Pages

Sunday, January 12

GAGAL merancang adalah merancang untuk GAGAL

Tahniah kepada En. Azhar bin Teh, GPK Pentadbiran SK Lubuk Kulit di atas pelantikan sebagai Guru Besar SK Chegar Perah. Bagi pihak PPD Lipis, teman sangat berharap agar anda menerima pelantikan ini dengan hati yang terbuka dan bersedia untuk mengharungi segala macam cubaan dan cabaran yang bakal dihadapi nanti. Teman percaya dengan pengetahuan dan pengalaman yang ada, anda mampu membawa sekolah ini ke tahap yang boleh dibanggakan. "Rome wasn't built in a day", masa diperlukan untuk mencipta kecemerlangan. Janganlah rasa tertekan dengan harapan yang disandarkan kepada anda. Sebaliknya, merancanglah dengan betul dan menangilah hati anak-anak buah agar mereka sanggup bertungkus lumus bersama anda dalam memacu kecemerlangan sekolah ini. 

Pada 7 Januari yang lalu, teman ke Kuantan untuk menghadiri Mesyuarat ABM Perjawatan. Mesyuarat diadakan di Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan. Oleh kerana keesokannya ada satu lagi mesyuarat yang perlu dihadiri, maka semua Penolong PPD Menengah terpaksalah bermalam di bandar Kuantan. Kesempatan ini kami gunakan untuk mengadakan jamuan ramah mesra di Sara Thai Kitchen (berhadapan dengan Hotel Grandcontinental). Turut hadir dalam jamuan ini ialah En. Nor Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah.

Makanan kat restoran nie sedap-sedap belaka. Cuma teman tak dapat nak makan banyak. Perut dah sendat sangat. Maklumlah, petangnya dah pekena mee celup kat restoran sebelah hotel penginapan teman.

Keesokannya, telah berlangsung Mesyuarat Post Mortem Penempatan Sekolah Rancangan Khas (SRK). Mesyuarat telah dipengerusikan oleh En. Rosdi Ismail, Pengarah Pendidikan Pahang. Turut hadir ialah Tuan Haji Wan Hamid, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah dan Tuan Haji Ramzan, Ketua Sektor Pendidikan Islam. Mesyuarat yang berlangsung hampir 3 jam itu membincang isu-isu berkaitan penempatan murid Tingkatan 1 ke SRK. Sebelum itu, semua Penolong PPD Menengah dikehendaki melaporkan status penempatan SRK bagi setiap daerah.

Selepas mesyuarat tamat, teman terus bergegas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Bengkel Perancangan Strategik PPD Lipis yang diadakan di Hotel Plaza. Perancangan adalah suatu perkara yang perlu jika ingin berjaya. GAGAL merancang adalah merancang untuk GAGAL. Ungkapan ini sering kita dengar terutama ketika menghadiri kursus atau taklimat motivasi. Atas sebab itulah, maka Tuan PPD Lipis mengambil inisiatif untuk menggerakkan semua unit bagi melahirkan sebuah Perancangan Strategik yang mantap dan boleh dilaksanakan.

Semua Ketua Unit dan pegawai-pegawai berkaitan dikehendaki hadir. Tuan PPD, Haji Misnan dan Timbalan PPD, En. Rosli Mubin juga turut hadir. Bengkel ini bertujuan untuk melengkapkan perancangan strategik yang telah dihasilkan oleh semua unit. Perancangan Strategik setiap unit dibentangkan kepada Tuan PPD dan Timbalan PPD untuk diberi komen dan dibuat pembetulan. Nasib temanlah, Unit Pengurusan Sekolah kena bentang dulu. Emm...banyak le perkara yang kena komennya. Insyaallah, teman dan anak-anak buah akan cuba betulkan semula kesalahan-kesalahan yang dikomen oleh Tuan PPD itu.

Dua hari berbengkel, kepala dah naik berasap dah. Masing-masing nampak tertekan untuk menghasilkan Perancangan Strategik yang memenuhi kehendak Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) . Melihat situasi itu, Tuan PPD mencadangkan diadakan perlawanan bowling pada malam kedua itu. Maka bertempat di Ampang Superbowl Berjaya Times Square semua peserta bengkel mengambil peluang untuk menghilangkan tekanan masing-masing. Esok kita pening pula untuk menyiapkan Takwim PPD Lipis 2014.

No comments: