Pages

Wednesday, July 30

Aidil Fitri 2014

Salam untuk semua,
Taqabbalallahu minna waminkum
Salam Aidil Fitri, maaf zahir dan batin

Lepas kerja hari Jumaat yang lalu, teman bertolak balik ke Kedah untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri bersama keluarga di kampung. Perjalanan dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur berjalan lancar. Traffic jam hanya di arah bertentangan, ramai orang Kelantan ingin pulang beraya di kampung. Perjalanan mula tersangkut-sangkut bila terperangkap dalam jam di Kuala Lumpur. Sampai di RNR Sungai Buluh sudah 6.15 petang, kami mengambil keputusan untuk berbuka puasa di situ sahaja. Learn from experiance, makanan dan minuman untuk berbuka mesti dibawa bekal dari rumah atau dibeli di mana-mana bazar Ramadan kerana semua restoran RNR penuh. So, cari lokasi strategik, bentang tikar dan berbukalah sekadar yang ada.

Perjalanan sepanjang highway Utara Selatan agak perlahan. Purata kelajuan cuma 80 kmj sahaja dan kadang-kadang langsung tak bergerak. Bukan kerana accident atau kerosakan kenderaan tetapi kerana kereta terlalu banyak. Biasanya kami sempat bersahur di rumah emak dan ayah teman tetapi kali ini, nampaknya tak sempat. Sekitar jam 3.30 pagi kami singgah di RNR Gunung Semanggol untuk berehat dan bersahur. Pukul 6.05 pagi baru kami sampai di kampung. Aduhai...hampir 15 jam perjalanan. Naik berpinar mata menahan rasa mengantuk yang teramat sangat. Selepas solat subuh, teman terus landing sampai pukul 9.30 pagi.


Tersedar dari tidur terus orang rumah ajak ke Pasar Jitra untuk membeli keperluan berbuka puasa dan persediaan hari raya. Beli daging dan ayam siap-siap, takut esok tak sempat pulak. Mahal harga daging weh, RM29 sekilo.


Gotong-royong membuat ketupat palas. Alhamdulillah, ramai yang dah pandai membuatnya. Kalau dulu semua mak yang kena buat.


Sendu malam raya. Pelita minyak tanah mengimbau zaman kanak-kanak. Cuma dahulu, selain pelita minyak tanah, teman juga buat pelita buluh.

Waktu teman di alam persekolahan dahulu, kalau hari raya ni, habis satu kampung teman pergi beraya. Boleh bagitau la menu setiap rumah kalau ada yang bertanya. Emm...bila dah berumur ni, rumah adik-beradik dan keluarga terdekat je yang mampu teman pergi.


Sahabat sekelas teman, Asri. Kami sekelas dari darjah 3 hingga darjah 6 ketika bersekolah di SKAAT Tok Jalai. Kami terpisah apabila melangkah kaki ke sekolah menengah. Teman ke SMK Jitra dan beliau ke SMK Kepala Batas. Walaupun berbeza sekolah, hubungan kami tetap akrab.


Dah besar panjang anak-anak sedara teman ni. Kakak sulung teman (dua dari kanan ) mewarisi bakat menjahit daripada emak kami. Pakaian hari raya anak-anak, beliau sendiri  yang menjahitnya. Cantik dan up-to-date.


Bergambar bersama 3 orang kakak teman. Kakak yang tua, Rohimin (tudung merah), kakak nombor 2, Noor Khalbi (tudung kelabu) dan kakak nombor 3, Hasharoh (tudung coklat). Teman ada 2 lagi adik-beradik iaitu abang teman, Abd Aziz dan adik teman, Roslan. Dalam 6 orang adik-beradik ni, teman yang sempurna...ada adik, abang dan kakak. 

Pada hari raya kedua, seperti biasa akan diadakan majlis perjumpaan ahli keluarga Ismail Hawa (Tok dan Tok Wan sebelah ayah teman). Perjumpaan kali ini diadakan di rumah mak sedara teman yang paling tua, Wa Timah.

Majlis perjumpaan sebegini, memberi peluang kepada teman sekeluarga untuk berkenal-kenalan dengan ahli keluarga yang lain dengan lebih dekat lagi. Ada sepupu yang dah lama tak jumpa, sampai nama dia orang pun teman dah tak ingat.

Berbaju hitam tu mak sedara dan yang lain-lain tu, sepupu teman.

Kenduri pelenggaq (dalam Kamus Dewan, pelenggaq bermaksud tempat berehat yang dibuat di luar rumah). Dalam post terdahulu teman ada ceritakan tentang amalan makan tengah hari di atas pelenggaq. Hari raya ketiga baru-baru ini, sekali lagi kami adakan kenduri pelenggaq.

Menu simple je, kari ikan keli, ikan kembung bakar, ayam masak kicap, masak lemak belimbing, sambal belacan dan sayur campur. Namun, selera bukan main lagi, dua tiga kali menambah.

Yang baju berbunga biru tu, emak teman. 


...dan seperti biasa, yang tidak berbaju tu, ayah teman. Alhamdulillah, emak dan ayah teman masih sihat lagi walaupun sudah meniti usia 80an.

Hari raya keempat, bertolak balik ke Kuala Lipis. Highway nampaknya ok. Waktu singgah makan dan berehat di RNR Dataran Sungai Perak suasana agak lengang. Perjalanan balik masih agak panjang iaitu 12 jam. Mungkin kerana teman mengikut jalan Cameroon Highlands. Hampir sejam juga terperangkap dalam traffic jam di Kia Farm. Rasanya kalau teman ikut Batang Kali mungkin jimat masa sikit kut.

Monday, July 28

Lipis kehilanganmu, sahabat

Salam untuk semua,
25 Julai 2014 (Jumaat), hari terahir En. Rosli bin Abdul Mubin bertugas sebagai Timbalan PPD Lipis. Mulai 1 Ogos nanti beliau akan bertugas di Jabatan Pendidikan Pahang sebagai Ketua Sektor Pendidikan Khas dan Swasta. Tahniah tuan di atas pelantikan ini.

Encik Rosli yang teman kenali adalah seorang yang berkomitmen tinggi. Bermula sebagai seorang sahabat ketika sama-sama menjadi Penolong PPD Pengurusan Sekolah Menengah, beliau kemudiannya menjadi bos teman di PPD Lipis. Kata orang benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau, campak ke darat menjadi bukit. Kecemerlangan beliau sentiasa diikuti dan diperhati. Nah, akhirnya beliau terpilih untuk mengisi salah satu jawatan penting di JP Pahang.  Lipis kehilanganmu, sahabat.

Hari-hari akhir di PPD Lipis, beliau masih mengekalkan momentum dengan turut serta dalam program khidmat bantu di SK Senderut. Semoga Encik Rosli akan terus cemerlang di  posisi baru nanti. Setiap cabaran dan halangan akan dapat beliau tangani dengan sebaik mungkin. "Without the darkness, a star will not born. Never fear of our shadow, because shadows only means a light shining somewhere nearby".

22 Julai 2014, berlangsung Program Khatam Quran di Pejabat Pendidikan Daerah Lipis. Ustaz Namlur bin Seman, mantan Penyelia Agama Islam PPD Lipis telah dijemput untuk mengetuai bacaan.

Alhamdulillah...ramai juga yang berpeluang untuk turut serta.

Tuan Timbalan menyampaikan bunga telur kepada semua staf yang menyertai program khatam ini.

Pada sebelah petangnya pula diadakan Majlis Berbuka Puasa Warga Pendidikan Daerah Lipis di Masjid Sultan Mahmud. Terima kasih kepada Ketua-Ketua Jabatan yang hadir.

Walaupun sudah di penghujung Ramadan, namun kehadiran para jemputan tidaklah mengecewakan.

23 Julai, teman mewakili Tuan PPD ke Majlis Perarakan Panji-Panji Batalion Ke-8 RAMD Kem Kuala Lipis sempena ulangtahun ke-52.

Kagum teman melihat disiplin tinggi yang dipamerkan oleh anggota-anggota yang mengambil bahagian dalam perarakan ini. Sempurna...hampir tiada kesilapan dilakukan.

Tahniah dan terima kasih kepada semua perajurit negara di atas komitmen dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan demi mempertahankan tanah air tercinta ini. Semoga musuh negara gentar melihat kehebatan anda semua.

Pada 22 Ogos 2014 nanti akan berlangsung pertandingan catur sekolah-sekolah kluster. Pertandingan bertaraf kebangsaan ini akan diadakan di SMK Clifford. Bagi melancarkan perjalanan pertandingan ini, satu mesyuarat jawatankuasa pengelola telah diadakan pada 21 Julai yang lalu.

Melawat papan catur gergasi yang akan menjadi mercu tanda baru kebitaraan SMK Clifford. Diharapkan papan catur ini mampu menjadi elemen penarik pertandingan catur yang akan diadakan nanti.

Friday, July 18

Iftar Ramadan di SJKT Ladang Selborne

Salam untuk semua,
Kepada keluarga anak kapal dan penumpang MH17, takziah teman ucapkan. Semoga sabar dalam menghadapi ujian dan dugaan ini.
Innalillah hiwa inna ilai hiro ji'un - daripada Allah kita datang, dan kepada Allah kita kembali.

Petang semalam (18 Julai 2014), teman telah memenuhi undangan ke Majlis Jamuan Iftar Kali Ke-5 SJKT Ladang Selborne. Turut hadir dalam majlis ini ialah Tuan Haji Misnan Mohd Damin, Pegawai Pendidikan Daerah, Encik Rosli Abdul Mubin, Timbalan PPD dan beberapa orang Pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah. Tetamu khas yang dijemput ialah YB Dato' Mustafa Long, ADUN Padang Tengku. Hebat majlis ini, guru-guru berpakaian cantik dengan sari dan kurta. Teman je yang pakai baju kerja (tak sempat nak balik rumah, terus dari office). Sepatutnya kena pakai baju melayu bersamping ni.


Sebahagian AJK PIBG yang turut juga dijemput.


En. Rosli bin Abdul Mubin, Timbalan PPD sedang menandatangani buku pelawat. Congratulations tuan kerana telah dilantik sebagai Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Pahang.


Cik Kohila Vani, Penolong Kanan Pentadbiran sedang menyematkan rozet pada baju Tuan Haji Misnan, Pegawai Pendidikan Daerah.


Ketibaan Dato' Mustafa Long, ADUN Padang Tengku. YB Dato' dalam nada berseloroh berkata "Istimewa betul program di SJKT Ladang Selborne ni. Semua pegawai atasan PPD hadir".  Teman rasa semua hadir untuk memberi sokongan kepada usaha pihak sekolah membudayakan konsep 1Malaysia. Perbezaan agama, bangsa dan budaya tidak harus memisahkan kita. Walaupun hanya seorang sahaja staf muslim di sekolah ini, namun Guru Besar dan guru-guru tetap menghormati dan meraikan beliau. Majlis Iftar ini sebetulnya untuk Puan Norzila Ahmad Bustamam, satu-satunya Melayu Islam di sekolah ini. Ketika Puan Norzila menelefon teman untuk menjemput ke majlis tersebut, tak tergamak rasanya untuk teman mengatakan tidak. Semoga kehadiran kami ke majlis ini, mampu menggembirakan beliau dalam menjalani ibadah puasa, walaupun berada dalam komuniti yang berbeza bangsa dan agama.


Para tetamu berkumpul di kantin sekolah untuk mengikuti beberapa atur cara yang telah disusun sempena program Iftar Ramadan ini.

Program 1Malaysia tidak semestinya memerlukan belanja ribuan atau jutaan ringgit. Program simple begini pun sudah memadai untuk menerap semangat ukhwah ke arah membentuk satu bangsa  dan satu negara.


Menunggu waktu berbuka. Dah tak lama tu...

A first-class service. Bukan sahaja tolong sendukkan nasi, lauk-pauk pun disendukkan sekali. Cantiknya budaya timur.


Tuan PPD menyempurnakan pelancaran corperate video 'Era Baru SJKT Ladang Selborne'. Kepada En. Kumarasamy Rajagopal serta guru-guru SJKTLS, teman ingin merakamkan jutaan terima kasih di atas jemputan ke Majlis Jamuan Iftar Kali Ke-5 ini. Semoga anda semua diberi kebaikan dengan umur panjang dan kesihatan yang baik.

Wassalam

Monday, July 14

Iftar Ramadan 2014

Majlis berbuka puasa PPD Lipis

16 Julai 2014 bersamaan 18 Ramadan 1435 Hijrah telah diadakan Majlis Berbuka Puasa Kelab Staf PPD Lipis.

Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil dan tazkirah ringkas oleh Ustaz Halim, Penolong PPD JQaf.

Turut dijemput dalam majlis ini ialah anak-anak yatim dari Asrama Cemerlang Anak Yatim PKAYIA Kuala Lipis. Tuan PPD sedang menyampaikan hadiah kepada anak-anak yatim yang hadir.

Anak-anak yatim PKAYIA sedang menikmati juadah berbuka puasa. Semoga Allah SWT merahmati mereka semua, mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.

Seronok berbuka puasa beramai-ramai dalam keluarga besar PPD Lipis.

Berbuka puasa di SMK Seri Lipis

Pada 7 Julai 2014 bersamaan 9 Ramadan 1435 Hijrah, teman memenuhi undangan untuk berbuka puasa bersama-sama penghuni asrama SMK Seri Lipis. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tuan Haji Misnan Haji Mohd Damin, Pegawai Pendidikan Daerah Lipis.

Pelajar-pelajar kelihatan ceria menunggu waktu berbuka. Sesekali berbuka di dewan sekolah seronok jugakan.

Majlis yang dianjurkan ini, sekurang-kurangnya dapat menghilangkan kerinduan pelajar-pelajar kepada keluarga terutama di bulan puasa yang mulia ini.


Terima kasih kepada Tuan Haji Hamdan Harun, Pengetua SMK Seri Lipis dan guru-guru kerana sudi menjemput teman untuk hadir dalam majlis berbuka ini. Semoga SMK Seri Lipis akan terus cemerlang pada masa hadapan.

Berbuka puasa di SK Tempoyang

Semalam, 14 Julai 2014 bersamaan 16 Ramadan 1435 Hijrah, giliran memenuhi jemputan SK Tempoyang pula.

Terima kasih kepada Hajah Norizan Yusof, Guru Besar SK Tempoyang dan guru-guru kerani sudi menjemput teman dan rakan-rakan dari PPD Lipis untuk sama-sama memeriahkan majlis berbuka ini. Doa kami semoga SK Tempoyang akan berjaya mencapai status Sekolah Berprestasi Tinggi.

Selepas berbuka puasa telah diadakan solat maqrib dan seterusnya diikuti solat Isyak serta Tarawih berjamaah. Guru-guru pelatih berbangsa India dari IPGM Tengku Ampuan Afzan juga turut serta dalam majlis ini...semangat 1Malaysia.

Selesai solat Tarawih, moreh buah durianlah pula. Seulas dua bolehlah, banyak-banyak takut tak jumpa jalan balik rumah pula nanti (huhuhu...nasiblah pengamal amlodipine)