Pages

Friday, January 17

Timbalan PPD Cameroon Highlands

Tahniah kepada Encik Hassan Basri bin Shamsuddin, Penolong PPD Pengurusan Akademik (Sains & Matematik) yang telah dilantik sebagai Timbalan PPD Cameroon Highlands. Semoga pelantikan ini memberi semangat baru kepada anda untuk terus menumpah bakti bagi meningkatkan mutu pendidikan negara terutama di daerah Cameroon Highlands. Pengalaman dan pengetahuan yang ditimba sepanjang memegang jawatan GPK Pentadbiran di SMK Benta dan Penolong PPD di Pejabat Pendidikan Daerah Lipis tentunya menjadi bekalan ampuh untuk anda memperanankan jawatan baru ini. Kepada Encik Hassan Basri, never say goodbye. Semoga satu hari nanti, anda akan kembali memimpin kami di daerah Lipis.

Semalam teman menghadiri Mesyuarat Rayuan Pertukaran Guru di SMK Temerloh. Rasanya inilah mesyuarat sehari yang paling panjang pernah teman hadiri. Bermula jam 8.30 pagi berlarutan hingga jam 7.00 petang. Emm...banyak kes rayuan pertukaran guru yang terpaksa diselesaikan. Daerah Lipis kehilangan dua orang guru sahaja, termasuk seorang guru Bahasa Inggeris. Walau bagaimana pun, teman bersyukur sangat kerana 11 orang guru telah diluluskan ke daerah Lipis. Dengan kemasukan 11 orang guru ini, semua sekolah menengah di daerah Lipis mendapat guru yang cukup. Cuma keperluan opsyen sahaja yang tidak dapat dipenuhi. Kepada 11 orang guru tersebut, selamat datang ke daerah Lipis. Semoga anda semua menerima keputusan penempatan ini dengan penuh kesyukuran. Jika sekolah yang ditempatkan itu agak jauh sedikit, redhalah...tak perlu datang berjumpa teman untuk menukar sekolah. Ramai yang memohon ke daerah Lipis terutama guru-guru Kelantan yang ingin transit sebelum mendapat peluang untuk balik ke Kelantan. Sebahagiannya terpaksa ditempatkan ke daerah lain. Bagi pasangan suami isteri ada yang ditempatkan hingga ke daerah Rompin, Pekan dan Bera. Oleh itu, bagi yang berjaya memasuki daerah Lipis, ingatlah...anda adalah insan yang bertuah.


Pada hari Rabu lepas, teman bersama Tuan PPD dan Penyelia Kanan Sekolah Rendah dikehendaki hadir ke Putrajaya untuk taklimat National Blue Ocean Strategy (NBOS). Taklimat diadakan di Dewan Sebaguna Aras 9, Blok E12, Komplek E, Kementerian Pelajaran Malaysia. NBOS ini menumpukan kepada 4 bidang kajian iaitu Bebanan Tugas Guru, Ketidakpadanan Opsyen Guru, Saiz Kelas Yang Ideal dan Pertindahan Pengkalan Data. Hari ini, guru-guru mengadu kerana dibebani dengan tugas-tugas perkeranian, seperti pengisian data secara online, merekod pencapaian pelajar dan sebagainya. Untuk mengatasi masalah ini, pihak kementerian akan memperkenalkan Program Rintis pengambilan seramai 8,732 Pekerja Sambilan Harian (4,918 PT N17 dan 3,814 FT N17). Pekerja sambilan ini akan dibayar gaji harian sebanyak RM54.00. Tugas mereka nanti ialah membantu guru-guru menyelesaikan tugas-tugas perkeranian seperti pengisian data online, borang-borang maklumat pelajar dan sebagainya. Enam buah negeri terlibat dalam Program Rintis ini iaitu Kedah, Pahang, Melaka, Selangor, Sabah dan Sarawak. Semoga dengan adanya pekerja sambilan ini nanti, guru-guru dapatlah memberi sepenuh perhatian kepada mempertingkatkan mutu pengajaran masing-masing. Masa-masa 'terluang' yang sebelum ini terpaksa digunakan untuk tugas-tugas pengrekodan, dapatlah dimanfaatkan untuk mentelaah buku, membuat research melalui internet, diskusi kumpulan dan sebagainya bagi memantapkan strategi pengajaran masing-masing. 

Nota Kaki :
Awal persekolahan baru-baru ini, teman telah memantau sebuah sekolah. Ketika melewati sebuah kelas, teman tengok seorang guru sedang duduk di meja guru menongkat dagu, sambil memandang keluar tingkap. Jauh pandangannya...sehingga tidak sedar teman memasuki kelas tersebut. Beliau hanya tersedar apabila ketua kelas mengarahkan semua pelajar bangun. Oleh kerana teman tidak berhajat untuk memantau beliau, teman sekadar bertanya perihal subjek yang diajar dan tempoh perkhidmatan beliau di sekolah tersebut sahaja. Ketika meninggalkan kelas tersebut hati teman tertanya-tanya, dengan papan tulis yang 'bersih' dan pelajar yang kelihatan hanya menyenarai sesuatu di atas kertas...apakah yang sedang diajar oleh guru ini? 

No comments: