Pages

Tuesday, March 23

Special Constable (SC)

Ini ayah saya, Haji Abd Hamid bin Ismail. Beliau dilahirkan pada tahun 1935 di Sungai Korok, Kedah. Gambar ini diambil pada 29 Ogos 1956 ketika beliau bertugas sebagai Polis Khas atau Special Constable (SC) di Karangan, Kulim. SC ialah pasukan khas yang ditubuhkan oleh pihak British untuk mengawal kepentingan-kepentingan mereka di Tanah Melayu. Pada masa darurat, pihak komunis menjadikan kepentingan-kepentingan British sebagai sasaran mereka. Tugas SC ialah mengawal ladang-ladang, kawasan penempatan semula (kampung baru) dan projek pembinaan jalan. Selepas negara merdeka, pasukan ini telah dibubarkan dan anggota-anggotanya telah diserap ke unit-unit lain dalam pasukan polis. Ayah saya telah berhenti daripada SC dan pulang ke kampung untuk menjadi seorang petani.

Anggota SC sedang mengawal

Serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 yang menyebabkan 17 orang anggota polis terbunuh adalah bukti kekejaman komunis.

Monday, March 22

Tokoh Guru 2007

Pagi tadi, saya dan beberapa orang kawan keluar minum di Batu 6, Penjom. Kebetulan hari ini pekan sehari di situ. Ramai juga orang-orang lama yang masih kenal dengan saya walaupun sudah hampir 10 tahun saya meninggalkan Sekolah Kebangsaan Penjom. Salah seorang yang saya temui ialah Tuan Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Rahman. Semasa saya mengajar di Sekolah Kebangsaan Penjom beliau merupakan Imam Masjid dan Wali Hakim bagi mukim Penjom. Hari ini beliau sudah agak uzur, mungkin kerana umurnya yang sudah lanjut. Walau bagaimana pun beliau masih bertenaga untuk berjalan dan daya ingatannya juga sangat kuat. Beliau masih kenal dengan saya dan tahu di mana saya bertugas. Tuan Haji Abdul Hamid adalah bekas seorang ustaz. Beliau telah mengajar di beberapa buah sekolah sebelum bersara. Pada tahun 2007, beliau telah dinobatkan sebagai Tokoh Guru Daerah Lipis. Sayalah orang yang dipertanggungjawabkan untuk menyiap klip video tentang perjalanan hidup beliau. Klip video itu telah ditayangkan pada majlis Sambutan Hari Guru 2007 yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Kuala Lipis.


Klip Video ni saya buat dengan menggunakan Adobe Premiere Pro 1.5. Sebenarnya saya bukanlah mahir sangat membuat klip video ini tetapi dengan tunjuk ajar sahabat saya, En. Wan Zohairi (waktu itu beliau adalah Penyelaras PKG Benta) maka dapatlah saya hasilkan klip video yang tidak sepertinya ini. Kepada Tuan Haji Abdul Hamid kita doakan semoga dipanjangkan umur dan diberi kesihatan yang baik.

Wednesday, March 17

Russian Roulette

Malam semalam, ketika ralit menikmati nescaffe panas di dapur, kedengaran lagu 'Russian Roulette' nyanyian Rihanna, mungkin dari channel MTV. Sedap juga lagu tu walaupun klip videonya agak 'daring'. Pagi tadi sementara menunggu waktu kerja bermula, saya muat turun klip video tersebut melalui YouTube dan diubah kepada mp3 supaya boleh saya dengar dalam kereta nanti. Menarik untuk menghayati lirik-lirik awal lagu tersebut
Take a breath, take it deep
Calm yourseft, he say to me
If you play, you play for keeps
Take a gun, and count to three
I'm Sweating now, moving slow
No time to think, my turn to go
And you can see my heart beating
You can see it through my chest
And I'm terrified but I'm not leaving
Know that I must pass this test
So just pull the trigger
Russian Roulette ialah permainan hidup atau mati. Secara tradisinya dimainkan oleh dua orang pemain, sepucuk pistol (revolver) dan sebutir peluru. Peluru dimasukkan ke dalam ruang selinder pistol dan diputarkan. Seorang pemain akan mengacukan pistol tersebut di kepalanya dan menarik pemetik pistol tersebut. Jika pistol tersebut tidak meletup, pemain kedua akan melakukan langkah yang sama seperti pemain pertama. Terpulang kepada pemain sama ada hendak memutar semula selinder pistol tersebut atau tidak. Permainan diteruskan sehinggalah pistol tersebut meletup dan mengorbankan salah seorang daripada mereka. Permainan ini dikenali sebagai 'Russian Roulette' kerana ia merupakan suatu legenda dalam kalangan askar-askar Russia sekitar tahun 1895 hingga 1905 untuk menunjukkan keberanian mereka.
Permainan ini agak kejam dan menggerunkan. Oleh itu, pada pendapat saya, permainan ini tidak dimainkan untuk bersuka-suka sebaliknya merupakan suatu cara untuk membuktikan sesuatu kebenaran atau menyelesaikan sesuatu masalah . Barangkali tiada cara lain lagi yang dapat difikirkan oleh mereka, maka cara yang dahsyat ini dipilih.


Lagu 'Russian Roulette' boleh di muat turun melalui ruangan Muat Turun Bahan & Borang

Monday, March 15

Book Review

Mesyuarat Pengurusan KPM Bil.19/2009 yang dipengerusi oleh YB Tan Seri KSU pada 18 November 2009, meminta kursus 7 hari diganti dengan pembacaan 7 buku ilmiah mulai tahun 2010. Setiap buku ilmiah yang dibaca perlu dibentangkan untuk dikongsi bersama, iaitu pembentangan sebuah buku adalah bersamaan dengan 1 hari kursus. Book review bermaksud memberi huraian ringkas mengenai isi buku serta penilaian tentang kekuatan dan kelemahan isi buku kepada masyarakat umum. Objektif pelaksanaan kaedah ini bagi melengkapkan kursus LDP secara school based di sekolah adalah untuk menyemai budaya membaca, berkongsi ilmu pengetahuan, meningkat profesionalisme keguruan dan memartabatkan profesion perguruan. Buku-buku yang dibaca hendaklah berfokus kepada 3 bidang iaitu :

1. Pengetahuan Profesionalisme (60%)
Ilmu pengetahuan pendidikan dan mata pelajaran
Kandungan dan kaedah pedagogi
Pengurusan kurikulum
Kreativiti dan inovasi pedagogi
2. Kemahiran Profesionalisme (20%)
Kejurulatihan
Penulisan ilmiah
Kajian dan penyelidikan ilmuah
Kepimpinan
Pengurusan Kewangan
Pengurusan Strategik
3. Amalan dan Nilai Profesionalisme Keguruan (20%)
Nilai dan etika
Komunikasi berkesan
Soft skills

Setiap buku ilmiah yang hendak dibaca itu mestilah mengandungi sekurang-kurangnya 50 halaman. Ulasan buku mestilah merangkumi 3 aspek iaitu sinopsis, pengajaran yang diperolehi dan aplikasi ilmu dalam organisasi. Kehadiran untuk mendengar pembentangan-pembentangan ulasan buku ini selama 6 jam akan dinilai sebagai 1 hari berkursus.

Sunday, March 14

Kebakaran Rumah Guru

(Gambar dari Utusan Malaysia, Sabtu 6 Mac 2010)
Pada 5 Mac yang lalu, sebuah rumah yang dimiliki oleh guru SMK Seberang Temerloh, Encik Ahmad Omar telah terbakar menyebabkan beliau dan isteri serta lima orang anak tinggal sehelai sepinggang. Encik Ahmad yang baru pulang dari sekolah, bagaimanapun bersyukur kerana isterinya dan anak-anak yang berada di tingkat bawah rumah tersebut dapat menyelamatkan diri. Warga PPD Lipis melahirkan rasa sedih yang menimpa ke atas keluarga Encik Ahmad telah melancarkan kutipan derma. Derma yang diperolehi itu telah disampaikan kepada Encik Saruchi b. Sawal, Ketua Unit Perhubungan dan Pendaftaran, Jabatan Pelajaran Pahang. Menurut En. Saruchi, derma warga PPD Lipis itu telah disampaikan kepada Encik Ahmad oleh En. Jaafar bin Idris, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan.

Gambar yang dihantar oleh En. Saruchi menunjukkan En. Jaafar sedang menyampaikan derma warga PPD Lipis kepada En. Ahmad. Semoga En. Ahmad sekeluarga tabah dalam menghadapi dugaan ini.

Wednesday, March 10

Keputusan SPM 2009

Hari ini keputusan SPM 2009 diumumkan. Alhamdulillah daerah Lipis telah dapat memperbaiki kedudukan berdasarkan GPS. Tahun 2008, Lipis berada di kedudukan ke-9, tahun ini kedudukannya lebih baik iaitu di kedudukan ke-6 dalam negeri Pahang.

Ranking Sekolah-Sekolah Daerah Lipis Berdasarkan GPS
1. SMK Clifford (3.26)
2. SMK Seri Lipis (4.14)
3. SM Teknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis (4.54)
4. SMK Kuala Lanar (4.82)
5. SMK Panglima Garang Abdul Samad (5.05)
6. SMK Setiawangsa (5.15)
7. SMK Chung Hwa (5.20)
8. SMK Merapoh (5.64)
9. SMK Kerambit (5.71)
10. SMK Padang Tengku (5.97)
11. SMK Orang Kaya Haji (6.29)
12. SMK Sungai Koyan (6.39)
13 SMK Benta (6.50)

Monday, March 8

Mesyuarat e-GTukar

Tuan Haji Basirun bin Abdullah Hasim, PPD Lipis sedang menyampaikan amanat beliau kepada semua Pengetua dan Guru Besar sekolah-sekolah daerah Lipis.
Pada 9 Mac 2010 telah diadakan Mesyuarat e-GTukar di Dewan Wacana Minda, Pejabat Pelajaran Daerah Lipis. Mesyuarat ini bertujuan memberi maklum kepada semua Pengetua dan Guru Besar tentang beberapa ciri penambahbaikan yang terdapat pada sistem e-GTukar versi terkini ini. Sebelum itu, Pegawai Pelajaran Daerah Lipis yang baru, Tuan Haji Basirun bin Abdullah Hasim telah menyampaikan ucaputama beliau. Beliau telah mengambil kesempatan pertama kali bertemu dengan semua Pengetua dan Guru Besar ini untuk menerangkan tentang harapan dan perancangan yang akan beliau cuba laksanakan di Lipis. Ucapan selama sejam itu, dipenuhi dengan cerita pengalaman dan kejayaan yang telah beliau tempuhi sebelum sampai ke PPD Lipis. Harapan beliau, kejayaan-kejayaan yang diperolehi sebelum ini akan dapat diteruskan sepanjang beliau menerajui pendidikan di daerah Lipis ini.
Sistem e-GTukar yang terkini membenarkan 3 kategori untuk guru bertukar iaitu pertukaran antara negeri, antara daerah dan dalam daerah. Guru-guru yang boleh mohon bertukar secara on-line ini ialah guru DGA29, DGA32(KUP), DG41 dan DG44(KUP). Guru-guru yang tidak boleh mohon bertukar secara on-line pula ialah guru DGA32(Hakiki), DGA34, DGA38, DG44(Hakiki), DG48 dan JUSA. Manakala guru-guru yang tidak boleh memohon untuk bertukar ialah guru pakar/cemerlang, guru Tingkatan 6 (yang ada surat pelantikan), J-Qaf, LPBS dan guru dalam tindakan tatatertib. Permohonan pertukaran boleh mula dibuat pada 1 April hingga 25 April.

Peruntukan Guru Ganti 2010

Seperti yang semua maklum, peruntukan untuk guru ganti bagi tahun ini jauh berkurangan jika dibandingkan dengan tahun lepas atau tahun-tahun sebelum ini. Bagi sekolah rendah jumlah peruntukan yang diterima cuma 14% sahaja daripada perbelanjaan tahun lepas dan sekolah menengah pula cuma 21%. Jika guru ganti dibayar dengan tangga gaji SPM/DB17 (RM40.70) jumlah yang dibayar selama 2 bulan berkhidmat ialah antara RM1200 ke RM1300. Berdasarkan jumlah ini, saya anggarkan dengan peruntukan yang diberi, kita hanya boleh mengambil 45 orang guru ganti sahaja. Mengikut Bancian Guru Bersalin yang telah saya buat pada awal Januari yang lalu, jumlah guru yang dijangka bersalin bagi 6 bulan pertama di daerah Lipis ialah seramai 67 orang. Ini bermakna seramai 22 orang guru yang bersalin tidak dapat diganti. Keadaan ini tertentulah akan menimbulkan masalah kepada sekolah-sekolah terutama kepada sekolah-sekolah yang guru bersalinnya lebih daripada seorang. Untuk cuba mengatasi masalah ini, pihak Pejabat Pelajaran Daerah Lipis telah mengambil beberapa langkah, antaranya ialah :

1. Membayar guru ganti dengan gaji SPM sahaja (Gaji RM35.70 & ITKA RM5.00)
2. Guru J-Qaf yang bersalin tidak akan diganti
3. Sekolah yang mempunyai lebih guru tidak dibenarkan memohon guru
4. Hanya guru yang bercuti melebihi 28 hari sahaja akan diganti dan
5. Guru yang belum dilantik (masih DB atau DC) tidak akan diganti.

Kita berharap langkah-langkah yang diambil ini mendapat sokongan semua pihak demi memastikan kekosongan guru terutama bagi mata pelajaran kritikal dapat diganti. Besar juga harapan saya agar semua Pengetua dan Guru Besar memaklumkan terlebih dahulu kepada saya sebelum mengambil mana-mana guru ganti. Ini penting supaya kita tidak berbelanja melebihi had yang telah diberikan kepada kita.