Pages

Thursday, February 18

Batu Tergantung Baitul Muqaddis

Batu Tergantung dalam Masjid Qubatul Sakhra' (Dome of The Rock)

Topik kali ini lain sedikit daripada biasa. Malam semalam saya meluangkan masa menonton History Channel (Astro) sebuah dokumentari bertajuk 'The Cities of The Underworld'. Dokumentari ini berkisar tentang bandar kuno yang tertimbus di bawah tanah Baitul Muqaddis.
Di Baitul Muqaddis di tempat yang dinamakan Haram As-Sharif terletak Masjidil Aqsa iaitu kiblat pertama orang-orang Islam sebelum dialih oleh Allah ke arah Ka'abah di Masjidil Haram.
Di sini juga terdapat sebuah batu besar berukuran 56 kaki panjang dan 42 kaki lebar yang dikatakan tergantung-gantung dan terpisah semua bahagiannya dengan bumi. Dipercayai di atas batu inilah Nabi Muhammad SAW duduk ketika Israk Mikraj. Ketika Nabi SAW hendak Mikraj dikatakan batu itu ingin ikut bersama, lalu Nabi SAW menghentakkan kaki baginda pada batu tersebut dengan tujuan batu itu tidak dibenarkan ikut bersama. Sesetengah ulamak mengatakan kisah ini tidak benar kerana tidak disebut di dalam Al-Quran atau hadis-hadis sahih. Manakala sesetengah ulamak lain pula menyifatkan kisah ini sebagai keajaiban Allah SWT.


Pada masa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khatab r.a, kawasan batu ini telah dikepung dengan mendirikan sebuah masjid berbentuk bulat. Manakala pada zaman Abdul Malik Ibn Marwan (Khalifah ke-10) masjid tersebut telah dibangunkan semula serta dinamakan Qubatul Sakhra' (Dome of The Rock).

Mengikut keterangan salah seorang penulis blog yang berpeluang menziarahi Baitul Muqaddis, batu tergantung itu memang benar-benar wujud tetapi tidak tergantung seperti yang diceritakan. Ada bahagian tertentu di bawah batu itu yang bersentuhan dengan tanah. Manakala bahagian yang terpisah dari tanah setinggi 2 meter dan cukup ruang untuk sembahyang berjamaah seramai 25 orang. Sebuah tangga juga telah didirikan untuk naik ke atas batu tersebut. Ada sesetengah pendapat mengatakan binaan yang menyambungkan batu tersebut dengan tanah sengaja dibuat bagi mengurangkan kegerunan orang ramai ketika melihat batu tersebut. Selain itu, binaan yang dibuat itu juga bertujuan untuk mengelak pelbagai tanggapan orang ramai terhadap keunikan batu tersebut. Wallahu'alam...

No comments: