Pages

Monday, June 23

Sambutan Hari Guru Daerah Lipis 2014

Salam untuk semua,



Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Lipis akan diadakan pada 26 Jun 2014, jam 3.00 petang di Dewan SMK Setiawangsa, Kuala Lipis. Selaku Setiausaha, teman mewakili Jawatankuasa Pengelola ingin menjemput warga pendidikan Lipis untuk sama-sama hadir memeriahkan majlis sambutan ini. 

Kepada semua Pengetua dan Guru Besar, mohon untuk memastikan guru-guru yang akan hadir ke majlis ini adalah sebagaimana jumlah yang telah ditentukan dalam surat jemputan yang dihantar kepada tuan/puan semua. Tolong pastikan juga guru-guru yang disenaraikan untuk hadir ke majlis ini tidak terlibat dengan mana-mana kursus atau taklimat yang berlangsung pada masa tersebut.

Raptai penuh akan diadakan pada 25 Jun 2014, jam 8.00 pagi. Semua jawatankuasa terbabit dikehendaki hadir bagi memastikan perjalanan raptai berlangsung dengan lancar. Teman sangat berharap agar majlis sambutan Hari Guru 2014 ini dapat dilangsung dengan cemerlang. Bantuan dan sokongan semua pihak amat diperlukan.

Updated on June 24

 Hari ni, sebelum bertolak ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Mesyuarat Penempatan Guru Baharu di Hotel Capitol, teman sempat mengunjungi dewan SMK Setiawangsa untuk melihat persiapan untuk Sambutan Hari Guru 2014. Kelihatan beberapa orang guru dari SMK Kuala Lanar sedang menghiaskan pentas.


Kerusi tetamu telah siap disusun. Tahniah, Jawatankuasa Persiapan tempat. Esok raptai penuh akan diadakan. Teman harap semua jawatankuasa yang terlibat dapat hadir agar segala kelemahan dan kekurangan dapat dikenalpasti dan dibaiki.

Updated on June 25

Gambar raptai Sambutan Hari Guru pagi tadi yang teman dapatkan dari Facebook sahabat teman En. Kamaruddin.

Sayang...tak dapat sama-sama menyaksikan raptai ini. Semoga petang esok majlis ini dapat berjalan dengan lancar.

Updated on June 26
...dan saatnya pun tiba.

Bergambar di foyer dewan SMK Setiawangsa sejurus YB Dato' Haji Abdul Rahman bin Mohamad, Ahli Parlimen Lipis sampai.


YB Dato' Haji Abdul Rahman diarak masuk ke dalam dewan.


Terima kasih kepada semua guru yang hadir. Siapa lagi yang hendak diharap untuk meraikan hari 'kita' ini, melainkan KITA. Cuma, teman rasa sedikit terkilan dengan sikap segelintir guru yang pulang awal sebelum majlis berakhir. Majlis sambutan hari guru ini hanya mengambil masa 2 jam 30 minit sahaja. Tak sanggupkah kita berkorban sedikit masa untuk meraikan hari 'kita' ini. Kesian Tokoh Guru, ketika acara penganugerahan dijalankan tak ramai yang tinggal. Kalau kita berada di tempat beliau, apa perasaan kita. Wahai guru...fikir-fikirkanlah.

Antara para jemputan yang hadir termasuklah ketua-ketua jabatan dan YDP PIBG.

Terima kasih kepada rakan organisasi yang hadir memberi sokongan. Mr Rokeman...ada maksud lain ke di sebalik isyarat peace tu? Hajah Kam nampak anggun sekali dan Zarina Manja memang nampak manja.

Persembahan tarian selamat datang kolaborasi tiga buah sekolah iaitu SK Tempoyang, SJKC Chung Hwa dan SJKT Ladang Selborne.

YB Dato' Haji Abdul Rahman menyampaikan ucapan perasmian.


Gimik pelancaran. Terima kasih Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah Kuala Lipis di atas penyediaan gimik pelancaran yang menarik.

Persembahan koir oleh guru-guru daerah Lipis. Tahniah kepada Guru Besar SK Lubuk Kulit selaku Pengerusi Jawatankuasa Persembahan Koir di atas kecekapan menangani kesulitan yang timbul di saat-saat akhir.

Bacaan Ikrar Hari Guru. Tq...Mr Hamid, Pengetua SMK Merapoh selaku Pengerusi JK Bacaan Ikrar.


Warga Pendidikan daerah Lipis bersama Tuan PPD, Haji Misnan bin Mohd Damin turut melafazkan ikrar Hari Guru.


Penyampaian hadiah kecemerlangan Pengurusan Sekolah, Pengurusan Akademik, Pembangunan Kemanusiaan dan Kualiti.

Penghargaan kepada pesara guru. Terima kasih Tuan Haji Ali, mantan Guru Besar SK Jerangsang dan Tuan Haji Ahmad Suhaimi, mantan Guru Besar SK Padang Tengku di atas kesudian hadir untuk menerima cenderamata 'Jasamu Dikenang'. Semoga tuan haji berdua sentiasa bahagia dalam melewati usia persaraan.


Acara kemuncak Sambutan Hari Guru, penyampaian Anugerah Tokoh Guru. Terima kasih kepada Bank Rakyat Lipis di atas tajaan hadiah kepada Tokoh Guru.


Tahun ini giliran ayahanda Haji Mohamad bin Ibrahim dinobatkan sebagai Tokoh Guru Daerah Lipis. Jawatan terakhir ayahanda sebelum bersara ialah Guru Besar SK Kuala Lanar. Jawatankuasa Tokoh Guru sebulat suara memilih ayahanda Haji Mohamad Ibrahim setelah mempertimbangkan sumbangan serta komitmen beliau terhadap pendidikan daerah Lipis. Penglibatan aktif beliau di dalam pergerakan unit beruniform terutama Pengakap walaupun setelah bersara amat dikagumi. Teman pernah mengajar bersama ayahanda di SK Wan Ibrahim. Selepas bersara ayahanda menjadi guru kontrak Bahasa Inggeris di sekolah tersebut. Walaupun hanya guru kontrak dan dalam usia persaraan, ayahanda tetap menunjukkan semangat mendidik yang tinggi. Seorang yang menepati masa dan bersungguh ketika mengajar, teman jarang melihat ayahanda duduk ketika mengajar. Satu ketika, ayahanda terpaksa meninggalkan sekolah kerana menghadiri Kempori Pengakap selama 3 hari, di atas meja beliau tersedia lembaran kerja untuk digunakan oleh guru relief selama 3 hari tersebut. Kepada ayahanda Haji Mohamad, tahniah di atas penganugerahan ini. Semoga dipanjangkan umur dan sihat selalu.

PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH

Di kesempatan ini, teman ingin merakamkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua AHLI JAWATANKUASA yang terlibat bagi menjayakan majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Lipis 2014 ini.

Terima kasih yang amat sangat kepada PENYUMBANG KEWANGAN. Tanpa sumbangan kewangan anda semua, sudah pastilah majlis sambutan Hari Guru yang berlangsung semalam tidak dapat dilaksanakan. Semoga budi baik serta kemurahan hati anda semua akan dibalas Allah SWT dengan memberi rezeki serta keuntungan yang berlipat kali ganda.

Terima kasih kepada YB Dato' Haji Abdul Rahman Mohamad kerana sudi hadir bagi merasmikan majlis Sambutan Hari Guru pada tahun ini.

Terima kasih kepada semua Pengetua, Guru Besar, Guru Penolong Kanan serta guru yang hadir bagi memeriahkan majlis semalam.

Terima kasih kepada Pegawai Teknologi Pendidikan PKG Kuala Lipis, PKG Padang Tengku dan PKG Benta. Anda telah melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan semangat profesionalisme yang tinggi.

Terima kasih juga buat semua staff Pejabat Pendidikan Daerah Lipis di atas pertolongan serta sokongan kepada teman selaku Setiausaha Hari Guru Daerah. Terutama dua orang sahabat teman iaitu Tuan Haji Zulfakhri Idris, Penolong Setiausaha dan Encik Kamarudin Haji Kassim, Bendahari Hari Guru Daerah.

Terima kasih kepada Tuan Haji Misnan Mohd Damin, Pegawai Pendidikan Daerah dan Encik Rosli bin Abdul Mubin, Timbalan PPD di atas kepercayaan kepada kami selaku urus setia bagi melaksanakan Sambutan Hari Guru Daerah Lipis 2014.

Akhir sekali...terima kasih kepada sesiapa sahaja yang telah memberi sumbangan dan pertolongan tetapi tidak tersebut di atas.

No comments: