Pages

Tuesday, March 2

Menara Condong Teluk Intan

Dalam perjalanan pulang dari Lumut pada 30 Nov 2009 yang lalu saya dan keluarga singgah di Teluk Intan untuk melihat Menara Condong. Oleh kerana kedudukannya di tengah-tengah bandar Teluk Intan maka tidak sukarlah kami menemuinya. Mengikut sejarah, bangunan yang menyerupai pagoda ini telah dibina pada tahun 1885 oleh seorang kontraktor cina bernama Leong Choon Cheong. Tujuan pembinaannya adalah untuk menempatkan tangki air bagi kegunaan semasa musim kemarau dan untuk memadamkan api jika berlaku kebakaran. Pada mulanya bangunan ini dikenali sebagai 'Jam Tinggi' kerana terdapat sebuah jam yang berfungsi sehingga kini. Apabila bangunan ini condong sedikit di sebelah barat maka ia mula dikenali sebagai Menara Condong. Menara ini condong mungkin disebabkan oleh banjir yang melanda pada 1889 dan 1895. Lagipun tapak pembinaan menara ini asalnya merupakan terusan yang telah ditimbus. Mungkin disebabkan struktur tanah yang tidak kuat dan ditambah dengan banjir yang berlaku maka bangunan ini mula condong. Pada masa perang dunia kedua, pihak British bercadang untuk meruntuhkan menara ini kerana ditakuti menjadi panduan kepada tentera udara Jepun membuat serangan. Namun cadangan ni dibantah oleh orang ramai. Pihak Jepun telah menjadikan menara ini sebagai pusat kawalan semasa mereka menjajah Tanah Melayu. Hari ini, menara ini menjadi salah satu tarikan pelancong ke bandar Teluk Intan.

Pekan Lama Kuala Tembeling

Pekan lama Kuala Tembeling (menanti masa menyembah bumi)
Pada hari Selasa, 23 Februari yang lalu semasa pulang dari Temerloh, hati saya terheret untuk singgah di Kuala Tembeling. Tujuannya ialah untuk menjenguk pekan lama Kuala Tembeling di mana 18 tahun yang lalu saya pernah bersantai sambil minum teh di salah sebuah kedai kopi di situ. Ini merupakan kali kedua saya mengunjungi pekan tersebut. Agak terkejut juga saya melihat bangunan-bangunan kayu yang terbiar dan hampir menyembah bumi. Hanya terdapat satu kedai runcit sahaja yang masih beroperasi. Itupun tidak tahu selama mana boleh bertahan, memandangkan kedai-kedai lain sudah mula runtuh dan lusuh. Pekan kecil Kuala Tembeling ini ditinggalkan setelah terbinanya komplek pelancongan yang cuma 500 meter sahaja dari pekan tersebut. Komplek yang didirikan untuk kemudahan para pelancong untuk ke Kuala Tahan itu turut menempatkan pusat penerangan dan bangunan-bangunan kedai. Barangkali pemilik-pemilik kedai di pekan lama sudah berpindah ke komplek yang baru dibina ini. Salah satu faktor lagi yang menyebabkan pekan Kuala Tembeling semakin menyepi ialah kemerosotan jumlah pelancong yang menggunakan laluan ini untuk ke Kuala Tahan. Ini disebabkan pembinaan jalan darat yang menghubungkan Sungai Retang terus ke Kuala Tahan. Pelancong-pelancong tidak perlu lagi menaiki bot di Kuala Tembeling sebaliknya mereka boleh terus memandu sendiri atau menaiki bas untuk ke Kuala Tahan.

Komplek Pelancongan Kuala Tembeling (banyak kedai tidak dibuka kerana jumlah pelancong yang semakin merosot)

Monday, March 1

Sampah-Sarap Di Rumah Rehat Bukit Residen

Sudah tiga petang saya berjoging di Bukit Residen, Kuala Lipis. Biasanya saya bermula dari halaman Lipis Plaza Hotel hinggalah sampai ke Bangunan Residensi di puncak bukit tersebut. Bangunan Residensi ini dibina pada tahun 1922 sebagai rumah kediaman Residen Inggeris. Penghuni pertama bangunan ini ialah Sir Hugh Clifford, 'Superintendent of Ulu Pahang'. Selepas beliau, bangunan ini terus didiami oleh Residen-Residen Inggeris yang berikutnya sehinggalah tercetusnya perang dunia kedua pada tahun 1942. bangunan ini pernah dijadikan asrama lelaki murid-murid Sekolah Clifford dan rumah rehat kerajaan. Sekarang ini, bangunan Residensi ini dijadikan rumah rehat awam yang diuruskan oleh Majlis Daerah Lipis. Walaupun sudah ada rumah rehat baru di Tanjung Lipis yang lebih moden reka bentuknya, namun rumah rehat bangunan Residensi ini masih mendapat perhatian para pelancong. Mungkin reka bentuk zaman kolonial ini dapat mengimbau sejarah masa lampau.
Namun apa yang terkilan dihati saya selama 3 hari berjoging di situ, ialah keadaan kebersihan di persekitaran rumah rehat tersebut. Saya lihat sampah sarap dibuang merata-rata termasuk botol-botol minuman keras. Saya percaya sampah dan botol-botol minuman ini dibuang pada waktu malam oleh anak-anak muda yang 'lepak' di kawasan tersebut. Walaupun terdapat papan tanda memohon kerjasama orang ramai menjaga kebersihan didirikan di situ dan tong sampah disediakan, namun orang-ramai masih mengambil mudah dengan membuang sampah merata-rata. Suasana seperti ini tentu sekali tidak menarik memandangkan rumah rehat ini menjadi kunjungan pelancong asing. Saya berharap pihak pengurusan Rumah Rehat Bukit Residen mengambil inisiatif membersihkan sampah-sarap ini.

Botol minuman keras dan sampah sarap tidak dimasukkan ke dalam tong sampah

Papan tanda yang didirikan di kawasan tersebut tidak mampu menyedarkan orang-ramai yang membuang sampah di situ.

Sunday, February 28

Permainan Woodball

Permainan woodball semakin mendapat tempat dalam kalangan warga pendidik Kuala Lipis. Permainan ini mungkin menjadi alternatif kepada permainan golf yang berbudget besar. Peralatan woodball seperti mallet dan bola yang boleh dibeli pada harga sekitar RM300 membolehkan ramai orang memilikinya. Sekarang ini, di Kuala Lipis terdapat beberapa woodball course yang diurus dengan baik antaranya ialah di SM Teknik Sultan Haji Ahmad Shah, Berchang Valley di SK Berchang, SMK Kuala Lanar dan di SK Pagar Sasak. SK Clifford juga sedang menyiapkan woodball course sendiri yang dijangka siap tidak lama lagi.
Kelab Staf PPD Lipis telah mengadakan dua kali tournament woodball yang melibatkan semua pegawai dan staf. Tournament pertama telah diadakan di Berchang Valley yang mempunyai 18 gate dan yang kedua di SMT Sultan Haji Ahmad Shah yang mempunyai 12 gate. Kelab Staf bercadang menjadikan pertandingan woodball ini sebagai acara bulanan.

Pegawai Pelajaran Daerah Lipis

Hari ini (1 Mac 2010) Tuan Haji Basirun bin Abdullah Hasim, Pegawai Pelajaran Daerah Lipis yang baru telah melapur diri. Beliau menggantikan Puan Samsiah binti Suradin yang bertukar ke Pejabat Pelajaran Daerah Maran. Tuan Haji Basirun merupakan bekas Pengetua Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi Kuantan. Semua warga PPD Lipis mengucapkan selamat bertugas kepada beliau. Semoga prestasi pendidikan daerah Lipis semakin meningkat di bawah pengurusan dan kepimpinan tuan PPD.

Tuesday, February 23

20 Tahun yang lalu...

Semalam (23 Feb 2010) saya ke Temerloh untuk memperbaharui cukai jalan kereta. Ketika berlegar-legar mencari pejabat pos, saya terpandang sebuah hotel lama yang terletak di Jalan Tengku Bakar bersebelahan bangunan Majlis Perbandaran Temerloh. Kenangan 20 tahun yang lalu kembali menerjah kotak fikiran saya. Di Hotel Foo Sing inilah saya menginap ketika mula-mula sampai dari Alor Setar pada 1 Jan 1989. Bertolak dari Alor Setar pada pukul 9.00 pagi dan sampai ke Temerloh pada pukul 5.30 petang. Memandangkan sudah agak lewat untuk ke Kuala Lipis, saya mengambil keputusan untuk tidur di hotel ini. Selepas makan malam, saya meluangkan masa menonton filem 'Kepala Angin' yang dilakonkan oleh Azmil Mustafa dan Jacqueline Mitchell di pawagam berhampiran. Sekarang pawagam itu sudah ditutup dan dijadikan restoran.

Hotel Foo Sing di Jalan Tengku Bakar


Panggung wayang di Jalan Datuk Abu Samah ( Restoran Shaz )

Keesokan harinya, selepas sarapan saya menaiki teksi ke stesen kereta api Mentakab. Lebih kurang pukul 10.00 pagi kereta api sampai dan saya bertolak ke Kuala Lipis. Sampai di Kuala Lipis, saya mengambil teksi untuk ke Sekolah Kebangsaan Penjom (sekolah pertama saya).
Stesen keretapi Mentakab

Terima kasih kepada semua yang telah menolong saya ketika bergelandangan di bumi yang begitu asing ini. Terutama Allahyarham En. Zaharuddin (Penghulu Mukim Penjom waktu itu) kerana membawa saya berjumpa dengan Cikgu Hasbi (sekarang Guru Besar SK Berchang) yang seterusnya telah mencarikan rumah sewa untuk saya. Pak Cik Mat dan Allahyarham Mak Cik Leha kerana membenarkan saya bermalam selama seminggu di rumah mereka sebelum berpindah ke rumah sewa. En. Mohd Noor ( sekarang Ketua Kampung Pagar) kerana membenarkan saya berhutang di kedai beliau selama 3 bulan sehingga mendapat gaji pertama.

Sunday, February 21

Malcolm X

Semalam, 21 Februari genap 45 tahun Malcolm X ditembak mati di sebuah hotel di New York ketika ingin menyampaikan ucapan. Beliau adalah tokoh muslim yang setanding dengan Dr. Martin Luther King yang berjuang menghapuskan dikriminasi yang menimpa kaum Afrika-Amerika (Negro). Malcolm X dilahirkan pada 19 Mei 1925 di Omaha, Nebraska. Ayahnya telah dibunuh oleh kelompok rasis kulit putih ketika beliau berusia enam tahun. Selepas kehilangan ayahnya, kehidupan Malcolm terumbang-ambing hingga terlibat dengan kegiatan jenayah. Pada usia 20 tahun beliau telah dibicarakan atas kes kecurian dan dijatuhi hukuman penjara. Di dalam penjara selama 7 tahun, beliau mula mengenali Islam melalui pembacaan buku-buku dan surat-menyurat dengan saudara kandungnya Hilda. Dari sinilah timbul kesedaran beliau untuk memeluk agama Islam. Selepas dibebaskan dari penjara, Malcolm terus ke Detroit untuk bersama saudara-saudaranya bergabung dalam sebuah organisasi yang diberi nama Nation of Islam. Namun organisasi ini agak bersifat rasis kerana menolak kerjasama dengan orang kulit putih. Malcolm sendiri selama 12 tahun berdakwah menentang orang kulit putih dengan menyifatkan mereka sebagai iblis. Namun pandangan ini berubah apabila beliau berkesempatan mengerjakan ibadah haji di Mekah. Di sini beliau melihat umat Islam terdiri daripada pelbagai warna kulit dan keturunan bersaudara dan bersatu dalam mengerjakan ibadah kepada Allah. Kebenaran Islam telah menunjukkan kepada beliau bahawa kebencian membabi buta kepada semua orang kulit putih adalah sikap yang salah begitulah juga halnya jika orang kulit putih membenci orang negro. Atas pemahaman yang baru ini, Malcolm telah menubuhkan Organization of Afro-American Unity pada 28 Jun 1964. Melalui organisasi ini, Malcolm tidak lagi hanya memperjuangkan hak orang-orang negro sahaja sebaliknya membuka luas kepada memperjuangkan nilai-nilai kemanusiaan Islam.

Thursday, February 18

Batu Tergantung Baitul Muqaddis

Batu Tergantung dalam Masjid Qubatul Sakhra' (Dome of The Rock)

Topik kali ini lain sedikit daripada biasa. Malam semalam saya meluangkan masa menonton History Channel (Astro) sebuah dokumentari bertajuk 'The Cities of The Underworld'. Dokumentari ini berkisar tentang bandar kuno yang tertimbus di bawah tanah Baitul Muqaddis.
Di Baitul Muqaddis di tempat yang dinamakan Haram As-Sharif terletak Masjidil Aqsa iaitu kiblat pertama orang-orang Islam sebelum dialih oleh Allah ke arah Ka'abah di Masjidil Haram.
Di sini juga terdapat sebuah batu besar berukuran 56 kaki panjang dan 42 kaki lebar yang dikatakan tergantung-gantung dan terpisah semua bahagiannya dengan bumi. Dipercayai di atas batu inilah Nabi Muhammad SAW duduk ketika Israk Mikraj. Ketika Nabi SAW hendak Mikraj dikatakan batu itu ingin ikut bersama, lalu Nabi SAW menghentakkan kaki baginda pada batu tersebut dengan tujuan batu itu tidak dibenarkan ikut bersama. Sesetengah ulamak mengatakan kisah ini tidak benar kerana tidak disebut di dalam Al-Quran atau hadis-hadis sahih. Manakala sesetengah ulamak lain pula menyifatkan kisah ini sebagai keajaiban Allah SWT.


Pada masa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khatab r.a, kawasan batu ini telah dikepung dengan mendirikan sebuah masjid berbentuk bulat. Manakala pada zaman Abdul Malik Ibn Marwan (Khalifah ke-10) masjid tersebut telah dibangunkan semula serta dinamakan Qubatul Sakhra' (Dome of The Rock).

Mengikut keterangan salah seorang penulis blog yang berpeluang menziarahi Baitul Muqaddis, batu tergantung itu memang benar-benar wujud tetapi tidak tergantung seperti yang diceritakan. Ada bahagian tertentu di bawah batu itu yang bersentuhan dengan tanah. Manakala bahagian yang terpisah dari tanah setinggi 2 meter dan cukup ruang untuk sembahyang berjamaah seramai 25 orang. Sebuah tangga juga telah didirikan untuk naik ke atas batu tersebut. Ada sesetengah pendapat mengatakan binaan yang menyambungkan batu tersebut dengan tanah sengaja dibuat bagi mengurangkan kegerunan orang ramai ketika melihat batu tersebut. Selain itu, binaan yang dibuat itu juga bertujuan untuk mengelak pelbagai tanggapan orang ramai terhadap keunikan batu tersebut. Wallahu'alam...