Pages

Friday, August 9

Beraya di kampung 2

Kepada seluruh warga pendidikan daerah Lipis serta sesiapa sahaja yang terlanjur melayari laman blog ini, teman sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Jika terdapat tingkah laku serta tutur kata teman yang menyinggung perasaan, tolong maafkan. Sesungguhnya, teman tak pernah berniat untuk menimbulkan kemarahan atau mengecewakan sesiapa. Namun, apakan daya kadang-kadang tugas ini memaksa teman menjadi begitu.  

Hari raya pertama teman tak ke mana-mana. Selepas solat sunat hari raya, teman terus pulang ke rumah melayan kanak-kanak datang beraya. Sebelah petang teman sekadar berkunjung ke rumah kakak-kakak teman yang tak berapa jauh dari rumah mak dan ayah teman.

Sempat lagi anak-beranak nie berposing. Anak bongsu teman tu dah mula buat muka Incredible Hulk. Dia memang tak suka bergambar. Kalau dipaksa mulalah buat muka macam-macam.

Budak-budak nie, pagi-pagi lagi dah datang beraya. Air batu pun teman tak sempat nak beli lagi. Teman tanya anak siapa? kut-kut teman kenal mak ayah dia orang. Sorang pun teman tak kenal. Katanya dia orang datang dari kampung Bukit. Emm...kat mane ya, kampung Bukit nie? Tak ape engkorang makanlah dulu kuih-muih yang ada kat atas meja tu, lepas nie teman bagi duit raya sorang seringgit.

Pada hari raya kedua telah diadakan perjumpaan keluarga sebelah ayah di rumah Mak Jang teman yang terletak di Kampung Bukit Wang, Jitra Kedah. Tahun lepas perjumpaan ini diadakan di rumah ayah teman, so...tahun nie giliran rumah ahli keluarga yang lain pula.

Seperti selalu, untuk mengumpul semua ahli keluarga yang besar ini memang sukar. Maklumlah ada yang terpaksa beraya kat rumah mentua di tempat lain. Walau bagaimana pun bagi ahli keluarga yang boleh datang, datanglah. Inilah satu-satunya peluang untuk kita mengenal ahli keluarga. Nak harapkan kita berkunjung ke setiap rumah, barangkali tak termampu nak kita buat. Emm...dua orang yang duduk di hadapan teman tu ialah mak dan ayah teman. Ayah teman dah berumur 78 tahun, manakala mak teman pula berumur 76 tahun.

Jarang-jarang berjumpa nie banyaklah perkara yang nak dibualkan. Yang baju purple sebelah kiri tu ialah Tok tiri teman. Barangkali umurnya sama tua dengan umur ayah teman. Emm...nampaknya arwah Tok Wan dulu kahwin dengan isteri muda yang sebaya dengan ayah teman. Dulu-dulu kahwin dua nie, perkara biasa. Sekarang nie, jangan buat pasal la...

Semoga perjumpaan keluarga seperti ini akan diadakan sampai ke generasi seterusnya. Insyaallah, selagi ada peluang teman akan berusaha untuk hadir. Tahun depan rasanya teman kena beraya kat Lipis pula. Tak apa, teman tak ada pun program baik seperti ini perlu diteruskan. 

Awal pagi hari raya keempat, kami bertolak balik ke Lipis. Saja bertolak awal pagi dengan harapan tak tersangkut dalam jem. Sehingga ke RnR Dataran Sungai Perak nampak ok sahaja. Cuma papan maklumat elektronik kat tepi lebuh raya ada memaklumkan traffic bergerak perlahan dari Simpang Pulai ke Gua Tempurung. Apa-apa pun singgah dululah kat RnR untuk isi perut dan minyak kereta, mana tau kut-kut tersangkut dalam jem berjam-jam nanti.

Ketika menghampiri Simpang Pulai, kereta sudah mula perlahan dan kadang-kadang terhenti terus. Melihat keadaan akan semakin teruk, teman buat keputusan untuk ikut jalan Cameroon Highlands. Sebenarnya teman jarang ikut jalan nie sebab anak bongsu teman tu tak tahan kalau jalan bengkang-bengkok. Mulalah dia nak muntah. Namun dalam keadaan ini terpaksa jugalah ikut jalan tersebut. Alhamdulillah, perjalanan melalui Cameroon berjalan lancar, cuma jem sikit je kat Kia Farm. Sekitar jam 4.00 petang kami sampai di Sungai Koyan. Anak bongsu teman pun tak muntah sebab sepanjang perjalanan dia tidur dan hanya terjaga apabila kami berhenti untuk makan nasi ayam Gemas di Sungai Koyan.

Kepada isteri dan anak-anak, terima kasih banyak-banyak kerana sudi pulang berhari raya di Kedah. Yalah, kalau boleh semua orang ingin berhari raya di kampung sendiri tetapi malangnya kita tidak boleh berada di dua lokasi pada satu masa yang sama. Maka pilihan terpaksa dibuat. Hakikat bahawa kalian telah memilih untuk mendengar takbir pertama hari raya nun jauh di utara sungguh mengharukan perasaan. Terima kasih.

No comments: