Semalam (Selasa 16 April), teman menggantikan Tuan PPD ke Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 P.078 Cameron Highlands. Mesyuarat diadakan di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands. Dalam mesyuarat itu, Pegawai Pengurus, Dato' Haji Ahmad (Pegawai Daerah) meminta kerjasama PPD untuk memastikan pihak sekolah yang terbabit sebagai pusat mengundi memberi kerjasama sepenuhnya kepada Ketua Pusat Mengundi (KPM) agar proses pilihan raya berjalan lancar. Antaranya ialah memastikan bilik darjah yang akan digunakan nanti dikosongkan dan dibaiki sebarang kerosakan terutama lampu dan kipas. Pintu pagar sekolah hendaklah dibuka selewat-lewatnya pukul 7.30 pagi kerana proses pengundian akan bermula tepat jam 8.00 pagi. Pengetua dan Guru Besar hendaklah memastikan pejabat sekolah dibuka bagi membolehkan KPM menggunakan kemudahan telefon dan sebagainya. Emm...tahun ni teman tak terlibat sebagai petugas pilihan raya. Bolehlah ronda-ronda melihat gelagat pengundi.
Sempat juga snap gambar sebelum balik. Cantik betul pokok bunga depan pintu masuk Pejabat Daerah dan Tanah Cameron nie.
Ketika menghidupkan telefon sejurus bangun tidur pagi tadi, teman dapati ada 2 message masuk. Satu message pada pukul 10.52 malam dan satu lagi pada pukul 1.32 pagi. Oleh kerana tidur awal, teman tak perasan Kedua-dua message tersebut. Message pertama oleh Tuan PPD dan message kedua oleh Tuan Timbalan PPD. Kedua-dua masage itu meminta teman menghadiri satu majlis di PICC Putrajaya pada pukul 10.00 pagi. Waktu itu dah pukul 5.30 pagi. Hai...rasa-rasa sempat ke teman berkejar ke Putrajaya nie? Dalam duk timbang-timbang tu, orang umah teman kata 'sempat lagi ni kalau bertolak sekarang'. Mendengar kata-kata semangat tu, teman terus bergegas mandi dan pakai baju (nasib baik baju dah gosok semalam). Kebetulan subuh dah masuk, terus solat dan pekena nescaffe secawan dan terus bergerak ke Putrajaya. Alhamdulillah...teman sampai ke PICC tepat jam 9.30 pagi. Ketika melangkah masuk ke Dewan A, hadirin baru selesai menyanyikan lagu 'Negaraku'.
Majlis yang teman hadiri ini ialah Perjumpaan khas Transformasi Minda Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2015. Majlis ini turut dihadiri YBhg Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan Dato' Mazlan, Pengarah BPSH. Intipati penting yang hendak disampaikan dalam majlis ini ialah peranan yang wajib dimainkan oleh semua PPD bagi memastikan PPPM dilaksanakan dengan jayanya. Semua PPD mestilah faham, menghayati dan bertekad untuk melaksanakannya.
Dalam ucapan Tan Sri juga, beliau mengharapkan guru-guru tidak terlibat secara aktif berkempen untuk pilihan raya yang akan datang ini. lahirkan sokongan kita kepada mana-mana parti hanya melalui peti undi sahaja. Tak perlulah bersusah payah memanjat tiang telefon untuk menggantung bendera. Dalam SKT kita tak ada dinyatakan tugas-tugas tersebut. Berilah tumpuan sepenuhnya kepada usaha untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar kita. Kisah seorang guru menghina anggota keselamatan yang bertugas mempertahankan negara di Lahad Datu adalah contoh 'kegagalan' menjadi guru terbaik. Bolehkah kita mengharapkan guru seperti ini untuk menjayakan PPPM?
YBhg. Tan Sri Abd Ghafar Mahmud bersalaman dengan hadirin sebelum meninggalkan majlis. Syahdu juga teman bila Tan Sri tanya 'Li dari mana?' Walaupun teman tahu dia membaca name tag teman, namun itulah besarnya pengaruh 'nama' apabila disebut secara 'mesra'. Teringat teman semasa bermesyuarat di Intekma Resort Shah Alam 14 tahun yang lalu. Sejurus selepas mendaftar, tiba-tiba seseorang menanya teman dari belakang 'Li dah minum?'. Bila berpaling teman lihat seseorang yang tidak dikenali. Bila mesyuarat bermula, dan dia mempengerusikan mesyuarat, baru teman tahu bahawa beliau ialah Ketua Penolong Pengarah PSPN Selangor. Teman tahu beliau membaca nama teman di borang pendaftaran. Hakikatnya, menyebut nama seseorang adalah PENTING.
No comments:
Post a Comment