Pages

Friday, December 13

Tawaran ke SRK dan KAA Daerah Lipis

Pada 10 hingga 12 Disember yang lalu, teman telah menghadiri Mesyuarat Pemilihan dan Penempatan Pelajar ke Sekolah Rancangan Khas (SRK) dan Kelas Aliran Agama (KAA) bagi sesi persekolahan 2014. Mesyuarat ini telah diadakan di Hotel Adamson Kuala Lumpur. Tugas teman dalam mesyuarat ini ialah memilih calon-calon yang layak untuk ditempatkan di sekolah-sekolah SRK dan KAA di daerah Lipis. Antara syarat-syarat yang perlu ada pada setiap pemohon ialah mendapat keputusan cemerlang 5A/7A, 4A1B/6A1B dan 3A2B dalam peperiksaan UPSR serta mengambil peperiksaan berkenaan di dalam negeri Pahang. Calon juga mestilah warga negara Malaysia.
Di daerah Lipis terdapat dua buah sekolah SRK iaitu SMK Clifford dan SMK Seri Lipis. Kelas Aliran Agama (KAA) juga ditawarkan di kedua-dua sekolah ini. Selain itu, KAA juga ditawarkan di SMK Kuala Lanar.



SMK Clifford merupakan antara sekolah tertua di daerah Lipis. Pada 15 Disember ini, akan berlangsung Sambutan 100 Tahun sekolah tersebut. Kapasiti pelajarnya ialah 878 orang dan jumlah gurunya 94 orang. Bagi pengambilan pelajar Tingkatan 1, lima kelas telah disediakan. 2 kelas Aliran Agama dan 3 kelas aliran biasa. Jumlah pelajar yang boleh diambil bagi setiap sesi persekolahan ialah seramai 175 orang dengan mengambil kira jumlah pelajar bagi setiap kelas ialah 35 orang. Namun, jumlah permohonan ke sekolah ini sentiasa melebihi daripada jumlah yang ditetapkan. Oleh itu, sebahagiannya terpaksalah ditempatkan di SMK Seri Lipis. Tindakan ini sering mengundang ketidakpuasan hati pelajar dan penjaga. Ini mungkin disebabkan tanggapan bahawa SMK Clifford merupakan sekolah terbaik dalam daerah Lipis. 
Teman sangat berharap agar semua pelajar dan penjaga menerima keputusan yang dibuat ini dengan hati yang terbuka. Apa guna kita bersekolah di SMK Clifford jika terpaksa bersesak-sesak di dalam satu kelas hingga menimbulkan ketidakselesaan untuk belajar. Guru-guru juga akan merasa terbeban kerana terpaksa memberi perhatian kepada ramai pelajar. Situasi ini, sudah tentulah sedikit sebanyak akan menjejaskan prestasi pelajar-pelajar.


SMK Seri Lipis ditubuhkan pada tahun 2001. Pada usia yang masih muda ini, SMKSL dalam proses memantapkan  reputasi serta jatidiri mereka. Untuk dibandingkan dengan SMK Clifford tentulah tidak adil bagi sekolah ini. Namun potensi besar yang sedang membugar pasti membolehkan sekolah ini merealisasikan matlamat penubuhannya. Hari ini jumlah pelajarnya cuma 384 orang, namun seiring dengan kecemerlangan yang bakal dijana nanti jumlah ini diharapkan bakal menyamai jumlah pelajar SMK Clifford. Kepada pentadbir serta warga SMK Seri Lipis, bangkitlah dan buktikan kemampuan anda semua. Insyaallah, teman akan membantu sedaya yang mungkin atas kapasiti teman sebagai Penolong PPD Pengurusan Sekolah Menengah yang mencakupi tugas-tugas menempatkan guru-guru dan pelajar-pelajar ke sekolah ini. I believe this school has a successful future.



SMK Kuala Lanar ialah sekolah harian biasa. Namun di sini telah diwujudkan Kelas Aliran Agama (KAA) oleh Sektor Pendidikan Islam. Oleh kerana berada di sekolah harian biasa, maka pelajar-pelajar yang memiliki keputusan cemerlang tidak berminat untuk bersekolah di sini. Seringkali juga pelajar yang ditempatkan di sekolah ini datang ke PPD untuk membuat pertukaran ke SMK Clifford atau SMK Seri Lipis. Apabila permohonan mereka tidak dipenuhi, ada yang mengambil keputusan untuk bersekolah di sekolah harian biasa yang lain. Kepada semua pelajar yang ditawarkan ke sekolah ini, diharapkan terimalah tawaran tersebut kerana di mana sahaja kita belajar jika bersungguh-sungguh insyaallah pasti akan berjaya. Kejayaan seseorang bukan ditentukan di mana dia belajar tetapi bagaimana dia belajar.


MUSTAHAK

KEPUTUSAN PENEMPATAN BOLEH DIKETAHUI MULAI
16 DISEMBER 2013

SEMAKAN KEPUTUSAN BOLEH DIBUAT MENERUSI LAMAN WEB

www.spspahang.com

Jika menghadapi kesulitan bolehlah berhubung dengan 
Pejabat Pendidikan Daerah Lipis

Kepada yang tidak berjaya atau terlupa memohon menerusi online, bolehlah membuat rayuan di PPD Lipis. Namun perlu diingatkan bahawa tawaran bagi pelajar-pelajar yang membuat rayuan hanya akan dipertimbangkan selepas 2 minggu sekolah dibuka. Ini bagi menentukan jumlah kekosongan yang masih ada di sekolah-sekolah SRK terbabit.

MUKTAMAD

Keputusan penempatan pelajar-pelajar ke SRK dan KAA ini adalah muktamad. Oleh itu, teman berharap sangat tidak ada mana-mana ibu bapa / penjaga datang menemui teman untuk menukar sekolah anak-anak mereka. Namun, teman tidak boleh menghalang jika ibu bapa / penjaga ingin membuat rayuan. Surat rayuan boleh dihantar terus kepada Unit Menengah Jabatan Pendidikan Pahang.


PENEMPATAN 2014
(Berdasarkan Mesyuarat pada 10 hingga 12 Disember 2014 di Hotel Adamson Kuala Lumpur)

SEKOLAH
JUMLAH KELAS
KAPASITI PELAJAR
PENGISIAN
JUMLAH
SRK
KAA
SMK CLIFFORD
5
175
116
89
205
SMK SERI LIPIS
3
105
52
49
101
SMK KUALA LANAR
1
35

24
24
JUMLAH
9
315
168
162
330

No comments: