Pages

Sunday, September 4

Raya tahun ini...

Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua pengunjung laman blog ini. Walaupun saya tidak mengenali anda semua, namun kehadiran anda semua sebetulnya telah memberi sokongan kepada saya untuk terus menulis di laman ini. Memang tidak dapat dinafikan, jawatan baru yang telah diamanahkan kepada saya ini benar-benar memenatkan. Saya semakin kesuntukan masa untuk menulis di ruangan ini. Namun, bila melihat jumlah pelawat semakin meningkat, timbul rasa tanggungjawab di dalam diri saya untuk sentiasa mengemaskinikan laman blog ini.

Aidilfitri tahun ini, ke mana anda semua pulang beraya? Bagi yang bujang tentu tiada masalah tetapi bagi yang berkeluarga tentu jenuh duk undi. Ada yang buat-buat terlupa giliran rumah siapa. Apa-apapun dalam menyambut hari yang mulia ini, eloklah kita berkompromi. Tak guna kita sorang sahaja yang bergembira sedangkan suami atau isteri kita bersedih mengingatkan emak dan ayahnya kat kampung. Kalau dah terpaksa buat giliran, buatlah dengan adil. Kalau boleh balik kedua-dua rumah lagi baik.

Tahun ini giliran saya beraya kat Pahang. Kira ok la...dapat juga berjumpa dengan semua ipar dan biras. Program pada hari raya tu tak banyak sangat, selepas sembahyang sunat hari raya kami mengadakan majlis bermaaf-maafan dan bergambar. Selepas menjamah juadah hari raya, kami menziarahi kubur arwah bapa mentua saya di Kampung Salang. Lepas siap membaca tahlil ringkas kami mengunjungi rumah saudara mara terdekat.

Isteri saya bergambar bersama emak, kakak dan adik-adiknya. Seorang lagi kakah ipar saya tiada dalam gambar ini. Beliau beraya bersama suaminya di Raub.

Ruzaini Imran dan Ikhwan Hariz bersama-sama sepupu mereka. ( kepada arwah Zaman...sepupu mereka yang telah kembali kerahmatullah pada minggu pertama Ramadan, semoga rohmu sentiasa dicucuri rahmat tuhan )

Mulanya saya ingat tak nak balik, namun memandangkan cuti yang agak panjang dan kerinduan kepada emak dan ayah (dah hampir 9 bulan tak jumpa mereka) maka selepas Asar hari raya pertama tu, bertolak baliklah saya ke Kedah. Perjalanan dari Kuala Lipis ke Kedah memakan masa hampir 9 jam. Hem...memang letih tak terkira la. Pukul 2.20 pagi baru la kami sampai ke rumah mak dan ayah saya. Kesihan mereka terpaksa bangun tengah malam untuk membuka pintu. Namun, dari air muka mereka berdua, nampak sungguh mereka begitu gembira dengan kepulangan saya dan keluarga.

Keesokan harinya, saya mengambil peluang mengunjungi perhimpunan hari raya keluarga besar Ismail & Hawa ( itu nama Tok dan Tok Wan saya sebelah ayah ). Perhimpunan ini diadakan atas inisiatif Datuk Dr. Azmi Hashim ( sepupu saya, sekarang dia bertugas sebagai Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka ). Perhimpunan ini telah diadakan pada setiap tahun iaitu pada hari raya kedua. Tahun ini lokasinya di rumah Wa saya, tahun depan rasa-rasanya di rumah ayah sayalah pula.

Yang bagusnya dalam perjumpaan ini ialah semua bapa dan emak saudara turut hadir. Wa, Pak Ngah, Mak Tam, Mak Teh, Pak Cik, Mak Dak dan Pak Su semua hadir. Seorang sahaja yang tak pernah hadir, iaitu ayah saya. Sepupu-sepupu saya panggilnya Pak Lang. Selepas diserang 'stroke' sejurus pulang daripada mengerjakan ibadah haji pada tahun 2002, tingkah laku ayah saya telah berubah. Dia tidak lagi suka bersosial sebaliknya lebih suka menyendiri. Dunianya hanya sawah dan rumah sahaja. Atas sebab itulah, maka hati saya begitu teruntun untuk pulang beraya di kampung. Kepada isteriku...terima kasih kerana memahami.

No comments: