Pages

Thursday, September 8

Penyerahan Bangunan Baru PPD Lipis

Pagi tadi (8 Sept) telah berlangsung acara ringkas penyerahan bangunan baru Pejabat Pelajaran Daerah Lipis yang terletak di belakang SMK Setiawangsa. Penyerahan replika kunci oleh Jurutera Daerah kepada Timbalan PPD Lipis menjadi tanda rasmi proses penyerahan tersebut. Bermula pada tarikh hari ini, maka keseluruhan bangunan ini menjadi tanggungjawab PPD Lipis untuk menguruskannya.


Encik Hamdan Harun, Timbalan PPD Lipis mewakili Pejabat Pelajaran Daerah Lipis menerima replika kunci daripada Y.M. Tengku Nizam bin Tengku Ismail, Jurutera Daerah Lipis.

Kedudukan di atas bukit yang dapat dilihat dari dua jalan iaitu jalan ke bandar Lipis dan jalan bypass ke Padang Tengku, memberi gambaran tentang keutamaan dan peranan besar yang bakal dimainkan oleh PPD Lipis bagi menjulang kecemerlangan pendidikan di daerah ini. Bagi warga pendidikan daerah Lipis, berbanggalah dengan mercu tanda baru ini. Ia milik kita semua, marilah kita sama-sama menggembling khudrat bagi merealisasikan visi dan misi yang telah kita tetapkan.

Monday, September 5

Jamuan Raya di SK Penjom

Sepanjang bulan Syahwal ni memang banyaklah majlis jamuan hari raya diadakan di sekolah-sekolah. Sebagai pegawai di PPD, kenalah kami memenuhi undangan-undangan daripada pihak sekolah. Kadang-kadang tu sampai dua tiga sekolah dalam satu hari. Tahun ni nampaknya SK Penjom menduduki senarai pertama menganjurkan majlis jamuan hari raya. Yang bestnya tentang majlis ini ialah ianya diadakan secara joint venture dengan SJK (Cina) Penjom. Nampak betul semangat 1Malaysia cuba diterapkan dalam kalangan murid-murid. Tahniah buat SK Penjom dan SJK (Cina) Penjom.


Guru Besar SK Penjom, En. Rosmi Mohd Din (baju kuning) sedang memperkatakan sesuatu kepada En. Hamdan Harun, Timbalan PPD Lipis.

Banyak weh juadah deme...laksa penang, nasi impit, rojak buah dan kuih-muih. Kuih bulan tak nampak pula...he3x

Ramai juga jemputan yang hadir.

Sunday, September 4

Raya tahun ini...

Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua pengunjung laman blog ini. Walaupun saya tidak mengenali anda semua, namun kehadiran anda semua sebetulnya telah memberi sokongan kepada saya untuk terus menulis di laman ini. Memang tidak dapat dinafikan, jawatan baru yang telah diamanahkan kepada saya ini benar-benar memenatkan. Saya semakin kesuntukan masa untuk menulis di ruangan ini. Namun, bila melihat jumlah pelawat semakin meningkat, timbul rasa tanggungjawab di dalam diri saya untuk sentiasa mengemaskinikan laman blog ini.

Aidilfitri tahun ini, ke mana anda semua pulang beraya? Bagi yang bujang tentu tiada masalah tetapi bagi yang berkeluarga tentu jenuh duk undi. Ada yang buat-buat terlupa giliran rumah siapa. Apa-apapun dalam menyambut hari yang mulia ini, eloklah kita berkompromi. Tak guna kita sorang sahaja yang bergembira sedangkan suami atau isteri kita bersedih mengingatkan emak dan ayahnya kat kampung. Kalau dah terpaksa buat giliran, buatlah dengan adil. Kalau boleh balik kedua-dua rumah lagi baik.

Tahun ini giliran saya beraya kat Pahang. Kira ok la...dapat juga berjumpa dengan semua ipar dan biras. Program pada hari raya tu tak banyak sangat, selepas sembahyang sunat hari raya kami mengadakan majlis bermaaf-maafan dan bergambar. Selepas menjamah juadah hari raya, kami menziarahi kubur arwah bapa mentua saya di Kampung Salang. Lepas siap membaca tahlil ringkas kami mengunjungi rumah saudara mara terdekat.

Isteri saya bergambar bersama emak, kakak dan adik-adiknya. Seorang lagi kakah ipar saya tiada dalam gambar ini. Beliau beraya bersama suaminya di Raub.

Ruzaini Imran dan Ikhwan Hariz bersama-sama sepupu mereka. ( kepada arwah Zaman...sepupu mereka yang telah kembali kerahmatullah pada minggu pertama Ramadan, semoga rohmu sentiasa dicucuri rahmat tuhan )

Mulanya saya ingat tak nak balik, namun memandangkan cuti yang agak panjang dan kerinduan kepada emak dan ayah (dah hampir 9 bulan tak jumpa mereka) maka selepas Asar hari raya pertama tu, bertolak baliklah saya ke Kedah. Perjalanan dari Kuala Lipis ke Kedah memakan masa hampir 9 jam. Hem...memang letih tak terkira la. Pukul 2.20 pagi baru la kami sampai ke rumah mak dan ayah saya. Kesihan mereka terpaksa bangun tengah malam untuk membuka pintu. Namun, dari air muka mereka berdua, nampak sungguh mereka begitu gembira dengan kepulangan saya dan keluarga.

Keesokan harinya, saya mengambil peluang mengunjungi perhimpunan hari raya keluarga besar Ismail & Hawa ( itu nama Tok dan Tok Wan saya sebelah ayah ). Perhimpunan ini diadakan atas inisiatif Datuk Dr. Azmi Hashim ( sepupu saya, sekarang dia bertugas sebagai Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka ). Perhimpunan ini telah diadakan pada setiap tahun iaitu pada hari raya kedua. Tahun ini lokasinya di rumah Wa saya, tahun depan rasa-rasanya di rumah ayah sayalah pula.

Yang bagusnya dalam perjumpaan ini ialah semua bapa dan emak saudara turut hadir. Wa, Pak Ngah, Mak Tam, Mak Teh, Pak Cik, Mak Dak dan Pak Su semua hadir. Seorang sahaja yang tak pernah hadir, iaitu ayah saya. Sepupu-sepupu saya panggilnya Pak Lang. Selepas diserang 'stroke' sejurus pulang daripada mengerjakan ibadah haji pada tahun 2002, tingkah laku ayah saya telah berubah. Dia tidak lagi suka bersosial sebaliknya lebih suka menyendiri. Dunianya hanya sawah dan rumah sahaja. Atas sebab itulah, maka hati saya begitu teruntun untuk pulang beraya di kampung. Kepada isteriku...terima kasih kerana memahami.

Saturday, August 27

Lepeh Jem Weh...!

Lagi 3 hari nak raya. Nie la masanya orang ramai keluar ke bandar untuk last shoping. Bagi bandar kecil yang ada hanya satu jalan je nie, jem memang tidak dapat dielakkan. Ingat bila dah ramai yang pulang ke kampung, keadaan trafik di Kuala Lipis akan lebih tenang tetapi tidak rupanya. Anak-anak tempatan yang pulang beraya pula yang mula memenuhi jalan-jalan sempit di Kuala Lipis nie. Jadi...bersaborlah kita dalam menghadapi situasi ini. Bagi yang malas nak layan jem nie, kenalah ambil langkah-langkah pencegahan iaitu keluarlah ke bandar lebih awal dan parking kereta tu biar jauh sikit pun tak apa (ramai yang parking kat perkarangan Masjid Sultan Mahmud).

Nie pemandangan di depan komplek Alamanda. Kereta dah tak berapa nak bergerak.

Nie baru hari Sabtu...tak taulah keadaan pada hari Ahad dan Isnin nanti. Boleh jadi migrain macam nie. Nasib baik la orang umah teman ajak gi pasar pukul 6.30 pagi tadi. Idak la teman terbabit dengan jem nie.

Wednesday, August 24

Majlis Berbuka Puasa

Petang tadi, Kelab Staf PPD Lipis telah mengadakan majlis berbuka puasa. Ini merupakan acara tahunan setiap kali hadirnya Ramadan. Namun tahun ini, disebabkan bajet tak berapa menggalakkan maka ahli keluarga staf tidak dijemput. Mungkin atas sebab itulah maka beberapa orang ahli tidak dapat hadir terutama yang perempuan. Maklumlah takkan nak biar suami berbuka dengan anak-anak je kut. Silap haribulan mau tak berbuka budak-budak tu. Apa-apa pun tahniahlah kepada AJK Kelab Staf kerana masih mampu mengadakan majlis berbuka puasa ini walaupun dalam situasi kewangan yang agak gawat.


Hai... Haji Man, apa duk sengeh-sengeh lagi. Jangan bior ke Naza dengan Ustaz Mail je duk pulun. Waktu berbuka dah nak dekat ini.

Abang Bidin & Hasrul (Fasi Linus) dah ready dah gayanya tu. Namun bawa bersaborlah ye. Rasa-rasanya setengah jam lagi nie. Yang berkumpul kat belakang tu, pakat duk berebut cendol. Cendol abang Is ni memang sedap, tapi bagi pengamal lovastatin seperti teman nie, kena la control sikit. (ubat kolestrol la tu...he3x)


Majlis berbuka puasa kali ini merupakan program dua dalam satu. Selain sebagai acara berbuka puasa bersama, majlis ini juga mengambil kesempatan bagi meraikan En. Abd Manaf bin Mat, Penyelia HEM yang telah dilantik sebagai Guru Besar SK Tanjung Besar mulai 1 Ogos.


En. Hamdan, Timbalan PPD menyampaikan hadiah daripada Kelab Staf kepada En. Abd Manaf. Harap-harap ucapan Tuan Timbalan akan sentiasa menjadi ingatan kepada Guru Besar yang baru dilantik ini. Pegawai PPD yang menjadi Guru Besar seharusnya menjadi 'role model' kepada Guru Besar-Guru Besar lain. Ini kerana, PPD sepatutnya menjadi sebuah akademi yang melahirkan bakal pemimpin dan pengurus yang berwibawa.

Saturday, August 13

Bicara seorang sahabat


Kepada kedua-dua sahabat yang telah meninggalkan PPD Lipis ini, semoga kalian memperolehi ketenangan dan kegembiraan . Percayalah bahawa, teman-teman anda di sini, akan sentiasa mendoakan kejayaan anda berdua. Di mana sahaja kita berjuang, matlamat kita tetap sama...demi memartabatkan pendidikan negara.

Monday, August 8

Ramadan di Kuala Terengganu

Dalam bulan Ramadan ni, rasanya malas nak out station. Kalau boleh hari-hari nak berbuka bersama anak-anak. Namun, apa boleh buat kalau dah terpaksa menjalankan tugas. Bermula hari ini hingga 10 Ogos ni, saya dan semua Penolong PPD Menengah Negeri Pahang berkampung di Hotel Felda Residence Kuala Terengganu untuk Mesyuarat Verifikasi Data Operasi Menengah (OPMEN). Turut hadir bersama dalam mesyuarat ini ialah Fasilitator OPMEN Daerah. Tapi dalam tak suka out station tu, teruja juga nak merasai suasana sambutan Ramadan di Terengganu ni.


Nasib baiklah mantan Penolong PPD (Men) Pejabat Pelajaran Daerah Lipis, En. Rahmin bin Mahasan turut hadir. Dapatlah juga saya menimba sedikit sebanyak ilmu daripada beliau.


Bergambar bersama-sama Penolong PPD Menengah dan Fasilitator-Fasilitator OPMEN di hadapan Hotel Felda Residence

Sementara menanti waktu berbuka, kami meluangkan masa melawat bazar Ramadan Kuala Terengganu. Macam kat Kuantan jugalah, macam-macam juadah boleh didapati kat sini. Bila dengar kerajaan akan bagi bonus setengah bulan gaji...hem makin sedap la berbelanja.

Terliur betul tengok ayam golek ni. Lama dah berhajat nak beli. Kat Jerantut seekor RM20.00, kat sini tak tau la...malas nak tanya, nanti dia ingat nak beli pula.



Kesempatan bermesyuarat di Kuala Terengganu ini juga digunakan untuk meraikan dua orang bekas Penolong PPD Menengah yang telah berubah posisi. En. Rahmin, PPPDM Lipis bertukar ke PPD Kuantan dan En. Sanusi, PPPDM Temerloh bertukar menjadi Guru Penolong Kanan.


Bergambar kenang-kenangan dengan dua orang bekas Penolong PPD Menengah, En. Rahmin dan En. Sanusi

Wednesday, August 3

Bazar Ramadan Kuantan

Waktu post ini dipublishkan saya berada di bilik 217, Hotel LA Exclusive Kuantan. Pagi tadi saya menghadiri taklimat kemasukan murid Tingkatan 1 dan 4 ke Sekolah Berasrama Penuh. Taklimat telah diadakan di SK Tunku Azizah Kuantan. Besok pula saya terpaksa menghadiri Mesyuarat Panel Penempatan Guru-Guru Tingkatan 6 di Jabatan Pelajaran Pahang. Memandangkan agak letih untuk balik ke Lipis dan datang pula keesokannya, saya mengambil keputusan untuk bermalam sahaja di Kuantan. Nampaknya, petang ni kenalah berbuka puasa seorang diri. Nasib baiklah Hotel LA ni berdekatan dengan bazar ramadan yang terletak di perkarangan Stadium Darul Makmur Kuantan. Pukul 5.00 petang saya turun dari hotel berjalan kaki menuju ke bazar tersebut yang terletak lebih kurang 400 meter sahaja. Dalam ramai-ramai orang tu berjumpa juga dengan orang Lipis, En. Mohamed Zakaria, bekas Guru Besar saya dahulu ketika mengajar di SK Penjom. Dia dah lama pencen.

Tercabar betul melihat juadah-juadah yang dijual di bazar ramadan ni.

Nampaknya bukan orang Islam sahaja yang sibuk membeli juadah untuk berbuka, kaum-kaum lain pun turut memeriahkan bazar ramadan Kuantan nie. Maklumlah setahun sekali baru berjumpa dengan pesta makanan beraneka jenis nie.

Banyak sangat menu, tak tau nak pilih yang mana. Akhirnya belilah nasi minyak dengan ayam goreng RM3.50. Tengok kepada eksesorinya macam ok je. Tunggu waktu berbuka la nak tau sedap ke tak sedap.