Pages

Sunday, May 4

Tingkatan Enam (Prauniversiti)

Pada 28 hingga 30 April yang lalu, teman telah menghadiri Mesyuarat Pengurusan Tingkatan Enam di Capitol Hotel, Kuala Lumpur. Mesyuarat ini bertujuan untuk menyelaraskan beberapa perkara berkaitan pendaftaran pelajar Tingkatan Enam bagi sesi 2014/2015. Di daerah Lipis terdapat tiga buah sekolah yang menawarkan pengajian prauniversiti ini iaitu di SMK Clifford, SMK Seri Lipis dan SMK Kuala Lanar. Di SMK Clifford terdapat 2 jurusan iaitu Sains dan Kemanusiaan. Manakala di SMK Seri Lipis dan SMK Kuala Lanar hanya terdapat satu jurusan sahaja iaitu jurusan Kemanusiaan. Bagi pelajar SMA Al-Maidah Addiniah Padang Tengku yang ditawarkan jurusan Agama, mereka dikehendaki ke Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut untuk ditempatkan di SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang (TAHAP) Jerantut. 

Berikut adalah SOP (standard operating procedure) berkaitan penempatan dan pertukaran pelajar Tingkatan 6.

A. PENEMPATAN
Semua pelajar mesti melapor diri pada 5 Mei 2014 (Isnin) di sekolah yang telah ditetapkan di dalam surat tawaran. Bagi pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri, MRSM dan SM Vokasional yang berjaya ke Tingkatan 6 tetapi tiada nama sekolah dinyatakan dalam surat tawaran dikehendaki datang ke Pejabat Pendidikan Daerah untuk dibuat penempatan.

B. RAYUAN
Bagi pelajar-pelajar yang tidak berjaya kerana jumlah mata gred bagi 3 mata pelajaran terbaik (mengikut kumpulan subjek yang ditetapkan) melebihi 12 (Kemanusiaan) dan 18 (Sains) boleh membuat rayuan secara online atau mengisi borang manual di PPD. Walau bagaimanapun pelajar tersebut mestilah mendapat sekurang-kurangnya 3 kepujian termasuk Bahasa Melayu dan lulus Sejarah. Keutamaan akan diberi bagi pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam kokurikulum.

C. PERTUKARAN SEKOLAH
1. Pertukaran antara negeri dan daerah
Pelajar dikehendaki pergi ke sekolah yang ditetapkan di dalam surat tawaran dan isi borang bertukar sekolah (P.U(A)275). Borang yang sudah siap diisi itu hendaklah dibawa sendiri ke PPD berkenaan. Seandainya pelajar tersebut sudah berpindah sebelum keputusan dikeluarkan dan menjadi satu kesulitan untuk datang semula ke negeri atau daerah asal, memadailah dengan membawa surat tawaran Tingkatan 6 ke PPD berkenaan.

2. Pertukaran dalam daerah
Pertukaran dalam daerah hanya akan dipertimbangkan selepas tarikh pendaftaran. Ini bermaksud, semua pelajar mesti mendaftar diri di sekolah yang ditetapkan dan mengisi borang pertukaran (P.U(A)275). Perlu diingatkan bahawa pelajar mesti terus berada di sekolah tersebut sehinggalah keputusan pertukaran diketahui. Keputusan samada lulus atau tidak akan diputuskan dalam Mesyuarat Panel yang akan diadakan dua minggu selepas tarikh pendaftaran. Hanya alasan-alasan yang munasabah sahaja akan diberi pertimbangan.

D. MENOLAK MATRIKULASI
Pelajar-pelajar yang menolak ke Matrikulasi dan ingin memohon ke Tingkatan 6 dikehendaki mengisi Borang T6BRU (yang boleh didapati di PPD).

E. PERTUKARAN JURUSAN
Pertukaran jurusan boleh dibuat di sekolah dengan sokongan Pengetua.

Jika ada apa-apa kemusykilan berkaitan Tingkatan 6 bolehlah menelefon atau datang ke PPD Lipis.

No comments: