Semalam (23 Feb 2010) saya ke Temerloh untuk memperbaharui cukai jalan kereta. Ketika berlegar-legar mencari pejabat pos, saya terpandang sebuah hotel lama yang terletak di Jalan Tengku Bakar bersebelahan bangunan Majlis Perbandaran Temerloh. Kenangan 20 tahun yang lalu kembali menerjah kotak fikiran saya. Di Hotel Foo Sing inilah saya menginap ketika mula-mula sampai dari Alor Setar pada 1 Jan 1989. Bertolak dari Alor Setar pada pukul 9.00 pagi dan sampai ke Temerloh pada pukul 5.30 petang. Memandangkan sudah agak lewat untuk ke Kuala Lipis, saya mengambil keputusan untuk tidur di hotel ini. Selepas makan malam, saya meluangkan masa menonton filem 'Kepala Angin' yang dilakonkan oleh Azmil Mustafa dan Jacqueline Mitchell di pawagam berhampiran. Sekarang pawagam itu sudah ditutup dan dijadikan restoran.
Hotel Foo Sing di Jalan Tengku Bakar
Panggung wayang di Jalan Datuk Abu Samah ( Restoran Shaz )
Keesokan harinya, selepas sarapan saya menaiki teksi ke stesen kereta api Mentakab. Lebih kurang pukul 10.00 pagi kereta api sampai dan saya bertolak ke Kuala Lipis. Sampai di Kuala Lipis, saya mengambil teksi untuk ke Sekolah Kebangsaan Penjom (sekolah pertama saya).
Stesen keretapi Mentakab
Terima kasih kepada semua yang telah menolong saya ketika bergelandangan di bumi yang begitu asing ini. Terutama Allahyarham En. Zaharuddin (Penghulu Mukim Penjom waktu itu) kerana membawa saya berjumpa dengan Cikgu Hasbi (sekarang Guru Besar SK Berchang) yang seterusnya telah mencarikan rumah sewa untuk saya. Pak Cik Mat dan Allahyarham Mak Cik Leha kerana membenarkan saya bermalam selama seminggu di rumah mereka sebelum berpindah ke rumah sewa. En. Mohd Noor ( sekarang Ketua Kampung Pagar) kerana membenarkan saya berhutang di kedai beliau selama 3 bulan sehingga mendapat gaji pertama.
No comments:
Post a Comment