Pages

Sunday, February 21

Malcolm X

Semalam, 21 Februari genap 45 tahun Malcolm X ditembak mati di sebuah hotel di New York ketika ingin menyampaikan ucapan. Beliau adalah tokoh muslim yang setanding dengan Dr. Martin Luther King yang berjuang menghapuskan dikriminasi yang menimpa kaum Afrika-Amerika (Negro). Malcolm X dilahirkan pada 19 Mei 1925 di Omaha, Nebraska. Ayahnya telah dibunuh oleh kelompok rasis kulit putih ketika beliau berusia enam tahun. Selepas kehilangan ayahnya, kehidupan Malcolm terumbang-ambing hingga terlibat dengan kegiatan jenayah. Pada usia 20 tahun beliau telah dibicarakan atas kes kecurian dan dijatuhi hukuman penjara. Di dalam penjara selama 7 tahun, beliau mula mengenali Islam melalui pembacaan buku-buku dan surat-menyurat dengan saudara kandungnya Hilda. Dari sinilah timbul kesedaran beliau untuk memeluk agama Islam. Selepas dibebaskan dari penjara, Malcolm terus ke Detroit untuk bersama saudara-saudaranya bergabung dalam sebuah organisasi yang diberi nama Nation of Islam. Namun organisasi ini agak bersifat rasis kerana menolak kerjasama dengan orang kulit putih. Malcolm sendiri selama 12 tahun berdakwah menentang orang kulit putih dengan menyifatkan mereka sebagai iblis. Namun pandangan ini berubah apabila beliau berkesempatan mengerjakan ibadah haji di Mekah. Di sini beliau melihat umat Islam terdiri daripada pelbagai warna kulit dan keturunan bersaudara dan bersatu dalam mengerjakan ibadah kepada Allah. Kebenaran Islam telah menunjukkan kepada beliau bahawa kebencian membabi buta kepada semua orang kulit putih adalah sikap yang salah begitulah juga halnya jika orang kulit putih membenci orang negro. Atas pemahaman yang baru ini, Malcolm telah menubuhkan Organization of Afro-American Unity pada 28 Jun 1964. Melalui organisasi ini, Malcolm tidak lagi hanya memperjuangkan hak orang-orang negro sahaja sebaliknya membuka luas kepada memperjuangkan nilai-nilai kemanusiaan Islam.

No comments: