Pages

Friday, September 7

Jemputan Hari Raya

Semalam, saya cuba memenuhi semua jemputan ke Program Sambutan Hari Raya Aidil Fitri di sekolah-sekolah. Ada 4 jemputan yang saya terima. Jemputan ke SMK Kerambit, SK Limau Purut, SK Tanjung Besar dan SK Kuala Telang. Kalau nak diikutkan kenyang, memang dah kenyang. Padan pergi satu sekolah sahaja. Namun, oleh kerana Pengetua dan Guru Besar sendiri yang telefon untuk jemput hadir ke sekolah mereka, maka saya usahakan juga hadir ke sekolah-sekolah tersebut. Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang telah menjemput saya. Kepada sekolah-sekolah yang saya tidak dapat hadir, jutaan kemaafan saya pohon. Pada tarikh-tarikh jemputan tersebut saya terpaksa menghadiri mesyuarat di JPN Pahang.

Emm...banyak betul menu yang disediakan di SMK Kerambit nie. Rambang mata nak pilih mana satu. Dato' Mustafa Long, Pegawai Khas Menteri Besar juga turut hadir bersama. 

Program dua dalam satu di SK Limau Purut. Gotong-royong PIBG dan Jamuan Hari Raya. Tahniah kepada Guru Besar baharu, Puan Zaini binti Taibi kerana berjaya mengumpul ahli-ahli PIBG untuk melaksanakan kedua-dua program ini.

Ustaz Ahmad Saifulzaman, Penyelia Kanan Agama Islam sedang berbual-bual dengan murid-murid asli yang bersekolah di SK Limau Purut. Baik betul budak-budak nie, tertib je ketika makan.

Walaupun dah agak lewat ketika sampai di SK Tanjung Besar, namun rezeki masih ada. Lemang, sate dan nasi impit masih banyak di atas meja. Cuma perut sahaja yang sudah agak kekenyangan. Apa-apa pun terima kasih kepada En. Abdul Manaf bin Mat, Guru Besar SK Tanjung Besar kerana dua kali menelefon saya agar tidak lupa tentang program di sekolah beliau itu.

Jamuan Hari Raya di SK Kuala Telang diadakan sebelah malam. Walaupun dibuat pada waktu malam, namun sambutan tetap meriah. Ramai orang kampung turut hadir. Tetamu istimewa pada malam ini ialah YB Dato' Abdul Rahman bin Haji Mohamed, ADUN Padang Tengku.

Bagi menggalakkan murid-murid hadir dengan pakaian yang menarik, pertandingan pakaian tercantik telah diadakan. Patut la waktu saya sampai di SK Kuala Telang murid-murid bukan main lagi melaram dengan baju raya masing-masing.

Kalau nak diikutkan memang tak sempat nak menghadiri sambutan hari raya di SK Relong yang diadakan pada 14 September yang lalu. Selepas out station dua hari, memang bertimbunlah surat atas meja. Namun setelah ada sedikit ruang selepas menyiapkan surat-surat berkaitan ujian saringan SISP, dapat jugalah saya berkejar ke SK Relong.

No comments: