Pages

Wednesday, December 25

Perpindahan Asrama Pusat Lipis ke Blok Asrama Tambahan SMK Kuala Lanar

Semalam bertempat di Bilik Gerakan Jabatan Pelajaran Pahang telah berlangsung Mesyuarat Persediaan Perpindahan Asrama Pusat Lipis ke bangunan Asrama Tambahan SMK Kuala Lanar. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh En. Rosdi bin Ismail, Pengarah Pelajaran Pahang ini bertujuan untuk menyelaraskan persediaan serta tatacara perpindahan. Penghuni-penghuni Asrama Pusat seramai 200 orang yang terdiri daripada pelajar-pelajar Orang Asli ini, akan dipindahkan ke Asrama SMK Kuala Lanar mulai 1 Januari nanti. Perpindahan ini juga melibatkan perpindahan sekolah tempat belajar kerana sebelum ini mereka bersekolah di SMK Orang Kaya Haji. Implikasi daripada perpindahan ini ialah beberapa kelas terpaksa ditutup di SMK Orang Kaya Haji dan beberapa kelas pula perlu dibuka di SMK Kuala Lanar. Mahu tidak mahu, guru-guru juga perlu berpindah. Oleh itu, dalam mesyuarat ini teman telah diminta membentangkan Kelayakan Guru (KG) bagi kedua-dua sekolah apabila proses perpindahan berlaku. Teman sangat berharap agar guru-guru yang terpilih untuk berpindah sekolah nanti akan menerima keputusan ini dengan hati terbuka.

Asrama Pusat Lipis terpaksa dipindahkan kerana menurut Laporan Pemeriksaan Bangunan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia bertarikh 29 Januari 2013 mengklasifikasikan bangunan tersebut sebagai 'Tidak Selamat Diduduki'. Bangunan yang dibina sekitar tahun 60-an ini sudah semakin uzur walaupun sudah beberapa kali dibuat pengubahsuaian.

Blok Asrama Tambahan SMK Kuala Lanar yang akan menjadi lokasi perpindahan Asrama Pusat ini mempunyai fasiliti yang lengkap. Selain mampu memuatkan seramai 200 orang penghuni, blok ini juga mempunyai dewan makan, rumah warden serta pondok kawalan sendiri yang terasing daripada blok asrama utama yang didiami oleh pelajar-pelajar SMK Kuala Lanar sedia ada. Teman menyokong perpindahan ini kerana sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan masalah penguncupan enrolmen di SMK Kuala Lanar. Sekolah ini hanya bergantung kepada empat buah sekolah rendah iaitu SK Kuala Lanar, SK Jeram Bungor, SK Batu 9 dan SK Kuala Kenong untuk membekalkan pelajar-pelajar ke Tingkatan 1. Malangnya gabungan pelajar-pelajar daripada keempat-empat sekolah ini hanya mampu mewujudkan satu kelas sahaja di SMK Kuala Lanar. Oleh itu, teman terpaksa membawa pelajar-pelajar dari sekolah yang agak jauh iaitu SK Wan Ibrahim dan SK Clifford ke sekolah ini. Namun, pelajar-pelajar dari kedua-dua sekolah ini akhirnya akan memohon bertukar ke sekolah-sekolah menengah yang lebih dekat dengan tempat kediaman mereka iaitu SMK Orang Kaya Haji atau SMK Setiawangsa.

No comments: