Sukarnya membuat keputusan...itulah yang teman rasakan saat ini. Berada di kedudukan ini, teman tidak dapat lari daripada membuat keputusan. Menguruskan 'manusia' bukanlah sesuatu yang mudah. Setiap orang ada keinginan yang ingin dicapai. Guru ingin bertukar ke sekolah yang lebih dekat dengan rumah, kalau boleh bunyi loceng sekolah dapat didengar sampai di rumah. Ibu bapa pula mahu menempatkan anak-anak di sekolah terbaik, walaupun berkali-kali teman terangkan bahawa penempatan akan dibuat berdasarkan kekosongan. Keinginan tetap keinginan. Selagi tidak dipenuhi, hati tidak akan merasa puas. Selaku guru dan juga seorang bapa, teman faham akan situasi ini. Namun, tidak semua keinginan dapat dipenuhi. Pilihan terpaksa dibuat, ada yang berjaya dan ada yang tidak berjaya. Rezeki adalah ketentuan Allah SWT.
Sudah banyak kursus yang teman hadiri berkaitan langkah-langkah membuat keputusan. Di Institut Aminuddin Baki ketika mengikuti kursus National Professional Qualification for Headship (NPQH) ada course khas mengajar negotiation skills dan How To Make Decisions. Namun apa yang dipelajari dengan apa yang berlaku di alam nyata dua perkara berbeza. Belum tentu apa yang dipelajari itu dapat diguna pakai ketika menguruskan kehendak 'manusia' ini. Sesungguhnya pengalaman juga yang banyak membantu teman dalam menanggani situasi ini. Cuma apa yang teman harapkan ialah apa sahaja keputusan yang telah dan akan dibuat, janganlah sampai memutuskan persahabatan. Hidup ini semakin pendek, kita tidak punya masa untuk bermusuhan. Bersabar dan terimalah dengan hati yang terbuka. Teman telah cuba melakukan yang terbaik. Terpulanglah bagaimana anda semua menerima dan memahaminya.
SELAMAT TAHUN BARU 2014
No comments:
Post a Comment