuk ajar sahabat saya, En. Wan Zohairi (waktu itu beliau adalah Penyelaras PKG Benta) maka dapatlah saya hasilkan klip video yang tidak sepertinya ini. Kepada Tuan Haji Abdul Hamid kita doakan semoga dipanjangkan umur dan diberi kesihatan yang baik.

Wednesday, March 17

Russian Roulette

Malam semalam, ketika ralit menikmati nescaffe panas di dapur, kedengaran lagu 'Russian Roulette' nyanyian Rihanna, mungkin dari channel MTV. Sedap juga lagu tu walaupun klip videonya agak 'daring'. Pagi tadi sementara menunggu waktu kerja bermula, saya muat turun klip video tersebut melalui YouTube dan diubah kepada mp3 supaya boleh saya dengar dalam kereta nanti. Menarik untuk menghayati lirik-lirik awal lagu tersebut
Take a breath, take it deep
Calm yourseft, he say to me
If you play, you play for keeps
Take a gun, and count to three
I'm Sweating now, moving slow
No time to think, my turn to go
And you can see my heart beating
You can see it through my chest
And I'm terrified but I'm not leaving
Know that I must pass this test
So just pull the trigger
Russian Roulette ialah permainan hidup atau mati. Secara tradisinya dimainkan oleh dua orang pemain, sepucuk pistol (revolver) dan sebutir peluru. Peluru dimasukkan ke dalam ruang selinder pistol dan diputarkan. Seorang pemain akan mengacukan pistol tersebut di kepalanya dan menarik pemetik pistol tersebut. Jika pistol tersebut tidak meletup, pemain kedua akan melakukan langkah yang sama seperti pemain pertama. Terpulang kepada pemain sama ada hendak memutar semula selinder pistol tersebut atau tidak. Permainan diteruskan sehinggalah pistol tersebut meletup dan mengorbankan salah seorang daripada mereka. Permainan ini dikenali sebagai 'Russian Roulette' kerana ia merupakan suatu legenda dalam kalangan askar-askar Russia sekitar tahun 1895 hingga 1905 untuk menunjukkan keberanian mereka.
Permainan ini agak kejam dan menggerunkan. Oleh itu, pada pendapat saya, permainan ini tidak dimainkan untuk bersuka-suka sebaliknya merupakan suatu cara untuk membuktikan sesuatu kebenaran atau menyelesaikan sesuatu masalah . Barangkali tiada cara lain lagi yang dapat difikirkan oleh mereka, maka cara yang dahsyat ini dipilih.


Lagu 'Russian Roulette' boleh di muat turun melalui ruangan Muat Turun Bahan & Borang