Mac 27, teman menghadiri mesyuarat penempatan guru baharu di Hotel Plaza Kuala Lumpur. Dua hari sebelum itu, En. Zakaria Samah, Penolong PPD Rendah menghadiri mesyuarat yang sama di Crystal Crown Kepong. Misi kami ialah untuk mendapatkan tambahan guru bagi mengisi kekosongan perjawatan di daerah Lipis.
Alhamdulillah, semalam (April 1) bertempat di Komplek Dagangan Mahkota Kuantan mereka melapor diri serta mendengar taklimat guru baharu yang disampaikan oleh pegawai-pegawai dari Unit Menengah dan Rendah, Jabatan Pendidikan Pahang.
Teman harap dengan tambahan 5 orang guru di sekolah menengah dan 46 orang di sekolah rendah, kita mampu memacu kecemerlangan pendidikan daerah Lipis ke tahap yang membanggakan.
Tuan Haji Wan Abdul Hamid bin Wan Mohamad, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Pahang sedang menyampaikan surat penempatan kepada guru-guru baharu yang berjaya ditempatkan di negeri Pahang.
Pagi ini (April 2), seramai 13 orang guru baharu yang ditempatkan di tiga buah sekolah pedalaman Orang Asli iaitu SK Senderut, SK Titom dan SK Lenjang berkumpul di PPD Lipis. Mereka akan dihantar ke sekolah-sekolah berkenaan dengan menggunakan 3 buah kenderaan pacuan empat roda.
Yang lelaki dalam gambar di atas macam happy je. Yang perempuan entah le, macam nak menangis pun ada. Apa-apa pun bertenanglah wahai pendidik muda. Segala dugaan dan cabaran yang bakal ditempuhi nanti, laluilah dengan penuh kesabaran dan keredaan. Yakinlah...sesungguhnya Allah SWT telah mentakdirkan rezeki anda di situ.
Sampai di sekolah nanti, pandanglah wajah bakal anak-anak murid anda itu. Renung ke dalam anak mata hitam mereka. Betapa mereka jauh ketinggalan dari segi kemajuan berbanding kita. Barangkali mereka tidak sebangsa dan seagama kita, namun hak mereka untuk mendapat didikan kelas pertama tidak harus dipersiakan.
Wahai pendidik muda, nasib pribumi ini semakin jelas berada di tangan kita. Kerahlah seluruh khudrat anda semua, bergerak sederap bagi memaknakan kehadiran. Tugas memanusiakan manusia ini, bukanlah tugas mudah. Bulatkan tekad dan teguhkan azammu, sesungguhnya...kalianlah pemangkin perubahan.
No comments:
Post a Comment